Filem bertemakan dendam-dendam si mati yang tak mendapat pembelaan sudah terlalu kerap diulang. Malah sekitar tahun 80-an, filem hantu horror Indonesia galak mengulang wajah angker Suzanna yang menjadi mangsa dalam siri filem arahan Sisworo Gautama Putra.

Malah filem hit dan terkenal seperti Shutter atau The Ring juga membawa tema dendam yang sama kerana tema begini sememangnya satu umpan yang baik dalam usaha menarik penonton ke panggung wayang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sinopsis Cold Moon

Filem Cold Moon (2017) mengisahkan peristiwa yang berlaku di pekan kecil Babylon, Florida. Seorang gadis berusia 16 tahun bernama Margaret Larkin telah didapati hilang dan akhirnya gadis itu ditemui di dalam sungai dengan keadaan terikat bersama basikal yang dinaikinya. Kematian gadis itu menyebabkan keluarga Larkin mahukan pembelaan dan mahu menuntut bela dalam masa yang sama.

Review Filem

Filem ini mungkin boleh dikategorikan sebagai telemovie horror yang mahu diingati sebagai sebuah filem, namun keliru antara simpang thriller atau horror.

Sebagai penonton sendiri saya keliru dengan hala simpang filem ini yang cuba memberikan fakta jelas, namun samar dalam menceritakannya. Saya merasakan sesak dengan tingkah lakon watak yang terperangkap dalam kontaminasi plot yang sebentar angker, sebentar khayal.

Namun di sebalik cacamerba dan ketidakupayaan filem ini bercerita, ada perkara yang menarik perhatian saya iaitu bagaimana retribusi dan balasan yang diterima dari kaca mata kita sebagai manusia.

Perbandingan Retribusi

Saya mengambil tiga contoh retribusi di dalam filem lain sebagai perbandingan. Pertama dalam filem SAW (2002), kita melihat bagaimana setiap kejahatan dibalas dengan mewakilkan manusia lain (Jigsaw, si tua genius) untuk menghukum dengan cara kejam.

Kedua, saya mengambil pula contoh filem Korea berjudul Silenced (2011) yang mana setiap kejahatan cuba dibalas dengan mewakilkan pula manusia ‘baik-baik’ untuk melakukan tindakan melalui rasional undang-undang.

Untuk perbandingan ketiga, saya mengambil pula contoh filem ini yang mewakilkan ‘hantu’ menjadi sang pembalas pada kejahatan.

Melihat perbandingan pada ketiga-tiga contoh di atas, secara umum ia memberikan kita satu gugahan lazim yang kita sentiasa mahukan konklusi berbanding solusi.

Sesuatu yang amat jelas dan nyata di dalam filem Cold Moon ini, bagaimana seorang yang bertopeng ‘baik’ bersifat keji dan kekejian itu hanya dapat dibalas oleh sang hantu yang mendendaminya.

Bagaimana pula jika tiada hantu yang menjadi wakil manusia sebagai pembela? Adakah proses retribusi ini masih akan berlangsung? (Malah saya amat terganggu akan mengapa ‘hantu’ diheret tanpa sebab yang jelas?)

Hantu Sebagai Eskapisme

filem cold moon 1

Filem ini (malah banyak lagi filem lain) menyuap kita pada hal kemahuan manusia untuk sempurna dengan menggunakan hantu sebagai eskapisme kehendak kita secara terang-terangan.

Ya walaupun kita boleh menyanggah dengan mengatakan inikan cuma filem yang sudah ditentukan akan jadi begitu begini, tetapi saya gemar memberikan lontaran andai kebobrokan benar berlaku di alam realiti, siapa yang kita sepatutnya harapkan?

Kerana realitinya bukan semua manusia sehebat John Wick yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam mengharapkan pembelaan. Dan apabila Cold Moon secara terus mengharapkan hantu sebagai ‘hakim di mahkamah pembelaan’, saya mula rasa naskhah ini sebagai pemberi gula-gula bernama ‘happy ending’.

Plot Hole

Melalui filem ini juga ada beberapa plot hole yang tidak jelas. Malah terkadang terasa sengaja di’sumbat’ untuk menjelmakan rasa seram.

Malangnya, dengan gerak lakon yang kurang memberi impak dan jiwa (walau ada kalanya, terutama pada awal filem yang cuba berdiri kuat dengan kuasa lakonan), segala adegan dan babak seramnya seolah sekadar ilusi mimpi.

Ia hanya mendebarkan ketika tidur namun akan hilang tatkala kita terjaga. Tetapi dari segi kesan khas, bagi saya ia agak menarik dalam memaparkan rupa ngeri sang hantu.

Apa pun filem ini masih lagi sebuah filem yang boleh memberikan rasa walau tidak begitu kuat dalam memberi kenangan. Belum terlambat untuk anda menontonnya di pawagam. Mungkin anda punya penilaian anda sendiri. Cuma bagi saya, kita yang perlu mengubah cara fikir untuk membuat filem yang mendatar ini menarik.