Kekuatan wanita dalam bidang perniagaan tidak boleh disangkal lagi. Kebanyakan daripada mereka sudah membina nama dan mencipta rekod sendiri dalam mencapai kejayaan yang dikuasai oleh banyak lelaki.

Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob, seorang wanita berusia 37 tahun. Bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Thomson di Kota Damansara, telah menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang tersenarai dalam Power Businesswomen 2021 Forbes Asia. Selain itu, beliau juga adalah CEO paling muda yang berjaya memasuki senarai Forbes Asia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Nadiah diiktiraf atas usahanya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TMCLS, di mana beliau memperkenalkan pasukan petugas khas COVID-19 dan melancarkan aplikasi mudah alih, menyediakan penjagaan pesakit, saringan dan penilaian kepada perkhidmatan pemulihan dan penghantaran ubat.

Beliau dilantik sebagai pengarah eksekutif TMCLS pada Februari 2019. Sebelum itu, beliau adalah ketua pegawai operasi di Pusat Perubatan Sunway selepas dinaikkan pangkat sebagai pengarah pembangunan perniagaan dan komunikasi korporat pada Oktober 2016.

Nadiah memiliki Ijazah Sarjana Kesihatan Awam (Pemakanan) dari London School of Hygiene and Tropical Medicine di UK dan ijazah akademik dalam Sains Biokimia dari Harvard College, Amerika Syarikat. Beliau kini berkhidmat sebagai naib presiden Kelab Harvard Malaysia.

Senarai ahli perniagaan wanita terbaik di Asia yang dikeluarkan Forbes Asia bertujuan untuk menonjolkan mereka yang telah menyesuaikan diri dan berkembang maju di tengah-tengah situasi pandemik COVID-19.

“Nama dalam senarai kami tahun ini memegang peranan kepimpinan merentas industri merangkumi perbankan dan ekuiti persendirian kepada pembuatan, penjagaan kesihatan dan teknologi. Kesemua mereka telah membuktikan pencapaian baru – dan dalam banyak kes mereka [berjaya] mengembangkan perniagaan – walaupun pandemik yang berlarutan.

“20 wanita ini, dalam lingkungan 30-an hingga 70-an dari seluruh rantau Asia-Pasifik, menunjukkan bahawa jantina dan umur tidak boleh menjadi batu penghalang kepada kejayaan,” kata Forbes Asia dalam satu kenyataan mengumumkan senarai untuk tahun ini.

Ia menambah bahawa semua wanita yang ditonjolkan tahun ini adalah pendatang baharu dan dipilih atas pencapaian mereka dalam menguruskan sama ada perniagaan dengan hasil yang besar atau perniagaan baru yang bernilai lebih AS$100 juta (RM414.9 juta).

Menurut Forbes Asia lagi, TMCLS yang merupakan salah satu pengendali penjagaan kesihatan terbesar untuk wanita dan kanak-kanak di Singapura mencatatkan hasil sebanyak RM201 juta, naik 6 peratus, untuk tahun kewangan yang berakhir pada Jun walaupun dunia ketika ini dilanda dengan pandemik COVID-19 yang memberi kesan ke atas industri pelancongan perubatan Malaysia.

“Keuntungan selepas cukai ialah RM20 juta, meningkat 86 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan oleh liabiliti cukai tertunda. Pelan pengembangan TMC termasuk kapasiti tiga kali ganda di hospitalnya kepada 600 katil, dan menambah dua makmal kateterisasi, 154 klinik pesakit luar, 11 suite bersalin dan sepuluh dewan bedah,” kata Forbes Asia.

Individu lain dalam senarai Forbes Asia 2021 termasuk Marina Budiman warga Indonesia, pengasas bersama dan pesuruhjaya presiden DCI Indonesia — pengendali pusat data terbesar di Indonesia — dan Cao Xiaochun dari China, yang mengasaskan firma perubatan Hangzhou Tigermed Consulting pada 2004 bersama suaminya Ye Xiaoping.

Jepun dan Singapura mempunyai wakil terbanyak dalam senarai Power Businesswomen 2021 Forbes Asia. Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong masing-masing mempunyai dua wakil perniagaan manakala China, Australia, Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia semuanya menampilkan seorang wakil perniagaan.

Saintis kelahiran Malaysia berjaya cipta kit ujian pantas COVID-19 pertama di dunia. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah

Anak Malaysia Juga Hebat, Saintis Kita Berjaya Cipta Kit Ujian Pantas COVID-19 Pertama Di Dunia

CEO TikTok Letak Jawatan, Mahu Habiskan Kekayaan RM182 Bilion Dengan Membaca Dan Termenung

Hampir ‘Putus Asa’ Sewaktu Belajar, Anak Tempatan Dari Honda Jepun Pulang Menerajui DRB-Hicom