Ibu bapa selalu fikir anak yang berumur antara 2 ke 4 tahun suka buat perangai, tak dengar cakap, suka mengamuk dan macam-macam lagi kerenah yang sukar dikawal.

Antaranya suka memanjat sana-sini, suka melawan apa yang kita cakap, lari ke hulu ke hilir, tak boleh duduk diam – seolah-olah tenaga tak pernah habis. Aktif sungguh!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jangan tak percaya, sebenarnya fasa ini yang lebih dikenali sebagai fasa ‘Terrible Two’ adalah normal. Fasa ini menampakkan anak sedang bergelut antara kebergantungan pada ibu bapa dan keinginan mereka untuk berdikari.

Anak yang berumur 2 tahun ke atas akan mengalami perubahan yang besar dari segi kemahiran motor, tahap intelektual, kemahiran sosial dan emosi.

Perbendaharaan kata mereka semakin bertambah dan berkembang dan timbul keinginan untuk melakukan sendiri sesuatu perkara. Dalam masa yang sama, mereka juga akan belajar untuk mengikut peraturan dan syarat.

Jika anak mengamuk, bukan salah ibu bapa anak berkelakuan begitu. Anak sedang dalam fasa meneroka dunia di sekelilingnya. Ibu bapa usah risau, cuma perlu bertenang dan hadapi keadaan yang sementara ini dengan positif.

Terima perubahan anak, pamerkan sayang dan hormat padanya menjadikan dirinya lebih berkeyakinan.

Bagaimana mahu hadapi keadaan ini dengan tenang dan terkawal?

Apa Itu Fasa ‘Teribble Two’

Gambar: The Huffington Post UK

1. Faham dan terima hakikat bahawa semua kanak-kanak mengalaminya. Bukan anak kita sahaja. Ia masalah sedunia! Hampir setiap ibu bapa mengalami situasi ini dan ia bukanlah sesuatu yang bersifat peribadi.

Perkara ini berlaku bukan disebabkan ibu atau bapa. Jadi berhenti menyalahkan diri atas perkara ini, melainkan anak mengalami situasi ini dengan keterlaluan.

2. Sebenarnya anak sedang menguji kita untuk melihat sejauh mana dia boleh bertindak dalam sesuatu perkara. Apa reaksi dan respon kita terhadap setiap kelakuannya.

Apakah hadnya? Setiap reaksi kita pada perbuatannya adalah penting untuk anak belajar tentang had sesuatu perkara. Sejauh mana dia boleh pergi, setakat mana dia boleh buat.

3. Ya, adakalanya anak memang sengaja membuat provokasi untuk melihat reaksi ibu bapa. Waktu ini ibu bapa amat perlu pamerkan reaksi yang betul dan bersesuaian supaya anak faham tentang had bagi sesuatu perbuatan.

4. Anak sebenarnya tidak tahu perkara yang dilakukannya betul atau tidak, selamat atau bahaya; maka mereka mencari perhatian ibu bapa untuk berikan mereka panduan. Disebabkan itu, ibu bapa perlu beri arahan atau tindakan yang jelas untuk anak faham.

5. Jika anak mengamuk atau buat perangai, usah cepat melatah dan melenting. Ia adalah perkara biasa. Biarkan dia menangis sebentar, pura-pura mengabaikannya.

Lazimnya dua perkara yang menyebabkan anak berkelakuan begitu: terlalu letih atau lapar. Jadi perhatikan apa sebenarnya yang anak mahu. Bantu dia tidur dan berehat, atau berikan makanan dan minuman. Elak memarahi mereka dengan keterlaluan.

6. Anak sedang belajar berdikari, sedang memahami erti berpisah daripada ibu bapa dan belajar untuk bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Anak dalam fasa ini perlukan ketegasan dan ‘unemotional stand’ daripada ibu bapa untuk anak kenal pasti perkara yang boleh atau tidak boleh dia lakukan. Masalah selalunya berlaku kerana ibu bapa kurang memahami anak (masalah komunikasi).

Ibu bapa kurang pasti apa yang anak mahu atau perlukan, menyebabkan anak kecewa kerana permintaan atau kehendaknya tidak dipenuhi.

Memang mencabar pada peringkat ini kerana ia melibatkan kemahiran motor dan bercakap sedangkan anak belum lagi menguasai kemahiran ini. Anak sebenarnya mahu meniru dan membuat apa yang ibu bapa buat tetapi belum mampu. Itu yang mendorong anak cepat marah.

Tip Menangani Fasa ‘Terrible Two’

Gambar: Flipboard

1. Ibu bapa cuba bertenang semasa anak mengamuk. Anak memang mahu lihat kita marah untuk meraih perhatian, sama ada dengan cara positif atau negatif.

Semasa anak meragam, abaikan sekejap dan anak akan belajar tentang had bagi sesuatu perbuatan atau perkara. Jangan beri reaksi seperti ketawa atau membuat ‘eye contact’ dengannya, jangan menjawab dan perhatikan sahaja perangainya sehingga dia berhenti.

2. Tawarkan comfort setelah anak diam. Anak yang mengamuk dan meragam ni risau ibu bapa tak sayangkan mereka bila berkelakuan begitu.

Apabila anak dah bertenang, peluk dan beritahu mereka bahawa kita sayangkan mereka. Kemudian, alihkan perhatian anak kepada perkara lain supaya dia tidak terbawa-bawa dengan perasaannya tadi.

3. Jika anak mengamuk di tempat awam, usah panik. Orang di sekeliling memang akan perhati atau lebih buruk, mengata ibu bapa. Tapi abaikan mereka. Cuba alihkan perhatian anak kepada benda lain contohnya kunci, mainan atau peluk anak. Jangan putus asa!

Cara Untuk Kurangkan ‘Tantrum’ Anak

https://www.youtube.com/watch?v=gF19pAgpg7w

1. Pastikan anak cukup tidur atau rehat.
2. Berikan makanan ketika dia lapar. Sediakan anak snek yang boleh dimakan di antara waktu makan utama.
3. Beri anak apa-apa tugasan atau benda untuk dia bermain. Jika dia bosan, tantrum boleh jadi lebih teruk juga.
4. Didik anak kawal diri dengan memberi peluang dia membuat pilihan sendiri.
5. Biarkan anak bermain di luar sekali-sekala untuk dia salurkan tenaganya yang banyak itu.
6. Galakkan anak membuat tugas yang sukar dan mencabar. Puji bila dia berjaya lakukannya.