Sebelum ini saya telah menonton beberapa filem seram thriller Tamil yang agak baik. Antaranya ialah Maya (2015), Pisaasu (2014) dan Pizza (2012).

Malah saya juga pernah menulis mengenai sebuah filem zombie Tamil pertama berjudul Miruthan (2016). Mungkin secara umumnya, filem-filem yang saya sebutkan di atas tidak sepopular Enthiran atau Sivaji.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun kewujudan filem yang cuba memberi kelainan dengan rasa baharu apatah lagi melalui genre seram ini bagi saya sesuatu yang baik untuk diraikan.

Sinopsis Filem Aval (2017)

Krish (lakonan Siddarth) dan Lakshmi (lakonan Andrea Jeremiah) merupakan pasangan yang cukup bahagia. Sehinggalah mereka mendapat jiran baru iaitu keluarga Paul (lakonan Atul Kurkani).

Namun sejak itu, pelbagai peristiwa aneh dan menyeramkan berlaku. Krish mendapat tahu anak Paul iaitu Jenny (lakonan Anisha Angelina) mula berperangai aneh malah mampu bertutur bahasa Cina walaupun tiada kebolehan itu.

Dibantu oleh Dr Prasad (lakonan Suresh), mereka cuba menyelasaikan misteri yag melanda.

Review Saya

Filem Aval (juga dikenali dengan judul The House Next Door dalam versi Hindi) berada dalam kelas filem Tamil moden yang tak begitu gemar berfantasi dengan gaya Tamil yang biasa. Walaupun ia bercerita hal sesuatu yang misteri tetapi ia masih di atas garis logika sebuah cerita tanpa terlalu mendewakan hero dan heroinnya.

Saya gemar katakan yang filem ini seolah terbahagi kepada dua storyline tetapi dalam satu hala tuju objektif yang sama.

Begini. Melalui filem seram ataupun supernatural yang melibatkan kerasukan, kebiasaannya ia akan membabitkan hal kepercayaan.

Ini kerana di dalam dunia realiti pun, solusi untuk hal-hal gangguan ini akhirnya akan kembali pada teras percaya Sang Pencipta tanpa mengira agama dan benua mana pun (mungkin contoh yang baik ialah filem Munafik). Aval nyata tidak terkecuali.

Filem ini bermula dengan universe sebuah filem hal gugah rasa pada kepercayaan. Ya sudah pasti ada kontradiks, ada sinikal pada alam ghaib dan juga ada penegasan hujah yang menyangkal rahsia alam yang terhijab pada pandangan mata dengan apa yang dilihat melalui fakta sains.

filem aval

Hal-hal ini sudah terlalu biasa diulang siar dalam cukup banyak filem. Namun ada sesuatu yang bagi saya menarik pada fasa pertama filem ini yang dikatakan berdasarkan dari kisah benar.

Ia berusaha membawa mungkin semangat The Exorcism of Emily Rose (2005) melalui binaan penceritaan yang menjurus pada mengambil exorcism (yang bagi saya sebagai solusi yang mewakili apa sahaja kepercayaan) sebagai solusi.

Ini kerana, watak-watak penting di dalam naskhah ini mewakili kelompok moden (saya tertarik dengan satu watak pembantu rumah yang ampuh rasa percayanya pada hal-hal mistik) yang mungkin mahu jawapan ‘fizikal’ dan bukan andaian dari alam mistik sehingga terwujud babak fake exorcism untuk mengiakan andaian sains.

Walaupun perkara-perkara seperti ini ialah ulangan, tetapi melihat bagaimana suntikan bertubi-tubi sang pengarah yang gemar menyampaikan pesan agar ‘percaya apa yang tak dapat dilihat’ melalui papar visual dan shot (malah di akhir kredit juga) menyampaikan maksud jelas bahawa filem ini mahu berdiri sebagai sebuah filem yang bertunjang atas rasa percaya pada yang tidak terlihat dengan mata, tetapi mampu dirasa melalui jiwa.

Malah boleh saya katakan, babak exorcism untuk filem ini agak menarik dengan memberi debar dalam tanda tanya, bagaimana dan apa solusi kondusif untuk seorang yang berbangsa India dirasuk oleh hantu berbangsa Cina?

ketika debar rasa penuh teka-teki itu terbina, ia mula beralih ke arah cara cinema Tamil tipikal pada bahagian kedua filem ini. Ia mula bergerak ke arah solusi thriller dan mula ‘mengorbankan’ tunjang percaya dan supernatural yang awalnya cukup kuat di beri.

Adakah ia membuat Aval layu? Bagi saya tidak secara total dan bergantung pada selera penontonnya.

Dengan mengubah arah filem ini ke haluan yang lebih mudah difahami adalah tindakan safe play yang akan memastikan penonton yang mahu adrenalinnya sentiasa bergelora tatkala menontonnya tidak merasa asing dan mungkin puas.

Namun saya secara peribadi mengharapkan Aval berakhir dengan garap rasa yang mampu membuat jiwa terpinga di angkasa percaya kerana filem ini awalnya telah dibina dengan baik melalui elemen itu.

Ia masih lagi naskhah yang elok dengan pengakhiran yang mampu membuat kita melihat perang antara yang halus dan yang zahir tanpa heret rasa melodrama yang melampau.

Ringkasnya, jika anda membaca tulisan saya mengenai Pengabdi Setan (2017) minggu lalu, antara hal yang saya cuba jelaskan ialah bagaimana Setan melihat kita. Dan melalui filem Aval ini pula, mungkin kita boleh renungi bagaimana agaknya kita melihat Setan.