Nampaknya bakat street artist dari Malaysia semakin mendapat perhatian dunia ketika ini. Pelukis yang sudah lama dalam industri seni negara, Fritilldea atau Mohd Anuar Bin Mustapa menjadi artis dari Malaysia pertama berkolaborasi untuk satu koleksi khas bersama jenama terkemuka dari Amerika Syarikat, OBEY Clothing.

Untuk koleksi ini, Fritilldea menampilkan corak signature beliau dan menampilkan elemen nusantara seperti keris Melayu dan Gombak (GBK) pada rekaan bersama OBEY ini. Sempat berbicara bersama Fritilldea sendiri dan beliau mengakui, kolaborasi ini seperti impian jadi kenyataan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Hubungan saya dengan OBEY sebenarnya sudah lama dan sebelum ini pun saya sudah sebahagian daripada ‘Obey Family Malaysia’. Saya juga turut diberi peluang untuk ke Hong Kong untuk melihat satu exhibition oleh Shepard Fairey (pengasas jenama Obey) di sana satu ketika dahulu. Jadi bila di sana, saya berpeluang untuk bersembang dengan Fairey dan memberitahu beliau saya seorang street artist di Malaysia,” kata Fritilldea.

“Setibanya di Malaysia, team OBEY Malaysia memberitahu khabar gembira saya diberi peluang untuk menghasilkan satu koleksi khas bersama OBEY. Memang bersyukur betul saya ketika itu dan Alhamdulillah, termakbul impian untuk berkolaborasi dengan jenama kegemaran saya ini,” tambah beliau.

Koleksi edisi khas Fritilldea x OBEY ini tampil dengan dua rekaan baju yang kedua-duanya adalah Made In USA dan eksklusif untuk pasaran Malaysia dan Singapura sahaja.

Jika anda mahu mendapatkan baju ini, anda boleh terus ke Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada hari ini dan esok (3-4 Ogos 2019) dari jam 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam. Jika sebelum ini kita ada koleksi Vans x Pa’din Musa, kini kita ada pula koleksi OBEY x Fritilldea. Hebat belaka anak muda Malaysia!