7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mengumumkan Farhash Wafa Salvador sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa semalam.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan Farhash menggantikan Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi untuk meneruskan minat lain.

Baca Juga:

Tan, anak kepada pemegang saham utama 7-Eleven, taikun Vincent Tan Chee Yioun dengan 41.8 peratus kepentingan, dilantik ke lembaga pengarah kumpulan itu sebagai Pengerusi, Pengarah Bukan Eksekutif bukan bebas pada 25 Nov 2021.

7-Eleven dalam kenyataan berkata, Farhash membawa pengalaman bernilai lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan khidmat nasihat.

“Dalam bidang perniagaan, kerjayanya yang cemerlang merentas pelbagai sektor termasuk pembinaan, teknologi, hotel, makanan dan minuman.

“Beliau juga ialah pendorong yang menggalakkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini,” jelasnya.

Farhash ialah atau pernah menjadi pengarah dan/atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat persendirian termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.

Beliau kini menganggotai lembaga penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkembang maju dalam menghimpunkan, mencipta dan membangunkan syarikat-syarikat mampan dengan ciri keusahawanan yang kukuh.

Beliau juga pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Bhd dan pengarah Berjaya Construction Bhd. Farhash sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber