Kebelakangan ini banyak filem dibuat berdasarkan kisah benar atau diinspirasikan daripada kisah masyarakat India diketengahkan ke layar perak. Antaranya seperti Lion, Talvar, Guru, Mary Kom dan Bhaag Mikha Bhaag.

Mengikuti pelbagai kisah benar, filem yang bakal direview ini turut berada di dalam lingkungan yang sama. Ia pastinya bakal memainkan emosi anda sewaktu menonton jalan ceritanya. Bertambah pilu, ia benar-benar berlaku dalam kehidupan ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Nak tahu apakah tragedi buruk yang berlaku, anda perlu tonton filem ini sampai habis kerana ia difilemkan dari kisah awal kanak-kanak ini yang dikenali sebagai anak jalanan sehingga babak akhir orang yang memeliharanya.

Budhia Singh: Born to Run (2016)

Sinopsis ringkas, filem ini berdasarkan kisah benar Budhia (lakonan Mayur Patole) yang merupakan seorang anak miskin yang hidup di jalanan. Dia dijual oleh ibunya kepada individu lain kerana kesempitan wang. Pada ketika itu Budhia tidak dilayan baik dan mahu dijadikan hamba.

Tetapi akhirnya dia diselamatkan oleh Biranchi Das (lakonan Manoj Bajpayee), seorang jurulatih judo dan dijaga olehnya dan isteri. Sehinggalah Biranchi berjaya mengesan bakat istimewa kanak-kanak ini, Budhia dijadikan anak angkat agar lebih mudah dia menggarap bakat Budhia.

Namun Biranchi menjadi mangsa tuduhan mempergunakan Budhia dan berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan akibat sebilangan orang yang tidak menggemari tindakan Biranchi.

Mengapa Anda Patut Tonton Filem Ini

budhia singh 3

Berdasarkan kisah benar seorang pelari marathon termuda dalam sejarah, kita akan melihat dua hala hubungan antara seorang anak kecil berusia lima tahun bernama Budhia dan jurulatihnya Biranchi Das.

Biranchi seorang yang cukup tegas dalam pendiriannya namun seorang yang amat prihatin manakala Budhia seorang anak kecil jalanan yang telah biasa dengan kehidupan berontak.

Ada perkara istimewa yang berlingkar di antara hubungan dua individu yang diceritakan kembali di dalam filem ini. Satu hubungan yang merentasi dari sekadar gelar nama seorang jurulatih dan anak didiknya. Sukan marathon pula menjadi jejambat rasa pada apa yang sepatutnya kita rasakan.

Sebelum nota ini dipanjangkan lagi, bayangkan realiti ini dahulu. Bayangkan kita sedang melihat seorang budak lelaki berusia lima tahun yang masih belajar mengesat hingus itu sudah pasti masih tidak tahu apa itu hala tuju hidup.

Dianggap berpotensi, dia telah dikerah agar berlari sejauh 70 kilometer. Untuk pengetahuan, jauh 70 kilometer itu jaraknya ialah seperti daripada Petaling Jaya ke Seremban.

Sedangkan pelari olimpik hanya berlari 42.1 kilometer (dan tertakluk pada kepantasan masa) tetapi jika diambil pada soal usia, adakah wajar seusia lima tahun perlu berlari sejauh itu walau segagah mana pun potensi dimiliki?

Apa tanggapan kita apabila melihat situasi di atas?

Harus diingat, filem ini berdasarkan kisah benar dan sememangnya pencapaian Budhia Singh yang masih hidup hingga kini ialah telah berlari sejauh 65 kilometer dalam masa tujuh jam ketika berusia lima tahun pada tahun 2006!

Babak-Babak Yang Menggetarkan Jiwa Rasa

budhia singh 4

Bagi saya filem ini cuba menyampaikan rasa jujur fasa hubungan antara Budhia dan Biranchi. Mungkin secara filemnya, kita akan melihat Soumendra Padhi selaku pengarah menggerakkan filem ini dengan cukup pantas sehingga kadangkala terasa kita tidak cukup kenal dengan dua watak penting di dalam filem ini (mungkin mengambil skop penonton India yang telah mengenali Budhia).

Namun apa yang menarik ialah kewujudan watak-watak di sekeliling Budhia dan Biranchi yang akan membuatkan kita mengenali karekter dua watak ini. Bagaimana hubungan Budhia dan ibunya, hubungan Biranchi dengan masyarakatnya, dan rentet dari semua ini mendorong kita untuk melihat sesuatu yang kita kategorikan peristiwa dalam kerangka yang lebih luas.

Filem ini mungkin akan membawa kita pada hala rasa sama ada ini satu eksploitasi untuk kepentingan diri atau ekplorasi untuk satu potensi. Kita sebagai penonton bebas untuk menentukan cara fikir kita dalam meletakkan apa yang lakukan oleh seorang jurulatih pada anak didik yang baru berusia lima tahun itu wajar atau tidak.

Saya sendiri kadang kala keliru apakah Biranchi patut melakukan Budhia sedemikian rupa hanya untuk menunjukkan dia betul dalam mencungkil bakat Budhia kepada masyarakat dan pihak kerajaan serta NGO.

Sebagai contoh, terdapat satu babak (yang kita boleh anggap satu peristiwa di India waktu itu) di mana intensiti kecamuk rasa cukup jelas dipaparkan. Ianya ialah pada babak di mana Budhia sedang mengharungi marathon yang dijadualkan sejauh 70 kilometer dari Bhubaneswar ke Puri.

Ketika menjengah jarak 40 kilometer, Budhia mula meminta air daripada jurulatihnya yang setia mengekori dengan menaiki basikal. Tetapi apa yang Biranchi lakukan ialah dia tidak memberikan air pada Budhia, sebaliknya hanya mengacah dan memancing Budhia dengan botol berisi air agar anak kecil itu lari lebih kuat untuk mengejar air yang tak akan sesekali diberikan oleh jurulatihnya selagi marathon belum tamat.

Secara manusianya mungkin kita beranggapan yang betapa kejam perbuatan seorang lelaki dewasa pada seorang anak kecil yang kehausan, tetapi inilah yang cuba ditekankan oleh sang pengarah iaitu untuk kita melihat dan menilai hubungan Budhia dan Biranchi dari sudut apa yang kita fikirkan melalui pengamatan keseluruhan hubungan.

Mungkin dari skop sebuah peristiwa (yang selalunya kita akan hadapi melalui penilaian hasil dari tularan berita), kita akan melihat lebih dari aspek apa yang berlaku berbanding mengapa ia berlaku.

Ya sudah pasti persoalannya, adakah sepatutnya seorang yang baru berusia lima tahun dikerah berlari sejauh itu dan tidak diberi air minuman walau ia atas alasan potensi atau bakat stamina yang luar biasa?

Kerana itu filem ini cuba menggarap hubungan ‘istimewa’ antara Biranchi dan Budhia. Bagaimana mereka bertemu, sejauh mana akrab hubungan mereka dan juga sejauh mana Budhia merasakan apa yang dilakukan oleh Biranchi lakukan itu wajar atau tidak. Dan yang paling penting, apa penilaian yang kita rasakan tatkala sebelum, ketika dan selepas menonton filem ini.

Kupasan Inspirasi Ditentukan Oleh Penonton

Filem ini mungkin akan menginspirasikan bagi sesetengah penonton. Kerana itu saya tidak gemar menyeret perasaan filem ini pada bagaimana manipulasi politik, penyalahgunaan kuasa atau eksploitasi media yang terkadang mahukan sensasi melebihi realiti. Kerana di mana-mana negara bersistem manusia, sebenci mana pun kita, mahu tak mahu tetap akan berhadapan realiti ‘ngeri’ seperti ini.

Dari satu sisi lain pula, mungkin rasa terkilan itu wujud tatkala Budhia yang kini berusia 15 tahun sudah tidak sestamina dahulu membuatkan impian Biranchi yang cuba membawa harapan India melihat Budhia bermarathon di Olimpik semakin jauh dari gapaian.

Malah mungkin masyarakat di sana sudah lupa akan sejarah yang telah dicatatkan oleh Budhia. Kemungkinan jika Biranchi masih ada, kisah dongeng Cinderella pemain bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo yang berasal dari keluarga miskin kemudian sukses kerana bakatnya akan turut berlaku pada Budhia.

Apa yang mungkin orang tidak faham, Biranchi tahu apa keistimewaan Budhia yang sebenarnya dan apa yang boleh dicapai oleh Budhia terutama di arena antarabangsa. Cuma mungkin selagi Budhia masih hidup, dongeng itu tak akan pernah tamat sama ada Biranchi ada ataupun tidak. Dia tetap istimewa, cuma memerlukan seseorang yang tahu dia istimewa.

Tetapi saya gemar dengan konklusi yang Budhia Singh bukanlah mangsa dan Biranchi Das bukanlah korban. Mereka cuma sekelompok manusia yang telah lihat bagaimana orang lain melihat luaran kehidupan mereka dan memperlakukan kasar dan aniaya terhadap mereka.

Oleh kerana itu hanya mereka yang faham betapa istimewanya hubungan mereka, yang berbeza sama sekali dengan pandangan peraih politik, media massa malah insan yang cukup rapat dengan mereka di mana tak akan fahami tindakan Biranchi dan Budhia.

Hubungan ini mungkin ada dalam kehidupan anda dengan seseorang yang anda percaya tetapi dalam masa yang sama tidak diyakini oleh orang sekeliling walaupun oleh orang tersayang anda.

Skor filem: 8/10