Sejak akhir-akhir ini, trend pemasangan fake braces semakin mendapat tempat di kalangan pengguna. Menawarkan harga yang rendah serta menjanjikan gigi yang teratur serta tidak sakit antara yang membuatkan segelintir pengguna terpengaruh.

Malah, trend ini dilihat semakin tular di media sosial khususnya Instagram di mana harga yang jauh lebih rendah berbanding pemasangan di klinik gigi oleh doktor profesional antara yang menjadi punca mengapa trend fake braces menjadi pilihan.

Terbaharu, tular di Twitter @ArepJawa yang merupakan seorang doktor gigi di Setia Tropika, Johor Bahru yang berkongsi masalah yang dialami pesakitnya. Menerusi perkongsian, sewaktu beliau meminta buka sahaja mulut, beliau dapati pesakit berkenaan dilihat memakai fake braces atau braces palsu.

Berdasarkan pertanyaan, pesakit tersebut dengan segan silu memaklumkan beliau sudah lebih setahun memakai fake braces. Difahamkan kakak beliau yang membelanjakan beliau untuk memakai braces palsu ini dengan harga sekitar RM300 lebih.

Pertanyaan seterusnya doktor ini dalam bertanyakan lokasi pemasangan fake braces ini nyata membuat pesakit ini segan untuk menjawabnya namun tetap memaklumkan di mana beliau memasangnya di sebuah salun kecantikan.

Doktor ini seterusnya memaklumkan pemasangan braces palsu adalah sangat merbahaya di mana ia dipasang oleh bukan doktor profesional. Malah pemasangan braces palsu dimaklumkan sekadar menggunakan power chain semata-mata.

Selain itu, pemasangan braces palsu bakal membuatkan karang gigi menebal, gigi berlubang, pergerakan gigi yang tidak terawal dan juga gigi bengkak lalu berdarah.

Malah, terdapat kes di mana pemasangan braces palsu membuatkan para pengguna sukar bernafas serta sukar untuk menutup mulut.

Selain itu, difahamkan kebanyakan braces palsu tidak dipasang sehingga gigi paling belakang membuatkan tarikan gigi tidak sekata. Bukan itu sahaja, tarikan menggunakan getah sahaja bakal membuatkan para pengguna sengsara disebabkan tarikan getah yang kuat.

Doktor ini turut berkongsi karang gigi yang berada pada gigi pesakit beliau yang menggunakan braces palsu. Karang gigi yang tebal ini secara tidak langsung membuatkan mulut berbau.

Lebih mengejutkan netizen, doktor ini turut memaklumkan terdapat banyak lagi karang gigi yang terdapat pada mulut beliau. Malah, masalah gigi berlubang turut terjadi yang membuatkan doktor memilih untuk melakukan proses tampal.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap trend pemasangan braces palsu ini dapat dihentikan serta menyeru mereka yang menjalankan bisnes braces palsu untuk menghentikannya agar tidak merosakkan kesihatan individu lain.

Perkongsian yang dilakukan telah mendapat respon yang pelbagai di kalangan netizen di maan rata-ratanya bersetuju braces palsu sememangnya memberi kesan kepada kesihatan gigi meskipun ditawarkan pada harga yang murah.

Tidak kurang juga terkejut dengan pilihan pengguna yang sanggup memasang braces palsu di salun kecantikan berbanding di klinik yang bertauliah.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memilih untuk menggunakan braces palsu sekiranya berniat untuk mendapatkan gigi yang teratur dan sihat sebaliknya mendapatkan nasihat pakar serta pemasangan di klinik gigi.