Tindakan seorang pemandu Proton Iriz berwarna hijau pasti tidak menyangka tindakannya ‘menunjukkan tanda protes’ kepada kenderaan belakangnya dengan menekan brek berkali-kali di lorong kanan telah mencuri perhatian warganet kerana kenderaan di belakangnya itu dipandu anak Perdana Menteri.

“Saya jarang berkongsi, tetapi saya telah dibuli di atas jalan raya hari ini. Kereta hadapan saya ini kerap menekan brek di laluan paling kanan sekali (lorong memotong).

Baca Juga:

“Sangat berbahaya dan ketika itu anak berusia dua tahun ada bersama saya. Dia (pemandu wanita) berbuat perkara sebegitu selama satu minit sebelum menukar lorong ke kiri,” petik perkongsian Nurul Iham.

Menurut Nurul Ilham, beliau mula perasan kereta tersebut sebelum melalui kawasan plaza tol. Pada ketika itu dia sudah memberikan signal untuk pergi ke lorong Touch n’ Go, bagaimanapun dia dihon oleh kereta Proton Iriz itu yang mahu ke kanan lorong SmartTAG tanpa memberikan lampu signal.

Perkongsian ciapan itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen, ramai yang memberikan tips sekiranya berhadapan dengan situasi seperti itu, segeralah menukar ke lorong tengah kerana bimbang jika kereta hadapan brek mengejut, diikuti kereta sendiri brek mengejut akan menyebabkan kereta-kereta di belakang merempuh kesemuanya.

Jika ada kawasan rehat dan rawat (RnR), disarankan untuk berhenti terlebih dahulu untuk mengelakkan konflik-konflik yang tidak diingini berlaku.

Menerusi laporan Astro Awani, polis menggesa pemandu kereta jenis Proton Iriz, yang dipercayai berkaitan kes ‘buli jalanan’ melibatkan anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham, supaya tampil bagi membantu siasatan.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM dalam kemas kini di laman Facebook berkata, kereta Proton Iriz warna hijau dipandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan sebuah kereta (perakam video).

“Tindakan sebegini boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu yang lain. JSPT menggesa pemandu kereta ini segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor plat kenderaan ini telah dikenal pasti,” demikian menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.