Filem dari Filipina mungkin agak asing bagi orang Malaysia kecuali drama-drama bersiri yang selalu dipaparkan di televisyen tempatan. Antaranya yang terkenal satu masa dahulu iaitu Pangako Sa Yo. Maka, apa yang kita tahu mengenai naskah Filipina mungkin hanyalah Jericho Rosales dan Kristine Hermosa sahaja.

Tetapi apa yang mungkin kita kurang sedari, filem-filem dari Filipina (seperti juga dari Thailand) sering mendapat perhatian dunia. Malah filem-filem arahan Lav Diaz (seorang pengarah dari Filipina yang terkenal dengan naratif-naratif panjang di dalam filemnya) tersenarai antara filem-filem terpanjang di dunia!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jadi mungkin kita perlu memberi perhatian juga pada filem dari sana di samping lambakan filem Hollywood yang ada. Untuk minggu ini saya memilih untuk menulis mengenai sebuah filem yang saya rasakan menarik dari Filipina berjudul Seklusyon.

Seklusyon (2016)

filem seklusyon 3

Sinopsis, sekitar tahun 1947, seorang gadis kecil bernama Anghela mempunyai kuasa luar biasa yang boleh menyembuhkan penyakit. Seorang Padre bernama Ricardo sangsi akan keluarbiasaan Anghela dan cuba mencari jawapan mengapa gadis kecil itu mempunyai keupayaan luarbiasa.

Dalam masa yang sama, seorang bakal paderi muda bernama Miguel perlu menamatkan ujian terakhir sebelum layak digelar paderi. Ujian yang dianggap getir itu ialah dia perlu tinggal di sebuah gereja usang digelar Seklusyon selama tujuh hari. Sehinggalah berlaku satu kejadian hingga memaksa Anghela berpindah untuk tinggal sementara di Seklusyon, setiap misteri mula terungkai.

Saya ingin memberitahu yang filem ini bermain dalam satu ruang cerita fokus perihal agama Kristian (seperti mana kebanyakkan filem exorcism Hollywood, cuma naskhah ini tidak mengambil exorcism sebagai subjeknya). Tetapi saya tidak mahu mengupas soal Kristianiti yang menjadi tunjang filem ini, saya lebih mahu mengupas apa yang filem ini mahu sampaikan.

Saya mungkin lebih gemar katakan yang filem ini seolah filem hindi PK (2014) tetapi dalam genre berbeza iaitu psychological (atau horror?) thriller. Ini kerana similiariti antara kedua filem ini ialah menumpukan pada makna sebenar soal percaya pada apa yang kita ‘lihat’ atau ‘faham’.

Saya sebenarnya tertarik bagaimana Erik Matti selaku pengarahnya mencipta ruang hitam ‘agama’ melalui naskhah ini kerana ia sudah pasti akan menyentuh sensitviti institusi keagamaan (khususnya para paderi dan saint di sana). Tetapi apa yang disampaikan ‘mungkin’ persis Hanung Bramantyo ‘membogelkan’ isu agama melalui Perempuan Berkalong Sorban (2009).

Filem dibawa oleh tiga watak yang akan membawa penonton pada satu lorong cerita yang sama. Si paderi senior bernama Ricardo yang mahukan hujah, ‘the special miracle kids’ Anghela yang memiliki kesaktian dan Miguel dari kumpulan paderi muda yang tercari-cari erti penyerahan pada Tuhan (di sini mungkin akan timbul sedikit kecelaruan tatkala ketiga-tiga ‘lorong’ cerita ini mahu bersatu menjadi sebuah cerita).

filem seklusyon 2

Ketiga-tiga watak ini menimbulkan konflik kelam yang pada saya berjaya memberi pesan waspada akan hal manusia dan manipulasi dalam memberi maksud ‘percaya’ pada apa yang kita yakini sebagai agama. Kerana sebagai manusia, walaupun kita yakin dan berpegang pada agama yang kita percaya, percaya itu kadangkala mampu menjadi bahan manipulasi. Oleh kerana itu perlu wujudnya hujah untuk menjadi sandaran (apatah lagi dalam soal beragama).

Menariknya kita akan melihat yang filem ini tidak memberi bayangan who’s the villain secara jelas kerana ia lebih menumpukan pada apa yang kita percaya itu terkadang mampu menjadi villain pada diri sendiri.

Oleh kerana itu acapkali hal-hal berkait soal kuasa magis atau special ‘miracle’ ability itu dipersoal walau sebenarnya ia juga boleh jadi perkara benar yang sememangnya anugerah dari Tuhan (lihat ragu Ricardo sejak dari awal filem lagi yang membawa semangat hujah walau ‘bisu’ untuk berhujah). Dan itu membawa pada manipulasi dan eksploitasi mengenai bagaimana seseorang penganutnya memberi respon pada apa yang dia percaya.

Mungkin saya tak gemar memberi ketetapan genre untuk filem ini kerana ia tidak menumpukan pada hal seram yang meremangkan (ya, ada beberapa babak yang boleh membuatkan kita terfikir ini cerita hantu atau apa?) tetapi mahu penontonnya merasa seram pada ‘dosa lalu’ (cubaan ini sukar juga jika penontonnya bukan penganut Kristian tetapi agak berkesan jika kita menyamatarakan yang semua manusia akan ‘berdosa’).

Cumanya beberapa papar imej-imej kelamnya terkadang agak menganggu tontonan (mungkin sengaja dikelamkan) yang mungkin sukar menafsir mengapa itu dan mengapa ini (mungkin boleh disebut plot hole) dan boleh membuat penontonnya hilang sabar. Tetapi menjelang separuh durasi, saya gemar katakan yang ia mula memberi impak psychological thriller yang agak baik.

Apa pun, saya gemar katakan yang watak Anghela lakonan pelakon kanak-kanak bernama Rhed Bustamante itu memberi impak yang sangat mengesankan. Memberikan lakonan yang mahukan kita bersimpati di dalam puzzle keliru dan benci itu cukup membuat kita sabar menanti hingga ke akhir durasi.

Dibantu dengan lakonan mantap seorang mysterious nun bernama Phoebe yang sentiasa menjadi bayang Anghela, gandingan ini mampu membuatkan saya lupa akan wujud seorang nun bernama Valak di dalam The Conjuring 2.

https://www.youtube.com/watch?v=iw5kUvIDePc

Ringkasnya, mungkin secara literalnya filem ini berkisar mengenai hal agama, tetapi apa yang dipaparkan ialah masalah setiap agama iaitu penganutnya sendiri. Dan terpulang kita untuk menjadi penganut yang bagaimana kerana perang antara manusia dan ‘mahkluk dari api’ akan sentiasa wujud.

Untuk memulakan pengembaraan anda mencari naskah filem selain Hollywood, mungkin ini naskah yang ‘elok’ untuk anda atau jika anda mahu filem yang lebih beracuan realiti, saya cadangkan Ma Rosa (2016). Cuma jangan harap jelita Kristine Hermosa atau kacak Jericho Rosales di dalamnya!

Skor filem: 8/10