Aku tiada sangat rakan pembikin filem. Tetapi aku punya rakan-rakan yang punya kelulusan agama yang hebat. Sesekali bertemu, sengaja aku diskusikan perihal filem dan sinema untuk melihat persepsi dan visi mereka pada industri filem tempatan.

Rata-rata dari lisan mereka, cuma dua filem yang sering diulang sebut dan diharapkan terhasil di bumi Malaysia. Pertama Lion of the Desert (1981) dan kedua, The Message (1976).

Atas dua jawapan itu, aku ajukan soalan mengapa cuma dua filem ini yang ‘diidolakan’ dan perlu dicontohi? Jawapannya mudah.

“Generasi kita perlu melihat sejarah perjuangan silam. Mesej dakwahnya jelas dan patuh syariah.”

Lantas aku bingkas memberi hujah, filem sejarah begitu menelan kos yang terlalu tinggi. Lagi pula, masih ada filem yang mampu memberi mesej Islamis walau bukan dengan cara literal.

Aku memberi contoh filem Laskar Pelangi dari Indonesia dan Children of Heaven dari Iran. Dan aku kembali ditanya dengan soalan,

“Adakah dua filem itu membawa identiti dan imej pendakwah? Dan kenapa perlu tonton filem dari Iran?”

Children of Heaven (1997)

Sinopsis ringkas mengenai filem arahan Majid Majidi ini, setelah kehilangan sepasang kasut milik adiknya Zahra (lakonan Bahare Seddiqi), Ali (lakonan Mir Farrokh Hashemian) yang dianggap tulang belakang untuk keluarga terpaksa memikirkan cara untuk mendapatkan kembali kasut adiknya itu dan dalam masa yang sama merahsiakan kehilangan kasut itu dari pengetahuan ibu bapanya.

Filem ini amat mengingatkan aku pada filem Pensil karya M. Subash. Persamaan antara kedua filem ini, ia ringkas tetapi sarat dengan paksaan agar kita berfikir cara tauhidic mindset.

Ia tidak berbicara direct mengenai apa agama, siapa Tuhan dengan selang-seli terjemahan hadis dan kata manis motivasi. Kedua-duanya kisah ringkas yang tak perlu bercerita mengenai agama tetapi bijak menyampaikan agama. (Dan M. Subash ketika mengarahkan Pensil, dia masih belum muslim bukan? Tidak terasakah ini satu ‘hempukkan di kepala?’)

Ada beberapa aspek yang aku gemar mengenai filem ini. Kerana sebagai seorang penonton yang sudah menonton ratusan filem pelbagai genre, secara peribadi aku akan menganggap filem yang baik ialah filem yang berjaya membuat penontonnya ‘dekat’ dan ‘akrab’ dengan filem tersebut.

Adakah Filem Ini Berada Pada Aras Itu?

Pertama, tunjang filem ini ialah mengenai sepasang kasut lusuh. Dan penceritaannya digerakkan oleh watak utama filem ini iaitu dua orang kanak-kanak iaitu Ali dan Zahra.

Di sini dapat dilihat betapa kedua-dua tunjang filem ini ialah dari gerak cerita dua perkara yang sering (atau mungkin) menjadi perkara kedua penting di dalam realiti kehidupan kita.

Ya, siapa yang akan peduli hal kasut dahulu sebelum memikirkan soal baju dan siapa yang akan mendengar bicara kanak-kanak dahulu sebelum orang dewasa?

Di sini, aku amat menggemari bagaimana filem ini cuba menyatakan bahawa apa pun ia dan siapa pun kita, ia akan tetap punyai peranan yang penting dalam kitaran hidup seharian.

Dan aspek ini antara pembina rasa akrab antara kita dan filem ini yang inginkan kita melihat sesuatu melalui sudut pandang yang lain hasil dari dua tunjang yang kita anggap remeh iaitu sepasang kasut lusuh dan suara kanak-kanak. Itu membuatkan kita merasa dekat dan akrab tatkala menontonnya.

Kedua, apabila filem ini bercerita mengenai kehidupan keluarga yang serba ‘cukup makan’, aku gembira apabila filem ini membawa cara hidup dan survival orang ‘cukup makan’ berbanding memaparkan ‘beginilah kehidupan orang cukup makan’.

Kita tidak diheret simpati tetapi meneliti keazaman bagaimana mereka berdikari. Dan dua watak anak kecil yang punya hati untuk ‘berdiri’ sama matang dengan yang dewasa cukup memberi rasa sempurna pada latar hidup sederhana filem ini. Kerana itu, amat dirasakan yang jiwa filem ini lebih gemar untuk memberi dari menyampaikan.

Ketiga, mesej agama yang tersampai. Acapkali aku diingatkan yang sifat bersederhana dan mensyukuri adalah sifat terpuji. Tetapi jarang sekali aku lihat di dalam filem tempatan sifat ini mahu dipamer secara natural atau semulajadi. (Mungkin masalah durasi dan pemanjangan idea? Ini kerana biasanya mesej dalam begini amat sampai pada iklan hari raya yang durasinya tak sampai 30 saat).

Sesuatu yang aku amat gemar ialah qanaah watak-watak di dalam COH. Ia tak perlu berkata dengan jela hujah agama, tetapi cukup dengan kata-kata pendek dan terkadang cukup dengan pandangan mata atau bahasa tubuh yang membayangkan sifat terpuji itu. Ia amat natural dan semulajadi. Dalam masa yang sama mampu menyentuh hati tanpa paksaan pilu pada dialog mahu pun gemersik hiba latar bunyi.

Ringkasnya, aku tak perlu menceritakan babak untuk membayangkan teladan filem ini. Cuma aku amat rasakan industri kita perlu filem begini. Cukuplah dengan papar hantu, kereta mewah dan kisah cinta dari mata hingga ke ranjang.

Ceritakan juga mereka yang masih berbasikal dan masih memberi air sirap pada anak sekecil enam bulan. Mungkin cerita mereka lebih punya isi teladan berbanding cerita mereka yang di pejabat dan anak-anak mereka yang mula khusyuk membelek tab dan i-pad.

Filem ini cukup indah, walaupun ia sekadar cerita dari sepasang kasut lusuh.

Skor: 9/10