Selepas mereka mengumumkan tidak lagi akan menyambung pengeluaran Dron, terkini GoPro dikatakan terbuka untuk menjual syarikat mereka yang telah dibangunkan selama 16 tahun.

Berdasarkan laporan daripada CNBC, angka jualan dan pendapatan yang merudum sejak akhir-akhir ini antara yang membuatkan GoPro terbuka untuk bekerjasama bersama mana-mana syarikat yang berminat.

gopro-hero-6-black-01

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GoPro, Nick Woodman memberitahu Bloomberg Technology, “Saya boleh mengesahkan bahawa JPMorgan sebenarnya bank kami, tetapi mereka tidak terlibat dengannya untuk membantu kami menjual syarikat ini.”

“GoPro berpotensi untuk dijual tetapi sekiranya ada peluang untuk GoPro berkolaborasi dengan organisasi yang lebih besar yang dapat membantu kami, ianya pasti akan dipertimbangkan,” tambah Nick.

Penurunan jualan mereka ini semestinya disebabkan persaingan pasaran kamera aksi yang semakin mencabar akhir-akhir ini, apatah lagi dengan penawaran harga lebih kompetitif daripada beberapa jenama dari China yang menjadi pilihan alternatif bagi pengguna untuk memmiliki kamera aksi seperti GoPro.

Setakat ini masih belum ada mana-mana syarikat yang berminat untuk membeli syarikat jenama kamera aksi popular ini tetapi ianya satu peluang yang baik untuk jenama kamera terkemuka dunia seperti Sony, Nikon atau Canon untuk cuba menjadikan GoPro ini rakan niaga mereka.

Sumber