Nota Editor: Artikel ini diterbitkan selepas diberitahu oleh pembaca kami bahawa Dr Firdaus Hariri merupakan seorang yang serba boleh dalam bidang perubatan di Malaysia dan luar negara. Jadi kami menghubungi beliau untuk kisah lanjut tentang diri beliau.

Beliau juga banyak terlibat dengan misi kemanusiaan di beberapa tempat bencana alam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menggenggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah prinsip dan pegangan hidup Dr. Firdaus Hariri dalam mengejar impian menjadi seorang Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial. Selepas 14 tahun bekerja-keras memenuhi tuntutan pengajian yang berat, Dr. Firdaus kini merupakan salah seorang daripada segelintir kecil Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial tempatan di Malaysia yang mempunyai dwi kelayakan dalam kedua-dua bidang pergigian dan perubatan.

Maksilofasial – bahagian mulut, rahang dan muka.

Bidang pembedahan mulut dan maksilofasial merupakan salah satu cabang pembedahan berkaitan baik pulih struktur muka sama ada diakibatkan oleh kecederaan, keradangan, ketumbuhan, kanser atau kecacatan sejak lahir. Di sesetengah negara seperti di Eropah dan United Kingdom, kepakaran dalam bidang ini memerlukan kelayakan dalam kedua-dua bidang pergigian dan perubatan kerana prosedur baik pulih atau rekonstruktif adakalanya melibatkan anggota badan selain daripada muka justeru memerlukan pakar bedah yang terlibat mempunyai pengetahuan serta kelayakan dalam kedua-dua bidang bagi memastikan rawatan secara menyeluruh dapat diberikan kepada pesakit.

“Sebenarnya iltizam saya untuk menjadi seorang yang berjaya dalam karier bermula daripada kegagalan yang menyakitkan.” Begitulah kenyataan ringkas beliau apabila ditanya tentang titik mula bagaimana beliau boleh mencapai impian yang sememangnya memerlukan fokus serta tempoh pengajian dan latihan yang panjang.

“Selepas menamatkan kursus Asasi Sains selama dua tahun, saya mendapat tawaran memasuki kursus Sains di Universiti Malaya. Pada waktu itu, saya agak kecewa kerana pilihan pertama saya adalah kursus Pergigian dan kursus Sains merupakan pilihan ketiga. Namun, disebabkan minat yang mendalam dalam bidang biologi, saya tetap bersyukur kerana masih berpeluang untuk menjadi seorang saintis mikrobiologi.”

Tawaran kemasukan ke Fakulti Pergigian di Universiti Malaya diperolehi beliau secara mengejut selepas 2 bulan memulakan pengajian di Fakulti Sains. Dr. Firdaus hanya sedar mengenai tawaran tersebut selepas diberitahu rakan-rakannya yang namanya terpampang di papan kenyataan fakulti. “Mungkin memang sudah ditakdirkan, mendapat tahu tawaran ini pada hari terakhir sebelum tawaran dikira lupus. Saya hanya sempat menelefon ibu untuk bertanya pendapatnya tentang tawaran tersebut.” Atas nasihat ibunya, beliau menerima tawaran tersebut.

Walaubagaimanapun, beliau hampir hilang arah selepas setahun mengikuti kursus pergigian kerana memandang ringan beban pengajian di samping terlalu sibuk dengan aktiviti-aktiviti luar kampus yang kadang-kala melalaikan. “Saya sukakan muzik. Saya suka bermain muzik dan mendengar ‘live band’. Mendapat Anugerah Pemain Gitar Terbaik pada Pesta Seni Pentas Universiti Malaya 1998, terlibat dalam progam televisyen, menjadi gitaris undangan beberapa selebriti, semua itu kenangan manis saya ketika di kampus. Kadang-kala bila kita terlalu taksub dengan sesuatu, kita lupa tentang ‘priority’ kita sebagai seorang anak dan pelajar.”

Saat perit tiba apabila mendapat tahu beliau gagal di dalam peperiksaan akhir tahun pertama dan perlu mengulang pengajian selama satu tahun. “Tahun 1998 merupakan tahun yang banyak memberikan pengajaran kepada diri saya. Banyak perkara yang saya ingin cuba pada ketika itu. Jika saya imbas kembali sebenarnya saya betul-betul bersyukur kerana ada ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan. “ kata Dr. Firdaus sambil merenung keluar kedai kopi tempat wawancara ini dijalankan.

Bertitik-tolak dari kegagalan itu, beliau terus tekad untuk lebih fokus menamatkan kursus pergigian dan tidak menoleh ke belakang lagi. Namun, atas sebab minat, beliau masih bergiat aktif dalam bidang muzik sepanjang pengajiannya malah turut sempat menganjurkan beberapa program kemasyarakatan sepanjang tempoh pengajian di Universiti Malaya.

“Alhamdulillah, atas dorongan ibu dan ayah, saya telah mendapat peluang kedua untuk fokus pada perjalanan akademik saya. Melalui peluang ini, saya sedar yang sebenarnya daripada setiap rezeki dan kesenangan yang Allah berikan pada seseorang pastinya ada sebahagian untuk orang lain.”

Hasil usaha gigih dan dorongan daripada ibu bapa, beliau telah dianugerahkan dengan pingat emas Yayasan Tunku Abdul Rahman selaku graduan terbaik Universiti Malaya bagi tahun 2004, satu pencapaian yang seakan membuktikan bahawa kejayaan mengejar kecemerlangan akademik boleh dilakukan tanpa perlu mengorbankan minat dalam aktiviti-aktiviti positif luar kampus yang sememangnya berguna dalam membina jati diri seseorang mahasiswa. “Anugerah itu untuk ibu dan ayah saya.” katanya ringkas.

Dr. Firdaus mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (1) Kuala Ampang sebelum meneruskan pengajiannya di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) berprestij, Maktab Tentera Diraja daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Pengalaman lima tahun di Maktab Tentera Diraja (MTD) sememangnya menjadikan beliau seorang yang sukakan cabaran dalam hidup. “Saya berpegang pada prinsip ‘Berkhidmat Memimpin’. Bagi saya, tiada orang lain yang boleh kita harapkan untuk melakukan sesuatu perubahan selain diri kita sendiri.”

Sejurus tamat kursus pergigian, beliau telah dihantar untuk menabur bakti di Bumi Kenyalang di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum kembali ke Universiti Malaya untuk bertugas sebagai pensyarah pelatih. Dua tahun pengalaman berkhidmat di Sarawak telah memberikan beliau peluang untuk lebih melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. “Saya dan isteri saya sedih sewaktu meninggalkan bumi Sarawak dahulu. Kami dikelilingi sahabat handai yang menganggap kami seperti ahli keluarga sendiri.”

1487687_10152051732972769_448999386_o

Selepas setahun menjadi Pensyarah Pelatih di Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Universiti Malaya, beliau telah ditawarkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian kepakaran dalam kursus Sarjana Pembedahan Maksilofasial di Universiti of Hong Kong selama tiga tahun. Sepanjang berada di Hong Kong, beliau telah mendapat latihan dalam bidang klinikal di Prince Philip Dental Hospital dan Queen Mary Hospital di bawah pakar-pakar bedah yang ternama di peringkat antarabangsa. Selain daripada memperoleh ilmu-ilmu berharga sepanjang berkhidmat di hospital-hospital tersebut, peluang bercampur dengan penduduk tempatan juga telah dijadikan satu pengalaman yang berharga. Menurut beliau, masalah bahasa bukanlah masalah besar kerana kebanyakan penduduk di Hong Kong boleh berbahasa Inggeris malah beliau juga sempat mengambil kursus bahasa Kantonis sebelum berangkat ke sana. “Segala-galanya amat pantas dan efisyen di Hong Kong. Budaya kerja, sistem pengangkutan dan cara hidup masyarakatnya sememangnya berbeza dengan negara kita. Komuniti pelajar Malaysia tidak terlalu besar semasa saya sekeluarga berada di Hong Kong. Komuniti kami kebanyakannya daripada golongan profesional termasuk doktor, peguam, jurutera, akauntan dan kakitangan konsulat Malaysia yang berkhidmat di sana. Kami sememangnya rapat seperti adik beradik tidak kira pada waktu susah dan senang. Sehingga kini kami masih berjumpa sekali sekala.”

Walaubagaimanapun, bagi Dr. Firdaus, waktu yang paling mencabar sepanjang menuntut pengajian bagi bergelar Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial ialah ketika menuntut kursus Sarjana Muda Perubatan sejurus tamat pengajian di Hong Kong. Selain daripada bidang perubatan yang sememangnya berat, beliau terpaksa berjauhan dengan isteri and anak-anak yang terpaksa beliau tinggalkan di Hong Kong. “Bukannya mudah untuk mengambil jurusan perubatan dalam usia 30an. Waktu itu, isteri dan keluarga saya sahaja yang tahu kesukaran yang saya hadapi. Saya terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak saya di Hong Kong selama hampir 2 tahun. Atas sebab pengajian dalam jurusan perubatan adalah di bawah tanggungan sendiri, isteri saya telah membuat keputusan untuk menyambung kontrak bekerjanya di Hong Kong bagi menyara keluarga dan yuran pengajian saya. Memang besar pengorbanan isteri saya. Selain daripada ibu-bapa, isteri saya merupakan sumber inspirasi dalam karier saya.”

Bila difikirkan semula, pengalaman bercampur dengan rakan sekelas yang hampir 15 tahun beza umurnya semasa mengambil jurusan perubatan banyak memberikan pengalaman manis. “Saya mudah bercampur-gaul dengan rakan-rakan sekelas semasa mengambil jurusan perubatan, mereka banyak membantu saya terutama dalam perkara-perkara asas sains yang kebanyakannya saya sudah lupa. Kadang kala terasa macam pangkat ayah pun ada sebab adakalanya menjadi tempat luahan hati dan masalah mereka.”

Keseluruhan tempoh pengajian yang perlu Dr. Firdaus lalui bagi menjadi Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial menjangkau hampir sepertiga umur beliau sendiri. Dua tahun di Pusat Asasi Sains, 6 tahun kursus Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, 3 tahun kursus Sarjana Muda Perubatan dan 3 tahun bidang sarjana kepakaran pembedahan maksilofasial. Jumlahnya, 14 tahun!

“Semua orang ada impian masing-masing. Ada yang kita lihat senang sahaja dapat berjaya, namun percayalah, pasti ada cerita di sebalik kejayaan itu. Bagi yang masih mengejar impian, jangan mudah berputus-asa, tetapkan niat dan terus maju ke hadapan. Betapa susahnya sesuatu kerja itu, jika niatnya betul, Allah akan permudahkan perjalanannya. Mungkin perkara yang dipermudahkan itu dalam bentuk yang ‘straight forward’, mungkin juga melalui sesuatu yang kita tidak sedar.”

Apabila ditanya siapakah ‘role model’ beliau, Dr. Firdaus menganggap Dekan Fakultinya sekarang sebagai insan yang paling banyak memberi dorongan dan kata-kata nasihat sepanjang tempoh pengajian beliau. Merupakan pensyarah sewaktu beliau masih bergelar pelajar pergigian, Prof Dato’ Dr Zainal Ariff bin Abdul Rahman sentiasa dijadikan kayu pengukur dalam karier beliau. “Tak mungkin dapat saya balas segala jasa baik guru saya ini, terlalu banyak saya terhutang budi dengannya”, jelas beliau.

Kini, Dr Firdaus Hariri kembali berkhidmat selaku Pakar Klinikal di Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Universiti Malaya, di samping menjadi tenaga pengajar di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Selain daripada terlibat dengan kes-kes baik pulih kecederaan dan kecacatan pada tulang muka, beliau banyak memberikan fokus dalam bidang kecacatan kraniofasial kanak-kanak. Beliau juga pernah keluar di kaca televisyen dan muka akhbar di atas kejayaan pasukan pembedahan beliau menjalankan pembedahan baik pulih struktur muka pesakit kanak-kanak Crouzon Syndrome menggunakan teknik ‘Distraction Osteogenesis’ yang pertama di Malaysia.

Kraniofasial – tengkorak dan muka.

Selain aspek pembedahan yang mencabar, beliau kini giat membangunkan aspek kajian-kajian klinikal dan saintifik bagi memperkembangkan lagi kepakaran dan perkhidmatan dalam bidang ini di Malaysia agar perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan.

Walaupun telah diiktiraf sebagai pakar bedah, adakalanya beliau ke luar negara bagi mempelajari aspek-aspek terbaru dalam bidang yang beliau bangunkan. Sehingga kini, beliau sendiri pernah melakukan penempatan klinikal di beberapa pusat pembedahan kraniofasial terkemuka di dunia seperti di Hospital Kanak-kanak Necker di Paris, Hospital Kanak-kanak Great Ormond Street di London dan yang terbaru di pusat kraniofasial Hospital John Radcliffe di Oxford, United Kingdom.

“Bidang kraniofasial kanak-kanak memerlukan komitmen yang tinggi kerana memerlukan rawatan sehingga ke peringkat remaja. Kebanyakan pesakit, saya kenal sejak daripada lahir dan ada yang masih dalam kendongan tangan saya. Kanak-kanak ini walaupun dilahirkan berlainan, sebenarnya dapat membesar secara normal sekiranya rawatan dapat diberikan dengan betul dan kebanyakan daripada mereka ada keistimewaan tersendiri. Banyak yang kita boleh pelajari bukan sahaja daripada mereka bahkan daripada ketabahan hati ibu-bapa mereka.”

Selain sibuk dengan urusan di hospital dan tanggungjawab sebagai Pensyarah di Fakulti Pergigian Universiti Malaya, beliau sehingga kini giat menabur bakti dalam aspek motivasi terutamanya pada pelajar-pelajar sekolah menengah dan matrikulasi di samping melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Beliau pernah terlibat dengan misi kemanusiaan bersama Mercy Malaysia sejurus selepas bencana Tsunami di Pulau Nias, Indonesia dan sehingga kini, bersama rakan-rakan rapat, beliau giat melakukan misi baik pulih pasca banjir di negeri-negeri pantai timur. “Generasi remaja sekarang besar cabarannya kerana terdedah dengan dunia informasi tanpa had. Mereka perlu kerap mendekatkan diri dengan masyarakat dan banyakkan aktiviti ‘hands-on’ terutamanya melalui penglibatan aktiviti-aktiviti kemanusiaan kerana ia dapat memupuk rasa bersyukur, rendah diri dan sifat berusaha keras. Tiada apa yang boleh kita capai melalui jalan mudah.”

Di waktu lapang, beliau masih gemar bermain muzik sama ada bersama anak-anak beliau mahupun rakan-rakan terdekat. Dan yang terbaru, beliau kini baru sahaja dilantik menjadi Pengetua Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya, “Jawatan ini sebenarnya satu amanah dan mungkin platform yang Allah berikan untuk saya beri semula kepada masyarakat dan universiti ini. Yang penting jangan lupa dari mana asal-usul kita dan sentiasa merendah diri. Sentiasa ingat di sebalik peluang yang diperolehi sebenarnya ada tanggunggjawab berat yang perlu kita pikul,” ujar beliau mengakhiri perbualan.