Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menyaman 47 individu dan syarikat produksi kerana tidak menghantar sebarang filem daripada jumlah RM20 juta yang telah diberikan kepada mereka.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik ketua eksekutifnya Md Nasir Ibrahim, berkata tindakan itu diambil berdasarkan audit yang melibatkan geran antara 2013 dan 2017.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Berdasarkan laporan audit yang kami terima, semua penerima geran gagal menerbitkan filem seperti yang dipersetujui,” katanya dipetik sebagai berkata.

“Justeru, Finas melalui tindakan pembetulan dan membendung penyelewengan, menyaman kesemua 47 syarikat dan individu terbabit. Jika tindakan itu diabaikan, individu dan syarikat terbabit akan diisytiharkan muflis.”

Menurut Md Nasir, Finas telah menggesa mereka membayar balik dana yang diambil melalui surat amaran tetapi tidak berjaya, malah ada yang menyalahkan Finas kerana tidak berperikemanusiaan dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Tambahnya, Finas menyasarkan untuk mendapatkan semula dana yang telah diberikan tetapi “dibazirkan” bagi memulihkan reputasinya, selain menangani kelemahan yang membolehkan dana filem itu disalahgunakan.

Susulan itu, Md Nasir berkata, Finas memperketatkan proses pemberian dana kepada syarikat produksi atau individu yang bercadang membuat filem tahun ini.

“Finas juga akan turun padang untuk menyaksikan proses penggambaran yang dijalankan oleh penerima bagi memastikan tiada penyelewengan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Finas juga akan menambah baik proses pemilihan penerima dana.

“Tahun ini kita melantik 30 ahli panel terpilih yang terdiri daripada ahli akademik, pemain industri filem dan drama termasuk penulis skrip, pengarah, dan lain-lain bagi memudahkan proses itu,” katanya merujuk kepada proses pemilihan penerima dana.