Laluan kereta api bandar Cat Linh-Ha Dong di Hanoi, Vietnam mula beroperasi pada bulan November lalu. Ia merupakan perkhidmatan transit aliran massa (MRT) pertama di negara tersebut.

Hanoi Metro mempunyai laluan sepanjang 13 kilometer dan 12 stesen. Ia bermula di stesen kereta api Cat Linh di utara-tengah Hanoi dan berakhir di kawasan barat daya Ha Dong.

MRT itu boleh bergerak sehingga 80km/j yang membolehkannya bergerak pada sepanjang laluan itu kira-kira 24 minit sahaja dan ia direka untuk membawa 1 juta penumpang sehari.

Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila media Vietnam melaporkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT terlalu sedikit. Beberapa hari terawal servis MRT tersebut beroperasi, jumlah tiket yang terjual kira-kira 12,000 sehari. Angka tersebut bersamaan hanya 8% daripada jumlah keseluruhan penduduk Vietnam.

Perkara ini membimbangkan kerajaan bandar Hanoi yang menyelia projek tersebut. Lebih-lebih lagi, pembinaan laluan MRT itu tertangguh beberapa tahun dan telah menelan belanja lebih banyak daripada yang dirancang.

Pada tahun 2008, projek itu mempunyai jumlah belanjawan permulaan sebanyak $552.8 juta (RM2.33 bilion). Menjelang 2017, jumlah itu telah meningkat kepada kira-kira $868 juta (RM3.65 bilion).

“Menteri industri pengangkutan telah banyak kali berjanji untuk melaksanakannya tetapi janji itu dimungkiri. Ia menyebabkan orang ramai menjadi marah dan ragu-ragu,” kata Nguyen Van Thanh, seorang pesara pekerja di Ha Dong.

Manakala, Dieu Anh yang bekerja di sebuah syarikat yang berurusan dalam hartanah pula memberitahu Voice Of America (VOA) bahawa penduduk Hanoi dahulunya mempunyai harapan yang tinggi untuk laluan MRT tersebut. Namun disebabkan banyak kali tertangguh, maka timbul keraguan dalam kalangan orang ramai.

China merupakan penyumbang kewangan utama untuk projek itu. Tetapi projek itu menghadapi kelewatan selepas China meletakkan struktur cari gali minyak di perairan berhampiran yang dituntut oleh Vietnam.

Jadi apabila laluan MRT mula beroperasi, pengkritik media sosial Vietnam mula bercakap tentang ‘Faktor China’ dan mereka menggesa untuk memboikot ‘Projek China’.

Disebabkan berasa kecewa dan ‘tertipu’ dengan China, kebanyakkan penduduk Vietnam berkata mereka memilih Jepun sebagai kontraktor untuk projek-projek pada masa akan datang.

Tambah mereka lagi, Jepun adalah sebuah negara yang mempunyai banyak pengalaman dalam membina sistem pengangkutan awam dan juga sangat berminat dalam perlindungan alam sekitar, lapor Voice Of America (VOA).

Pada bulan lalu, presiden kereta api laju Indonesia mendakwa kereta api mereka mampu bertahan daripada pelbagai jenis bencana alam dengan menggunakan kelengkapan teknologi terkini. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Kereta Api Laju Indonesia Didakwa Mampu Bertahan Daripada Sebarang Bencana Alam

China Lancar Kereta Api Terpantas Dunia Dengan Kelajuan 600KM/J

Mirip Seperti Filem ‘Snowpiercer’, Ini Kereta Api Peribadi Mewah Bernilai RM1.47 bilion