Dah sejuk ke belum isu Proton dengan Geely? Kalau dah sejuk, aku pula nak komen sikit ni.

Masa tengah panas hari tu memang saja tak nak mencelah. Hati tengah panas, mana boleh nak bawa berbincang ya tak? Hehe. Ni dah cool sikit, bolehlah kita sembang tenang-tenang.

Mala Mala Serve 1
HYPE
Keunikan Rasa ‘Pedas Kebas’ Yang Sedap Di Mala Mala
Baca lagi →

Ok.

Katanya ada syarikat China nak beli Proton?

Macam ni bang. Proton adalah 100% hak milik DRB-Hicom.

Err, tau kan? Dah lama dah Khazanah jual Proton pada DRB. Dari tahun 2012 lagi. Ke ada yang masih rasa Proton ni Khazanah punya?

Kenapa depa nak jadi pemegang saham di kilang Tanjung Malim tu?

Antara sebab utamanya adalah kilang Tanjung Malim tu pada masa ini underutilized.

Masa buat dulu, kita buat besaq-besaq. Kapasiti maksimum kilang tu, boleh hasilkan sampai 1 juta unit setahun. (Sebagai perbandingan, kilang di Shah Alam kapasiti maksimum 230,000 unit setahun).

Tapi itulah. Yang keluar dari kilang Tanjung Malim sekarang ni cuma 150,000 setahun saja.

Kes tu yang orang berkenan sangat dengan kilang Tanjung Malim ni. Sebab bila dapat ja, boleh guna terus. Benda dah ada. Tinggal nak guna saja.

Dan besar kemungkinan, bila ini berlaku (peningkatan penggunaan), ianya akan memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan juga. Akan wujudlah peluang pekerjaan baru untuk menyokong operasi kilang.

Kalau nak sembang kemaih, petiklah jargon ‘Economies of scale’. Tapi kita tak payah nak sembang canggih-canggih sangatlah. Cakap biasa sudah.

Maknanya, bila kita hasilkan banyak, kos tetap untuk setiap produk tu akan jadi lebih rendah.

Alahh, macam kita tempah kad kahwinlah kaedahnya. Hang tempah 50 keping, mahallah. Tapi kalau tempah 500 keping, dapatlah murah sikit. Faham, kan? Ha, itulah economies of scale.

Dan ini juga antara faktor kenapa Proton susah nak lancarkan model baru. Sebab kuantiti yang dijual susah atau lambat nak cecah point break even. Jualan lambat sangat.

Nak tak nak, kenalah jual lama sikit untuk sampai tahap break even. Kemudian baru boleh keluar kereta baru.

Tadi aku terbaca ada penganalisa anggarkan kalau Proton nak break even, kena hasilkan sekurang-kurangnya 100,000-120,000 unit setahun.

Masalahnya, bila lama sangat tak keluar kereta baru, jenama lain pula ambil kesempatan celah-celah tu.

Depa naik taraf spesifikasi terbaru yang canggih-canggih, letak sebelah kereta Proton yang dah dilancarkan beberapa tahun sudah. Habislah. Dan kita pun tertariklah pada jenama-jenama lain tu, kan? Terus lupa pada Proton.

Sebelum kita nak bertekak jauh-jauh, aku nak ajak ambil satu langkah ke belakang dulu. Depa nak bergaduh, biaq pi kat depa. Kita bagi faham cerita dulu, ok?

Kenapa Proton nak kena cari strategic partner?

Kalau hangpa ingat, bulan April tahun lepas kerajaan ada umumkan RM1.5bn soft loan nak bagi pada Proton. Nak tolong untuk bayar pada vendor terutamanya.

Tapi tak bolehlah lambak macam tu ja duit. Ada beberapa syarat.

Dan salah satu syaratnya, inilah. Proton kena cari strategic partner untuk kembangkan bisnes dia. Kedua-dua, pasaran tempatan dan antarabangsa.

Jadi, kalau nak kerajaan tolong, Proton kenalah tunjuk model bisnes macam mana boleh buat sampai syarikat untung balik.

Nak kongsi dengan hangpa. Yang kita pumpang-pumpang sangat ni, kita ada tak sokong beli kereta Proton?

Bukan apa. Kebelakangan ni, walaupun Proton dah buat macam-macam penambahbaikan, jualan depa tetap menurun.

Itulah nak kena faham. Patriotik, patriotik juga. Tapi kalau asyik rugi, macam mana? Dah berapa lama Proton tak bayar cukai (sebab asyik rugi ja).

Rugi pun sebab kita sendiri juga yang tak sokong Proton. Kita tak nak beli kereta Proton sebab kita kata Proton tak bagus.

Tapi bila Proton buat rancangan macam mana nak elak daripada terus rugi, kita marah pulak. Dan-dan kita kata kita sayang jenama negara kita.

Sebelum ni, kita pun taklah kenal sangat dengan nama Geely ni. Tapi bila orang politik kait pulak dengan “China”, dan-dan tu kita melompat.

Habis kita kait dengan semua benda (walaupun macam tak betul sangat kaitan tu). Yalah, sebab tengah marah, kan. Petik sajalah mana yang dan.

Ada tak kita periksa track record Geely ni?

Dia ambil alih Volvo daripada Ford tahun 2010. Masa tu Volvo pun dalam kerugian. Tapi tahun 2016, Volvo capai rekod jualan baru. Erm. Mungkin tak menarik sangat kot cerita-cerita macam ini.

Dan kalau hangpa rasa siapa yang sertai Proton terus buat duit senang-senang, mungkin hangpa silap.

It would take at least few years for Proton to turn around.

Malahan, beberapa tahun pertama tu silap-silap makin teruk rugi sebab kos untuk selaraskan balik operasi bisnes selepas ambil alih.

Bang, Proton ni rugi dia bilion tau bang. Dia dah tak main rugi juta-juta. Haha.

Mana taknya. Tahun lepas depa jual 72,000 unit saja (berbanding 2015: 102,000 unit).

Bila jualan makin jatuh, rugi pun makin banyaklah. Rugi pula, FY2016 kerugian bersih RM1.46bn (berbanding FY2015: kerugian RM646mil).

Tapi kita di FB dok kesian Proton nak kena jual. (Tak pula kita tolong beli kereta Proton).

Walau bagaimanapun, DRB dah cakap dia akan tetap kekalkan pegangan yang significant dalam Proton. Depa adalah strategi depa juga.

Depa akan tengok dari segi strategik seperti faedah yang ketara seperti teknologi.

Depa akan tengok operasi dan struktur yang lebih kurang dengan Proton. Senang nak blend.

Dan depa juga akan tengok dari segi cultural fit. Tengok ada chemistry tak yang nak join ni. Kalau tak, nanti terkejut pula bos mat saleh tu mai-mai tengok engineer dia tengah sedap tidoq (contoh).

Dan calon-calon tu semua masih dalam pertimbangan. Jangan yakin sangat Geely yang dapat. Tup-tup PSA (Peugeot dan Citroen) yang dapat nanti. Hehe.

Kepentingan negara

Secara peribadi, walaupun kerajaan tak ada pegangan secara langsung dalam Proton, tapi aku rasa, aku rasa, kerajaan akan tetap mengawasi dan menjaga syarikat yang satu ini.

Sebab kita bercakap tentang 60,000 orang pekerja yang bergantung pada ekosistem Proton. Dari pekerja kilang Proton, sampailah ke vendor. Proton adalah kepentingan negara. Kalau betul Proton bungkus, apa jadi pada mereka ni?

Last but not least, ada satu lagi benda aku nak beritahu.

Sebenarnya, kilang Perodua di Rawang tu, er, 51% Daihatsu pegang.

Hehe.

Dah, jom Maghrib.

Artikel di atas disumbangkan oleh Faiz Pire. Penganalisa Ekonomi. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka