Melihat kepada filem Aku Haus Darahmu, kita boleh mengesan bahawa ia klise. Kesenian tradisional Melayu merupakan hal yang klise; kita pernah menontonnya dalam dua buah filem masyhur Shuhaimi Baba, Pontianak Harum Sundal Malam (2004). Atau Gong (2006) arahan Sandosh Kesavan.

Tetapi ia adalah kulit. Malah kulit dan inti karya memang biasanya klise. Cuma pengolahan tidak boleh menjadi klise seperti kerangka atau inti. Ini berlaku dalam Aku Haus Darahmu (AHD).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kita boleh mengagak makanan yang dihidangkan oleh Cempaka (Deanna Yusof) dan Kenanga (Amalia Syakirah) bukanlah betul-betul makanan. Kita biasa menonton filem yang memaparkan orang mencekik diri sendiri, seperti berhalusinasi bahawa hantu sedang mencekiknya. Kita juga sudah biasa jika makhluk ghaib tak terkesan dalam bingkai kamera.

Antara bingkai awal, kita akan melihat pemain kaset milik Lia (Nad Zainal). Kemudian, kamera filem yang digunakan oleh Eza (Farhana Qismina). Juga fesyen pakaian anak-anak muda dalam filem ini, terutamanya gaya ikatan kepala ala-ala watak kegilaan remaja oleh Arin (Zoey Rahman), kita akan teringat Roy (Faisal Hussein) yang ikonik dalam Gila-Gila Remaja (1985) arahan Hussein Abu Hassan.

Kita tahu cerita ini tidak berlangsung pada tahun 2017. Semua ini berlaku lebih kurang 30 tahun lalu. Tak perlukan tipografi atau narator untuk menyatakannya. Dan beginilah Aidilfitri Mohamed Yunos bekerja dengan klise, yakni menjual nostalgia; antara unsur yang menyelamatkan.

Selain bermain dengan garis masa sebegitu, pengarah turut cuba membawa genre seram pada tahun tersebut. Imejan filem-filem yang pernah ditonton sewaktu kecil, datang; anak patung berhantu yang dicampak ke dalam sungai, sebuah keluarga yang menyanyikan lagu ‘Saya Anak Malaysia’ di dalam sebuah kereta menuju ke sebuah rumah misteri, kumpulan-kumpulan hantu syaitan yang muncul dari celah-celah semak dan hutan di belakang rumah menggangu sebuah kampung, beginilah suasana filem seram yang cuba digarap dalam AHD.

Apatah lagi sewaktu Amalia Syakirah mengilai (dan bergema) di hadapan Zoey Rahman, ia nostalgia hantu yang pernah ditonton. Saya fikir hilaian, panggilan dan gemaan sudah tidak digarap dalam filem seram tanah air kebelakangan ini. Tidak ketinggalan, latar bunyi dalam AHD turut menjadikan nostalgia genre seram ini konkrit.

Jadi, bagaimana bekerja dengan klise, ialah membikin nostalgia diri sendiri yang turut menjadi suatu nostalgia dalam diri orang lain. Yakni nostalgia yang sejagat yang mungkin terkesan pada kelompok tertentu.

Seperti yang pernah dibikin oleh Mamat Khalid dalam kebanyakan filemnya. Antara yang paling jelas kerana warna hitam putihnya ialah Kala Malam Bulan Mengambang (2008). Atau The Artist (2011) oleh Michael Hazanavicius dalam bentuk filem hitam putih dan bisu. Filem-filem ini menemui kelompok nostalgianya sendiri.

Saya secara peribadi melihat ini sebagai sebuah nostalgia dalam diri. Ia pernah menakutkan saya sewaktu kecil, malah mengembalikan rasa seram itu sewaktu menonton filem ini. Suatu pengalaman wayang yang masih saya ingat. Nasib baik juga, filem ini bukan filem bikinan semula. Maka ia tidak menghancurkan kenangan, tetapi menjadi imbauan.

Beberapa hal lain yang boleh diperkatakan tentang AHD ialah permainan kameranya. Beberapa interaksi seram dengan penonton, sebagai contoh sewaktu Deanna Yusof (yang ‘classy’ dan klasik) menarikan Radjasa Singasari, Deanna berbaring dan ‘menoleh’ ke arah penonton. Sudutnya tepat.

Juga ketika seekor hantu mahu mencekik Farhana di dalam bilik air, ia juga ‘meluru’ ke arah penonton. Hal yang sering pembikin filem lupa, yang harus sama-sama melalui pemindahan psikologi ialah penonton. Bukan hanya pelakon.

Meski unsur tradisional merupakan kerangka yang klise dalam filem-filem seram, baik tarian, ritual pendukunan, puisi, mahupun senjata, masih, ia relevan untuk dibawa dalam sesebuah kisah. Apatah lagi hal-hal tradisional memang berkait rapat dengan unsur mistik. Suatu kerangka yang kuat sebenarnya.

AHD berjaya membawa kerangka yang mengagumkan di arena bambunya. Persembahan tarian berkumpulannya indah, dalam arena yang indah meski terdapat pergerakan ahli yang tidak menepati kiraan masa.

Dan, apa yang tidak klise di dunia ini? Ia berbalik kepada cara kita bekerja dengan klise itu sendiri. Aidilfitri memilih nostalgia sebagai medium. Keputusan yang bagus tetapi berbahaya kerana bermain dengan masa. Sebab garis masa memerlukan perincian yang amat teliti.

Filem ini bukanlah filem kegemaran saya tetapi ia bikin saya rasa berbaloi membeli nostalgia di sini.