Sebelum munculnya tsunami muzik K-Pop di seluruh dunia, J-Pop serta J-Rock adalah genre muzik yang menjadi kegilaan peminat seluruh dunia terutamanya peminat setia anime.

X-Japan dan Hikaru Utada adalah antara nama besar dalam industri muzik J-Pop dan J-Rock satu ketika dahulu. Tetapi sekiranya anda menyebut nama Gackt dalam kalangan peminat genre ini, mereka pasti akan berkata Gackt adalah salah seorang penyanyi legenda yang berbakat dan disegani di Jepun.

Portfolio Gackt tidak terhad untuk menyanyi sahaja. Beliau juga merupakan seorang komposer, pelakon dan juga muncul dan terlibat dalam siri permainan PlayStation antaranya Bujingai: The Forsaken City dan Final Fantasy.

Rupa-rupanya Gackt kini tidak lagi menetap di Jepun tetapi sebaliknya menjadikan Kuala Lumpur sebagai rumahnya. Terdapat pelbagai faktor mengapa beliau kini menetap di Malaysia antaranya kerana kos hidup yang jauh lebih rendah dan mempunyai bisnes hartanah di Malaysia, Gackt & Ikeda Asia Bridge Partnerz.

Dalam satu temu bual pada 2017, Gackt mengakui telah berpindah di Kuala Lumpur sejak 2012 dan jatuh cinta pandang pertama ketika tiba buat pertama kali di Malaysia. Kepelbagaian makanan dan penduduk Malaysia yang mesra buatkan dirinya rasa ‘at home’ di sini. Beliau berkata, hampir 60% masanya adalah tinggal di Malaysia dan baki 20% lagi tinggal di Jepun.

“Saya bekerja tanpa henti dalam 30 tahun yang lalu. Jadi saya memulakan pengembaraan ke seluruh dunia untuk mencipta memori. Dalam semua kota hebat yang saya pergi, saya jatuh cinta pandang pertama buat Malaysia,” terang Gackt.

Gackt House
Gackt berdiri di hadapan rumahnya yang berkeluasan 1,700 meter persegi di Kuala Lumpur (TV Asahi)

Dalam satu temu bual bersama sebuah stesyen TV Jepun yang tular semalam, Gackt mengakui Malaysia jauh lebih baik dalam mengendalikan krisis COVID-19 berbanding Jepun. Beliau berkata walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, suasana kekal tenang dan terkawal.

“Jepun sebenarnya yang lebih bahaya. Jepun ambil mudah. Negara lain nampak Jepun lambat bertindak. Buruk padahnya nanti,” antara petikan temu bual Gackt mengkritik kerajaan Jepun menangani COVID-19. Anda boleh menonton temu bual penuh dalam video di bawah. Terjemahan video ini dihasilkan oleh saudara Hazwan Yusof.

Hos rancangan tersebut juga dilihat kagum dengan cara Malaysia mengendalikan kes COVID-19 selepas Gackt menerangkan dengan mendalam apa yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dalam menghadapi pandemik ini.

Melalui temubual ini, dapat dilihat Gackt sebenarnya seorang yang sangat bijak dan mengkritik kerajaan Jepun dengan pandangan yang bernas. Rasa seronok dan bangga apabila mengetahui ada selebriti terkemuka dunia yang sangat selesa tinggal di Malaysia dan tidak kota besar dunia yang lain seperti Paris, New York dan Rome.

Nama Malaysia kini menjadi sebutan dunia kerana menangani kes COVID-19 dengan baik. Teruskan stay at home dan sama-sama kita jaga nama Malaysia dan putuskan rantaian COVID-19.

Ini pula kisah peguam yang bercerita mengapa kita harus bersyukur dengan cara pengendalian COVID-19 di Malaysia. Baca lagi tentangnya pada pautan di bawah.

Kenapa Kita Harus Bersyukur Dengan Cara Pengendalian COVID-19 Di Malaysia

Persoal Cara Malaysia Tangani COVID-19, Ahli Politik Taiwan Ini ‘Diserang’ Netizen

Kadar Kematian Akibat COVID-19 Di Malaysia Antara Yang Terendah Di Dunia