Padah mahu guna cara mudah memiliki motosikal Yamaha Y15ZR atau YSUKU, dua individu sedang diburu netizen dan juga pihak polis selepas cubaan samun mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) semalam.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 2.53 petang di mana mangsa yang berusia 22 tahun sedang membuat penghantaran makanan kepada pelanggan di sebuah premis di Phileo Damansara, Kuala Lumpur.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Beliau kemudiannya didatangi oleh dua individu yang mendakwa menaiki motosikal curi sedangkan motosikal yang sedang dinaikinya itu adalah milik beliau. Selepas tidak mendengar arahan, salah seorang daripada suspek mula bertindak ganas dan memukul mangsa.

Pergelutan mula berlaku dan menyebabkan suspek cedera kerana dipukul dengan besi pengunci motosikal. Namun, disebabkan tindakan pantas dan berani mangsa, suspek lari dari tempat kejadian dan gagal melarikan motosikal Y15ZR tersebut.

Lebih memilukan, sudahlah tidak dapat motosikal, telefon bimbit yang didakwa milik salah seorang suspek pula tercicir dan menjadi bahan bukti kes samun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata mangsa tidak mengalami sebarang kerugian kerana berjaya menyelamatkan motosikalnya dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Semoga insiden ini menjadi iktibar kepada kita semua. Mangsa insiden ini berkerja keras dan halal untuk memiliki motosikal idamannya dan janganlah kita ikut cara dua suspek ini yang senang-senang mahu ‘merampas’ harta hak milik orang lain.

BACA: Bekerja 14 Jam Sehari Sebagai ‘Rider’ Makanan, Kegigihan Bekas Pemain Piala Presiden Selangor Ini Amat Mengagumkan

Sumber