Setelah satu musim meninggalkan ‘Old Lady’ bagi menyertai juara Ligue 1, Paris Saint-Germain, penjaga gol lagenda Itali, Gianluigi Buffon kembali menyertai Juventus bagi menghadapi saingan musim 2019/2020.

Penjaga gol berusia 41 tahun itu memutuskan untuk kembali ke pangkuan Juventus selepas PSG mengumumkan mereka mahu menggunakan khidmat penjaga gol lain bagi saingan musim hadapan.

Gianluigi Buffon
Buffon ketika beraksi bersama PSG.
Sumber Gambar: Getty Images

Sebelum menyertai PSG, Buffon telah menabur bakti selama 17 tahun bersama Juventus dimana beliau telah memenangi beberapa kejuaraan antaranya Serie A sebanyak 9 kali dan Coppa Italia sebanyak 4 kali.

Selain mencipta kejayaan bersama kelab yang berpangkalan di kota Turin itu, Buffon juga pernah membantu skuad kebangsaan Itali mara ke perlawanan akhir UEFA Euro 2012 dan memenangi temasya Piala Dunia 2006 dimana Azzuri menewaskan Perancis di pentas akhir.

Kembalinya Gianluigi Buffon ke Juventus menyaksikan beliau akan memakai jersi bernombor 77. Ketika ditanya mengapa memilih nombor tersebut, Buffon menyatakan tidak mahu mengganggu apa yang sudah ditetapkan di dalam pasukan.

Gianluigi Buffon

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Giorgio Chiellini dan Wojciech Szczesny yang menawarkan lilitan kapten dan jersi nombor 1 kepada saya. Namun, Szczesny merupakan penjaga gol utama kelab dan Chiellini adalah ketua pasukan saat ini. Biarlah perkara ini tidak diubah,” kata Buffon.

Musim lalu, Buffon membantu Paris Saint-Germain mengekalkan kejuaraan Ligue 1 dimana pasukan bimbingan Thomas Tucel itu menamatkan saingan Liga dengan kelebihan 16 mata dihadapan LOSC Lille.