Kami balik 3 hari sebelum raya. Jadi, pada hari perjalanan balik kampung, mereka tidak tahu saya berpuasa hari itu. Baru sahaja menaiki kereta, Ami chan bagi saya air laici, maka saya beritahu yang saya sedang berpuasa, dan sekarang masih dalam bulan puasa.

Jadi perjalanan kami dari KL – Terengganu itu, saya hanya berhenti untuk solat sahaja di RnR. Waktu itulah mereka membeli biskut sikit dan makan pun dalam kereta sahaja sebab segan.

11

Orang Jepun ini bagus sangat, menghormati budaya orang lain, walaupun ada sahaja orang bukan beragama Islam dan budak-budak yang sedang makan di RnR,, mereka tidak mahu makan sebab segan katanya walaupun sebenarnya lapar sangat.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai ke Terengganu. Sampai-sampai sahaja, anak-anak sedara saya sambut beramai-ramai di depan pintu.

Ami dan Aoi ini pula teruja melihat ramai kanak-kanak dirumah sebab di Jepun tidak ramai kanak-kanak. Akan tetapi, awalnya kanak-kanak itu masih malu-malu lagi dengan Aoi chan & Ami chan. Tersengih-sengih sahaja.

Petang itu, kami ke bazar Ramadhan Binjai Rendah. Boleh dikatakan semua orang di bazar itu melihat kami. Mana tidaknya, jarang ada orang luar negara datang ke kampung ini.

66

Antara makanan yang kami beli adalah ayam golek, murtabak, dan puding karamel. Mereka ini suka sangat murtabak! Esoknya pergi bazar pun beli murtabak lagi. Balik KL, pergi kedai mamak pun order murtabak lagi.

Kemudian, saya bawa pusing keliling rumah pula untuk melihat pokok-pokok sekeliling rumah. Nasib baik mak ayah saya rajin tanam pokok keliling rumah. Bolehlah perkenalkan pada mereka.

Ayah saya tolong bawa jalan perkenalkan pokok-pokok ini pada mereka. Ada pokok kelapa, durian, rambutan, nenas, pokok pisang, mangga, manggis, gajus, tebu dan sebagainya. Teruja mereka dapat melihat pokok-pokok ini sebab kebiasaannya hanya melihat buah-bauhan yang sudah siap dipotong dan tersedia untuk dimakan.

Paling teruja lihat pokok nenas. Katanya pertama kali melihat buah betul!
Bila saya fikir balik, mesti perasaan dia sama macam kita kagum melihat pokok anggur, pokok strawberry, dan cherry di luar negara kan?

Kemudian petang itu, pertama kali rasanya mereka minum air kelapa fresh dari pokok! Malam itu, kami makan bersama ketika berbuka puasa, dan mereka kata esok ingin mencuba berpuasa penuh.

77

Jadi pagi itu, siap bangun sahur bersama pukul 5 pagi. Kemudian, selepas subuh, saya mengajak mereka pergi kutip telur itik dengan anak sedara saya di reban itik sebelah rumah.

Habis kutip telur itik, saya mengajak mereka membuat aiskrim malaysia pula. Kami membuat aiskrim milo dan bandung. Macam senang kan buat aiskrim, tetapi nak ikat cantik-cantik itu kena praktis juga.

Aiskrim ini untuk hari raya nanti, apabila ada budak-budak datang beraya, terus bagi aiskrim. senang bukan? Aoi dan Ami juga suka sangat makan aiskrim milo! Memang lepas raya, setiap hari pagi petang asyik makan aiskrim.

Pada waktu petang, kami keluar ke bandar Terengganu berjalan-jalan. Pergi melihat jambatan Terengganu yang baru siap, pergi Masjid Terapung dan pantai Batu Buruk.

Mereka paling teruja apabila ke pantai, sebab pantai Terengganu cantik dan di Jepun sebenarnya susah nak jumpa pantai. Jadi mereka sangat seronok bila dapat ke pantai.

22

Balik rumah, mereka terus flat sementara tunggu waktu berbuka. Sebab hari pertama cuba puasa. Teringat anak sedara saya yang baru-baru nak berlatih puasa pun seperti itu.

Sebelum terlupa, waktu kami di pantai, Aoi tulis atas pasir `断食、がんばる!` maksudnya `saya akan berusaha untuk puasa!` . Nampak sangat sudah lapar tapi masih tabah lagi berpuasa walaupun saya offer makan sahaja jika tidak larat.

Sampailah waktu berbuka, memang nampak nikmatnya bila mereka dapat minum dan makan. Semua sedap katanya dan bertambah-tambah makan. Tahniah untuk hari pertama berpuasa dan alhamdulillah, rasanya mereka sangat suka makanan melayu. Selain murtabak, mereka suka pulut panggang Terengganu juga.

Kemudian, saya bertanya, esok ingin berpuasa lagi ke? Dan yeah! ‘Of course!` jawabnya. Sebab, mereka ingin rasa kesedapan berkali ganda waktu makan berbuka.

Saya teringat hadis Rasulullah yang berkata, kegembiraan orang berpuasa ni ada dua, yang pertama ketika berbuka puasa. Dan yang kedua, ketika bertemu Allah nanti. Nampaknya betullah nikmat yang pertama itu.

Sampailah hari terakhir puasa, dan hari kedua puasa untuk mereka. Macam biasa, mereka bangun sahur bersama kami juga. Jadi hari terakhir ini tidak keluar pun, sebab mahu bersihkan rumah sebelum raya. Mereka pun tolong-tolong untuk masak dan buat aiskrim lagi. Kali ni aiskrim asam boi pula.

44

Petang itu pula, waktu saya sedang kemas rumah, tengok mereka keluar jalan berdua. Rupanya pusing kampung sendiri. Sampai ke hujung jalan, ada tempat orang jual akok. Mereka duduk di situ lihat orang buat akok. Akok di situ dibuat secara tradisional iaitu bakar menggunakan arang dan sabut kelapa. Memang sedap. Bagus mereka ini, sebab pandai bawa diri jalan-jalan tanpa saya.

Pada hari terakhir ini, kami berbuka dengan kambing masak kurma. Kalau tanya makanan paling sedap sepanjang berada di Terengganu, mereka akan jawab yang ini lah iaitu kambing masak kurma. Mereka berjaya puasa 2 hari penuh.

Malam raya, kami main bunga api dengan anak-anak sedara saya. Lupa nak cerita, dalam masa 2 hari itu, anak sedara saya semua sudah kamceng dengan Aoi dan Ami. Mereka boleh main gelak-gelak siap pusing-pusing bagai walaupun tidak boleh berkomunikasi sangat. Mana tidaknya, mereka bercakap menggunakan bahasa Inggeris, manakal budak-budak ini menggunakan bahasa Melayu.

Akan tetapi saya kagum melihat budak-budak ini, walaupun bahasa tidak sama, tapi masih boleh main bersama dan faham antara satu sama lain. Kadang-kadang tergelak juga lihat apabila budak-budak itu bertanya soalan pada Aoi & Ami dalam bahasa Melayu, macam lah mereka faham.