Sempena bulan Ramadhan yang baru bermula minggu ini, setelah menulis mengenai filem-filem pilihan berkisar mengenai guru minggu lalu, minggu ini saya memilih untuk menulis mengenai filem-filem yang mengaitkan bulan Ramadhan sebagai salah satu inti penceritaan.

Ya, filem berkisar mengenai Ramadhan sememangnya bukan selalu dihasilkan (kecuali drama, sinetron atau telefilem) kerana mungkin faktor skop market yang agak terbatas atas kesesuaian waktu tayangan (sudah pasti filem mengenai Ramadhan hanya sesuai ditayang ketika bulan tersebut bukan?)

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Di sini saya senaraikan beberapa seleksi pilihan filem termasuk beberapa filem pendek. Walau ada filem yang tidak secara total menyentuh perihal Ramadhan, tetapi ada beberapa elemen perihal Ramadhan yang menarik diselitkan.

Sudah pasti pilihan ini bukan pilihan terbaik dan mungkin anda ada pilihan yang lain?

1. Tanda Tanya (2009)

Filem arahan Hanung Bramantyo ini merupakan sebuah filem yang agak kontroversi di Indonesia. Filem yang berdasarkan sentimen perkauman dan agama ini menyentuh isu dasar sensitiviti yang dilihat masih janggal untuk diterima secara literal di Malaysia.

Walaupun filem ini tidak menyentuh secara khusus mengenai bulan Ramadhan, tetapi paparan babak di bulan Ramadhannya cukup kuat untuk menjadi pemecah tembok sentimen yang menebal.

Sudah pasti babak bagaimana Non-Muslim berniaga kedai makan dengan menutup kedainya dengan kain demi untuk menghormati Muslim yang berpuasa cukup mengesankan.

2. Fordson: Faith, Fasting and Football (2011)

Filem dokumentari arahan Rashid Ghazi ini merupakan kisah bagaimana kehidupan pemain American Football berbangsa Arab-American dari Fordson High School menjalani ibadah puasa.

Namun dalam masa yang sama dia perlu berlatih untuk perlawanan penting di 10 hari terakhir Ramadhan. Tetapi filem ini bukan sekadar mengenai fokus mereka pada latihan dan puasa.

Ia turut mengetengahkan kisah bagaimana mereka mendepani isu serangan 9/11 yang cukup menguji ketabahan iman mereka bergelar seorang Muslim.

3. One Last Sin (2014)

Ini merupakan sebuah filem pendek arahan Ubaid Seth, seorang pengarah indie yang cukup aktif menghasilkan filem-filem pendek bertunjang rasa Islamis seperi Jannati (2011) atau The Call (2012).

Untuk One Last Sin, ia merupakan sebuah filem pendek yang mengisahkan bagaimana seorang lelaki mahu menghadapi Ramadhan dengan mahu melakukan dosa terakhir sebelum berjanji akan bertaubat di bulan Ramadhan nanti.

Walaupun secara sinemanya ia masih ada ruang kelemahan tetapi essence yang cuba disampaikan cukup kuat untuk menggugah kita sebagai seorang muslim.

4. Lagi Lagi Senario (2001)

Filem arahan Aziz M. Osman yang boleh kita anggap lagenda ini sememangnya sering diulang tayangannya sempena hari raya dan filem ini bukan secara khusus mengenai bulan Ramadhan.

Tetapi dalam filem ini terdapat babak-babak yang berkisar mengenai realiti masyarakat dalam menghadapi Ramadhan yang diselitkan cukup menggambarkan realiti masyarakat yang masih relevan sehingga kini.

Siapa boleh lupa adegan kedai makan yang secara pandangannya ‘tutup’ tetapi sebenarnya ‘buka’ untuk pengunjung terpilihnya.

5. Untuk Rena (2005)

Filem arahan pengarah Ada Apa dengan Cinta 2 (2016) dan Laskar Pelangi (2009) ini tak perlu diragui kredibilitinya di pentas pengarahan.

Riri Reza kali ini mengarahkan filem mengenai sebuah rumah kebajikan bernama Rumah Matahari yang didiami anak-anak kecil termasuk seorang gadis kecil bernama Rena.

Filem ini secara latarnya sememangnya memaparkan bulan Ramadhan sebagai latar penceritaan dengan adegan berbuka puasa dan bermain bunga api malah soal jawab santai anak-anak kecil perihal bulan suci Ramadhan.

Namun pautan rasa kasih yang cuba dijadikan inti penceritaan cukup membuat filem ini akan diingati sebagai sebuah filem yang akan diingati kerana kesederhanaannya.

6. Kicap Ramadhan (2015)

Sebuah filem pendek tempatan terbitan Zaid Studio ini dimuat naik ke laman You Tube sekitar Jun 2015. Sebuah filem yang memaparkan beberapa anak muda makan beramai-ramai sambil bersembang ini memaparkan azam dalam menghadapi Ramadhan.

Walaupun ia dibikin secara amatur dengan dialog yang too scripted, namun intipati penyampaiannya cukup kuat untuk menyampaikan pesan betapa bulan Ramadhan bukan bulan mengejar pahala semata, tetapi juga bulan untuk memperbaiki diri.

7. Seputih Cinta Melati (2014)

Walaupun judulnya seperti sebuah filem cinta, tetapi filem arahan Ari Sihasale yang berlatarkan bulan Ramadhan boleh dikatakan cukup ringan dan mudah untuk difahami oleh segenap minda yang menonton.

Seperti filem Untuk Rena juga, filem ini mengisahkan dua kanak-kanak yang berkawan dengan dua orang penjenayah tanpa mengetahui mereka ialah penjenayah.

Menariknya, dua watak kanak-kanak itu cukup santai menyampaikan erti sebenar rasa ehsan dan kasih malah boleh dikatakan cuba memaksudkan pengertian Ramadhan dari kaca mata kanak-kanak. Dan adegan anak kecik mengimami solat dua orang penjenayah cukup mengesankan.

Mungkin masih banyak lagi filem-filem berkisar bulan Ramadhan yang lebih baik dari senarai di atas. Dan ada juga filem-filem dari timur tengah dan filem klasik perihal Ramadhan yang saya telah lupa judulnya.

Berdasarkan senarai di atas, mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan ada telefilem, malah iklan video yang lebih berkualiti. Tetapi untuk meraikan betapa filem perihal Ramadhan sememangnya jarang ada, maka agak menarik juga jika kita meraikan kewujudannya.

Oh ya, saya juga sebenarnya tidak sabar menanti iklan hari raya untuk tahun ini. Mungkin masih melodrama? Atau berubah perasaannya pada kelakar?

Kita sama-sama nantikan!