Ibrahim ‘Ujang’ Anon merupakan satu nama yang bagi saya cukup dikenali di dalam industri seni tanahair. Bukan hal Ujang itu sebagai seorang kartunis, tetapi impak yang ditinggalkan beliau di dalam industri bagi saya cukup kuat.

Novel Jibam ditulis olehnya ini terbit sekitar tahun 1992 merupakan antara faktor yang menaikkan nama Ujang dan tidak keterlaluan saya katakan yang nama Ujang itu sendiri merupakan promosi awal untuk filem Jibam ini.

Menyusuli adaptasi di pawagam selepas Tombiruo, Jibam sememangnya dinantikan sama ada ianya kerana nama Ujang atau nilai nostalgia dari novel Jibam itu sendiri.

Sinopsis Filem Jibam (2017)

“Nak tahu satu rahsia tak?” Jibam@Ashraf.
“Biasanya kalau baca ayat kursi, baca Yasin boleh elok.”

Ashraf (lakonan Muhammad Arif Abdullah) merupakan seorang budak lembam yang istimewa. Dipanggil Jibam, dia cukup dibenci Tok Ngah Sudin (lakonan Bohari Ibrahim) yang pernah mengkhianati ayah Jibam iaitu Suman (lakonan Esma Daniel). Berlaku satu kejadian pada Jibam yang berpunca daripada Tok Ngah Sudin, dia mula diburu karma dan fobia pada Jibam.

Review Filem Jibam

filem jibam

Sebelum saya panjangkan nota ini, saya gemar katakan yang cubaan pertama Che Mie selaku sutradara berjaya meyakinkan saya untuk menonton hasil kerja tangannya lagi selepas ini. Harapan saya, selepas atau setelah membaca kritik komentar dari mana-mana medium sekalipun mengenai arahan sulungnya ini akan menjadikan beliau lebih baik di masa akan datang.

Ini apa saya suka dengan filem Jibam

Pertama suasana. Suka saya katakan yang saya tidak menonton Jibam di dalam filem Jibam kerana filem ini tidak mengangkat Jibam sebagai tunjang karekter walaupun judulnya ialah Jibam. Namun karekter Jibam kuat membawa refleksi pada setiap watak yang wujud dipersekitaran Jibam.

Dimewahkan dengan watak sampingan yang mendampingi Jibam, refleski itu memberikan satu suasana masyarakat yang bagi saya relevan tanpa mengira di tahun atau di kurun mana ia berlaku. (Lihat penerimaan berbeza, malah naik turun emosi karekter yang mendampingi Jibam).

Hal itu memberi cerminan pada kita (khususnya Melayu) sendiri dalam menilai Jibam-Jibam yang ada di dunia realiti atau sebenar, sama ada kita melihat Jibam atau kita adalah Jibam di mata orang lain.

Keduanya, lakonan. Bercakap soal lakonan, pasti semua mata tertumpu pada Muhammad Ariff atau popular dengan gelaran Buntat. Diharap mungkin sebagai show stealer untuk filem ini, Ariff memberikan gaya lakon yang agak berjaya dalam memberi perasaan pada audiennya sama ada pilu atau jenaka.

Namun sesuatu yang bagi saya lebih menarik, Ariff dibantu oleh pelakon yang memberikan kualiti lakonan yang tidak lokek dalam menonjolkan bakat. Syafie Naswip, Farah Ahmad, Kazar malah beberapa lagi pelakon pembantu, bagi saya semuanya tidak dilihat janggal dalam menghidupkan watak mereka.

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan, andai filem Jibam ke layar tanpa bantuan skor muzik (yang bagi saya tidak mesra dalam membantu), mungkin ia lebih semulajadi dan realistik dek kerana kekuatan lontaran setiap pelakon dalam memberi makna karekter yang diberi.

Saya membayangkan ketakutan Tok Ngah Sudin mungkin lebih dapat dirasakan dengan sepi suasana yang hanya diselangselikan dengan bunyi laga tin yang menjadi trademark kewujudan Jibam.

Malah ada beberapa babak (terutama babak di kedai kopi), bagi saya cukup berjaya dalam memberikan lontaran dialognya sehingga kita dapat menangkap serta memahami jalar penceritaan di dalam Jibam.

Ketiga, sejarah. Saya melihat filem ini seronok membangkit hal sejarah di lingkungan mereka. Anak lelaki Suman yang berhenti menjadi despatch (tak silap saya) untuk hidup dalam kenangan sejarah ayahnya, juga karma sejarah Tok Ngah Sudin yang sudah diantagoniskan sejak awal munculnya (rujuk babak tampar terajang Tok Ngah Sudin yang awalnya ‘menipu’ penonton akan kepiluan Jibam).

Di sini saya gemar apabila setiap watak berwawasan dari sejarah (rujuk babak imbas semula malah babak kedai kopi yang jelas menamakan Suman selaku pencetus awal sejarah kampung tersebut dan anak sulung Suman yang mahu melupakan sejarah kerana cinta).

Hal ini merupakan cerminan jelas akan refleksi Melayu (khususnya) dalam bagaimana jasa sejarah itu dipacu untuk meneruskan hidup sama ada dari sudut negatif atau positif. Bagi saya, ini merupakan essence besar yang wujud melebihi kisah Jibam itu sendiri.

Namun masih, Jibam punya kelemahan nyata.

Kelemahan filem Jibam

Sebagai seorang penggemar filem, keseronokkan tontonan sememangnya tercalar dengan pembinaan karekter yang seperti dilemahkan oleh beberapa faktor.

Ya mungkin masalah editing (gabung jalin beberapa babak yang terasa janggal) atau hala tuju dan fokus sebenar filem ini yang agak celaru di antara garis binaan berdasarkaan karekter atau cerita hingga akhirnya menyebabkan kerja pembinaan naratif terganggu.

Saya tidak menafikan bahawa filem ini punyai nilainya yang tersendiri, namun sebagai sebuah naskhah yang mahu menyampai dan menceritakan kisahnya, (apatah lagi ia membawa tema kemanusiaan melalui hal-hal pengkhianatan), ia terkepung dalam perangkap adaptasi hingga Jibam janggal dalam menyampaikan sebuah cerita di dalam sebuah filem.

Jujur saya belum berpeluang membaca novelnya (mungkin selepas ini), tetapi apakah yang filem ini lakukan untuk mencipta tarikan dari mana ia teradaptasi? Kerana bagi saya Jibam kehilangan momentum untuk fokus dalam apa yang dipanggil sebuah filem.

Namun masih, ia berjaya memberi rasa dalam beberapa moment melalui keletah Jibam itu sendiri namun ia masih belum mampu menyelamatkan penceritaan yang bagi saya tidak kemas dibina.

Tetapi saya masih lagi menggemari Jibam sebagai sebuah naskhah jujur dalam memberi dan mesra dalam menyampaikan. Cuma mungkin, kelemahan yang ada agak mencacatkan Jibam sebagai sebuah adaptasi yang mengesankan.

jibam filem

Ringkasnya, untuk saya katakan yang Jibam ialah filem hebat dan terbaik, mungkin ulasan ini dianggap tidak telus. Namun jika anda bertanya saya adakah Jibam berbaloi untuk ditonton, maka saya akan katakan yang Jibam sememangnya punya rahsia untuk dibisikkan di telinga anda. Tontonlah untuk mengetahui apa rahsia itu.

Jangan risau, di sebalik komentar ini yang pasti Jibam bukan kenangan terburuk filem tempatan saya tahun ini. Ia masih berbaloi untuk membuat anda senyum. Sungguh!