Seperti mana nota tulisan saya perihal filem zombie Jepun ‘I Am a Hero’ dua minggu lalu, saya seringkali menjadikan filem sebagai tempat untuk melihat bagaimana karyawan menyatakan rasa dan adakah rasa yang mahu disampaikan itu sampai dan mampu diterjemah secara rasional, tanpa mengira apa genre yang dibawa.

Kerana ada waktunya, penyampaian secara literal gagal menghasilkan essence walau jelas objektifnya dan adakalanya juga sesuatu yang dianggap social critique tidak menghadirkan rasa dikritik tetapi lebih pada rasa diperlekeh. Namun semua masih berkait pada kreativiti penghasil filem sama ada mahu sentiasa di landasan sentimen atau nilai yang akan diberikan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Get Out (2017)

Sinopsis ringkas. Setelah beberapa bulan bercinta, Chris (Danile Kaluuya) diajak oleh teman wanitanya, Rose (Allison Williams) bertemu dengan keluarga Rose.

Walau ada waktunya Chris agak keberatan kerana perbezaan warna kulit, tetapi setelah diyakini oleh Rose, Chris akhirnya bersetuju.

Pada awalnya, Chris melihat penerimaan keluarga Rose pada dirinya agak baik juga walau berbeza warna kulit tetapi Chris menghidu sesuatu yang aneh pada penerimaan keluarga Rose.

Dan sememangnya, ada sesuatu pada keluarga Rose yang membawa kepada sesuatu yang Chris tak pernah bayangkan akan berlaku sebelum ini.

Ada dua perkara yang menangkap waktu menonton filem ini. Pertama essence. Tahun lalu, kita sudah disajikan dengan boleh dikatakan deretan filem horror thriller.

Lights Out, The Conjuring 2, The Rezort, 10 Cloverfield Lane, Train to Busan, yang bagi saya hampir kebanyakannya berada pada paras filem yang baik (secara hiburannya) dan tidak begitu memberi rasa essence pada penyampaian.

Don’t Breathe boleh dikecualikan daripada filem-filem yang disebut tadi kerana bagi saya walau ia low budget movie tetapi memberi sesuatu yang lebih ‘besar’ dari mega budget movie.

Dan apabila saya mengatakan perihal essence di atas, bagi saya filem ini memberikan rasa itu walau ia dilihat bias secara literalnya.

Ya, secara mudahnya melihat heronya yang berkulit hitam dan dipasangkan dengan si cantik berkulit putih sudah menimbulkan kejanggalan. Dari kejanggalan inilah yang menghasilkan essence.

Sudah pasti Jordan Peele selaku pengarah (yang juga berkulit hitam) mahu menyebelahi ‘warna kulitnya’, tetapi lihat bagaimana Peele melahirkan rasa yang betapa di negaranya walau sudah berpuluh tahun ‘isu perkauman’ ini dilihat selesai, tapi masih ada ‘jurang’ beza ketara.

Lihat babak bagaimana si kulit hitam cuba untuk bertutur dengan cara si kulit putih dan lihat juga babak bagaimana si polis kulit hitam melayan aduan pengadu sebangsanya.

Walaupun Peele seolah mahu menunjukkan betapa ‘penindasan kelas kedua’ itu wujud, tetapi dalam masa yang sama juga Peele mahu mengingatkan yang Carl Lewis juga pernah mengibarkan bendera USA ketika memenangi emas sebanyak sembilan kali di Olimpik.

Kedua, kejutan. Ya, filem ini bagi saya bukan sebuah filem yang penuh twist besar seperti thriller hasilan Fincher atau Lynch. Tetapi filem ini berjaya memberi perasaan ‘twisting the story’ berbanding ‘twisting the plot’.

Mungkin secara similaritinya, saya gemar mengambil contoh filem terkenal From Dusk Till Dawn arahan Robert Rodriguez yang mana ia tidak memberikan kita apa-apa ‘petanda’ hala tuju sebenar filem itu tetapi akhirnya ia menjadi naskah klasik yang dikenang oleh peminat filem dunia.

Begitu juga dengan naskah ini. Bermula dengan naskah berbaur ‘permainan perkauman’ yang berada pada aras drama cinta yang mungkin akan ada halangan itu dan ini dan apabila ia dilabel horror thriller mungkin ia akan dihantui hantu yang menyeramkan atau si psikotik gila yang kemaruk darah (terima kasih pada trailer yang agak mengurangkan elemen kejutan pada filem ini).

Ya, sesuatu yang anda jangka mungkin berlaku tetapi bagaimana ia dilakukan? Saya gemar katakan yang ia dilakukan dalam satu acuan thrill yang mengubah keseluruhan gerak rasa filem ini.

Mungkin saya lebih gemar katakan yang gerak permainan visual filem ini cukup kaya dengan ‘rasa’. Setiap bingkai yang diberi penuh mood dan perasaan homaj dan imbauan pada filem-filem lagenda lain.

Menariknya, ia dibantu dengan permainan naratif yang membijakkan penontonnya dengan kritikan sosial yang sukar diluah tetapi mudah diterjemah bersama kejutan-kejutan yang mungkin boleh diagak tetapi dilihat natural dan tidak terlalu ‘mencuba’ mencipta kejutan.

Melihat pada bagaimana ia diterjemah ke layar, saya yakin ini merupakan antara filem terbaik untuk tahun ini.

Ringkasnya, sekiranya anda setuju dengan hubungan Orked dan Jason di dalam Sepet, mungkin anda akan suka juga hubungan Chris dan Rose di dalam filem ini. Cumanya, setiap cinta memerlukan pengorbanan, kan?

Skor filem: 8/10