Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dan kaya dengan budaya dari setiap negeri yang berada di dalamnya.  Setiap negeri ini juga mempunyai keunikan tersendiri seperti dialek yang digunakan serta busana yang digayakan.

Watak puteri Disney pula merupakan ikon yang umumnya digilai oleh kanak-kanak, khususnya perempuan. Tetapi, pernahkah anda membayangkan jika kedua-dua elemen ini digabungkan? Apa pula hasilnya?

Untuk menjawab persoalan anda, baru-baru ini telah tular di media sosial hasil lukisan Farah Lina Mohamad Noor Daim, 35, yang telah melukis 17 ‘Disney Princesses’ lengkap berbusana tradisi mengikut setiap negeri di Malaysia.

Hasil lukisannya itu mula mendapat perhatian setelah untaian yang mempamerkan hasil kerjanya itu telah dikongsikan kembali Rizor di Twitter.

Meminati Disney dan busana tempatan

Tertarik dengan penghasilan karya tersebut, kami kemudiannya menghubungi Farah untuk bertanyakan beberapa soalan mengenai karyanya yang telah tular sebelum ini.

Ketika dihubungi The Vocket, beliau menjelaskan telah pun berkecimpung di dalam dunia seni lukis sejak dari 10 tahun yang lalu.

Beliau yang kini bekerja sebagai seorang freelancer, juga seringkali berkongsi hasil lukisannya yang lain di akaun media sosial peribadi miliknya seperti Twitter dan Instagram.

Apabila ditanya mengenai sumber inspirasi untuk melukis watak puteri Disney dengan pakaian tradisi dari setiap negeri, Farah berkata bahawa beliau memang merupakan peminat watak puteri Disney.

Selain itu, beliau juga jelasnya juga cukup menggemari busana tradisi Malaysia yang kaya dengan budaya dan kelasnya yang tersendiri.

“Saya memang peminat disney princesses dan saya juga suka dengan busana tempatan kita jadi teringin juga lihat disney princesses memakai busana tempatan

“Memandangkan luar negara ada juga buat disney princess memakai busana tempatan mereka jadi saya juga tertarik untuk membuat perkara yang sama,” tambah Farah,” jelas Farah ketika dihubungi The Vocket.

Manis betul para puteri ini mengenakan busana tradisi kita kan? Tak terbayang pula Permaisuri Elsa sebagai Mek Kelantan. Apa pun pelukis berbakat tersebut juga berharap agar hasil lukisanya boleh menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.

“Saya harap agar generasi muda boleh ambil inspirasi untuk hasilkan karya dengan membawa budaya tempatan kerana budaya kita unik sekali,” katanya.

Sebelum ini, pernah tular di media sosial apabila minah salleh ini mendakwa baju kurung sudah dilupakan. Klik pada pautan di bawah untuk membaca!

Dakwa Baju Kurung Sudah Dilupai Rakyat Malaysia, Netizen Bersatu Tempelak ‘Inisiatif’ Minah Salleh Ini