COVID-19 telah menyerang dunia sejak awal tahun ini dan sehingga sekarang, masih belum ada tanda-tanda bahawa wabak ini akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Sejak itu, beberapa langkah awal pencegahan COVID-19 telah dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain daripada perlu mendaftar nama di mana-mana kedai yang dikunjungi, pelanggan juga dinasihatkan untuk memakai pelitup muka.

Namun, arahan ‘mudah’ ini nampaknya telah menjadi isu ‘besar’ bagi pelanggan ini dalam satu kejadian di sebuah restoran di Kuching, di mana salah seorang pekerja telah ditampar hanya kerana meminta pelanggan tersebut untuk memakai pelitup muka, lapor Sin Chew Daily.

Kejadian itu berlaku bilamana pelanggan tersebut telah ditahan oleh pekerja restoran apabila dia telah diminta untuk memakai pelitup muka sebelum masuk ke premis berkenaan.

Bagaimanapun, arahan semudah itu nampaknya kurang digemari oleh pelanggan tersebut dan dia telah bertindak menampar pekerja terbabit dan mendakwa pekerja restoran itu sebagai ‘penyibuk’ sambil memberi alasan bahawa premis lain tidak cerewet tentang pemakaian pelitup muka.

Kejadian tersebut turut dirakam oleh CCTV restoran, kelihatan keadaan menjadi kecoh seketika apabila beberapa pekerja di restoran terbabit tampil untuk menenangkan keadaan.

Berang diperhatikan pelanggan serta orang ramai, pelanggan terbabit kemudiannya beredar dari premis berkenaan.

Untuk rekod, Sarawak kini diibaratkan seperti menerima gelombang kedua COVID-19 dengan beberapa kes kembali meningkat. Apa yang lebih menggusarkan apabila kes tersebut dikategorikan sebagai penularan tempatan.

Terbaharu, kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di seluruh negara. Namun ia hanya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktadkan oleh kerajaan.

Untuk anda yang mahu membaca lanjut cadangan kerajaan dalam mewajibkan pemakaian pelitup muka, klik pautan di bawah.

Kerajaan Mungkin Mewajibkan Pemakaian Pelitup Muka Di Tempat Awam

Sering Pakai Pelitup Muka Di Bawah Dagu? Ini Pesanan Dr Noor Hisham Buat Anda