Tahukah tuan-tuan, orang Melayu kita sebenarnya memiliki banyak tanah yang diwarisi sejak turun-temurun?

Namun begitu, kenapa masih ramai lagi orang kita gagal memanfaatkan tanah pusaka ini untuk bina rumah kediaman sendiri sedangkan kos dan saiz rumah bina sendiri adalah jauh lebih murah dan luas berbanding rumah siap terbina?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saya akan huraikan secara ringkas beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi.

9 faktor penghalang pembangunan tanah pusaka orang Melayu:

1. Status Tanah Yang Berkongsi Pemilikan

Tanah pesaka yang boleh mencapai keluasan berekar-ekar telah diwariskan secara keseluruhan kepada berbilang penama (anak-anak) tanpa melalui proses pecah sempadan.

Hasilnya mengakibatkan sekeping tanah yang luas terpaksa dikongsi secara beramai-ramai sehingga menyukarkan waris untuk membuat pembangunan di atas tanah tersebut.

2. Pewarisan Secara Lisan

Orang-orang tua yang terdahulu cenderung mewariskan tanah pesaka sekadar melalui lisan kepada anak-anak. Kegagalan proses pewarisan menurut kaedah dan peruntukan undang-undang mengakibatkan waris gagal untuk mendapatkan hakmilik sah terhadap tanah pesaka tersebut.

3. Tiada Geran Individu

Kesan daripada poin 1 dan 2 di atas, waris gagal untuk mendapatkan geran individu yang sah. Ketiadaan geran individu mengakibatkan waris tidak layak untuk memohon pembiayaan perumahan daripada bank-bank.

4. Tiada Proses Pewarisan Yang Berlaku Setelah Pemilik Asal Meninggal Dunia

Seringkali berlakunya keadaan dimana pemilik asal meninggal dunia sebelum sempat mewariskan tanah milikannya. Kegagalan pewaris untuk menguruskan atau mematuhi proses faraid juga mengakibatkan status milikan tanah pesaka itu tergantung dengan begitu sahaja.

Wujud juga kes yang mana pewaris tidak tahu rupanya si mati ada memiliki tanah kerana dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga semasa hayat beliau.

5. Tanah Tidak Ditukar Status

Kebiasaannya, tanah pusaka terutamanya di kampung-kampung tersenarai statusnya sebagai tanah pertanian. Walaupun bagi setiap tanah pertanian dibenarkan untuk didirikan sebuah rumah, jarang ada bank yang menawarkan pembiayaan perumahan kepada pemilik tanah berstatus pertanian melainkan ianya telah ditukar status kepada tanah bangunan.

6. Tiada Pengetahuan Berkenaan Pengurusan Hartanah

Pewaris tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadap tanah pesaka yang dimiliki untuk menjadikannya sesuai untuk dibangunkan. Sikap kebanyakan pewaris yang acuh tak acuh juga turut mengakibatkan tanah-tanah ini berkesudahan dengan terbiar begitu sahaja tanpa diuruskan dengan sempurna.

7. Tiada Kemampuan Kewangan

Pewaris-pewaris tiada kapasiti dalam aspek kewangan untuk melalui proses undang-undang bertujuan untuk melakukan pecah milikan dan penukaran status tanah dengan sah. Mereka juga gagal atau tidak sepakat untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan ini.

8. Pewaris Tidak Berminat Membangunkan Tanah Pusaka Kerana Faktor Lokasi

Faktor lokasi seringkali menjadi sebab utama kenapa pewaris tidak berminat untuk membangunkan tanah pusaka. Sebagai contoh, pewaris yang tidak memiliki perancangan untuk menetap di kampung kerap kali membiarkan tanah pusaka mereka terbiar begitu sahaja.

Dalam kes sebegini, adalah lebih baik sekiranya tanah pusaka tersebut dijual kepada individu yang memerlukan manakala pewaris asal tersebut menggantikan milikan tanah itu dengan hartanah lain di kawasan yang ingin didiaminya. Melalui cara ini, milikan hartanah bumiputera dapat bertambah.

9. Wasiat Pemilik Asal Yang Tidak Membenarkan Tanah Warisannya Dipecah Milik

Amalan tradisi orang-orang tua terdahulu yang sentiasa berpesan kepada waris supaya tidak memecahkan milikan tanah pusaka mengakibatkan waris-waris buntu dalam melakukan pembangunan ke atas tanah tersebut.

Sedangkan setelah matinya pemilik asal, pewaris tidak lagi tertakluk kepada amanat asal pemilik samada dari sudut undang-undang mahupun hukum-hakam agama.

Sebaliknya, pewaris adalah bebas untuk melakukan apa sahaja ke atas tanah milikan mereka mengikut perancangan yang difikirkan sesuai.