Malam semalam, saya tengok filem Wonder kat panggung wayang. Kisah pasal budak istimewa yang cacat sejak lahir hingga dah menjalani berpuluh-puluh pembedahan walaupun usia baru nak masuk Grade 5.

Nama budak istimewa ni Auggie. Selama hidup dia tidak pernah ke sekolah sebab home schooling sahaja oleh ibu dia. Kiranya nak masuk Grade 5 ni ialah pertama kali dia akan masuk sekolah dan bergaul dengan umat manusia yang lain (satu suasana asing untuk dia sebab dia perlu tunjukkan wajah dia).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seawal minit ke 25 sudah buat saya menangis melihatkan babak layanan pelajar sekolah terhadap Auggie. Siapalah sangka filem genre sebegini boleh buatkan air mata saya keluar (malu).

filem-wonder-3

Di awal babak, ditunjukkan tiga watak pelajar sekolah — Julian, Jack Will dan Charlotte yang dipertanggungjawab oleh pihak sekolah untuk bawa Auggie tengok-tengok kawasan sekitar sekolah. Mereka bertiga adalah menifestasi kelompok manusia yang hadir dalam hidup seharian kita.

Julian, budak lelaki dengan watak jahat. Suka membuli dan sengaja mengeluarkan kata-kata tanpa fikirkan sensitiviti orang lain. Perangai menjengkelkan dan suka buat orang sakit hati.

filem-wonder-1

Charlotte, budak perempuan yang suka bercakap dan terus bercakap tanpa menghiraukan orang lain nak dengar atau tidak (ada kan manusia begini dalam lingkungan kita? hehe). Walaupun begitu, ada juga sisi baik dia sebab pandai jaga hati orang lain.

Jack Will, budak lelaki yang menjadi pengkhianat dalam sebuah ikatan persahabatan hingga akhirnya dia sedar apa yang dilakukan itu salah lantas berasa insaf dan meminta maaf. Juga tegas dalam menyatakan kebenaran dan menegakkan yang hak.

Plot cerita tidak hanya berkisar sekitar kehidupan Auggie sahaja. Malahan diadun indah dan diberikan elemen dramatik dan suspen bagi plot yang melibatkan Via (kakak Auggie), Miranda (kawan Via) dan Justin (kekasih Via).

Pada saya, semua watak menonjol. Julia Robert yang berperan sebagai ibu Auggie tak perlulah dipertikai mutu lakonan dia. Malahan Daisy si anjing mereka pun membawa peranan dengan berkesan sekali. Ada babak sedih melibatkan Daisy dan saya menangis lagi (eh, ada la beberapa babak yang buatkan saya menangis hahaha).

filem-wonder-2

Anda rasa down dengan hidup anda? Rasa kecewa dengan persekitaran kerja anda? Rasa bosan dengan Boss, keluarga, kawan-kawan? Dan apa-apa je la yang buatkan kita tak rasa seperti menikmati kehidupan ini dengan sesungguhnya? Filem ini mengajarkan bahawa kita tak boleh merubah pandangan orang terhadap kita, akan tetapi kita boleh merubah bagaimana kita memandang sesuatu perkara itu.

Sewaktu Auggie bergelumang pada awalnya untuk menerima hakikat dia perlu berada di sekolah yang suasananya terlalu asing buat dia; dia berpegang kepada kata-kata, “jika tidak suka tempat sekarang, bayangkan ke mana kita akan pergi”.