Jika ikut lumrah manusia, pasti semua orang gembira apabila mengetahui sesuatu barangan diturunkan harganya menjadi lebih murah daripada harga asal.

Tetapi perkara sebaliknya terjadi di China apabila pelanggan-pelanggan Tesla melakukan protes selepas mengetahui Tesla menurunkan harga kereta-kereta keluarannya, termasuklah untuk pasaran negara itu.

Baca Juga:

Hal ini terjadi apabila pelanggan yang membeli kereta Tesla sebelum 1 Januari 2023 berasa kurang senang kerana terpaksa membayar pada harga lebih tinggi berbanding sekarang.

Memetik laporan Reuters, beratus-ratus pemilik Tesla berkumpul serta memprotes di bilik pameran dan pusat penghantaran yang terletak di Shanghai, Chengdu, Henan, Wuxi, Hangzhou dan Shenzhen.

Ramai membeli kereta Tesla Model 3 dan Model Y pada tahun lalu kerana mendakwa jurujual mendesak mereka membeli kereta-kereta tersebut sebelum tahun baharu kerana memberikan gambaran bahawa harga akan meningkat pada 2023.

Bagaimanapun perkara sebaliknya pula berlaku apabila Tesla mengurangkan harga kereta-keretanya antara 13% dan 24%. Tujuan langkah drastik itu dibuat untuk meningkatkan jualannya di pasaran China.

Jualan pembuat kereta EV itu merundum teruk pada bulan Disember. Difahamkan tindakan Tesla itu juga ‘memaksa’ pesaingnya, syarikat kereta elektrik lain turut menurunkan harga mereka sendiri di pasaran China.

“Tesla tidak bercadang untuk memberi pampasan kepada pembeli yang menerima penghantaran sebelum pemotongan harga terkini,” jurucakap Tesla China memberitahu Reuters.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.