Hari ini bermulanya tayangan perdana Guardians Of The Galaxy Vol 2. Bagi yang sudah tonton Vol 1, pasti tahu betapa hebatnya filem GOTG ini. Mana tidaknya, filem pertama GOTG berjaya mengutip kutipan $773.3 juta di seluruh dunia. Entah mengapa saya tidak tahu, tayangan di Amerika Syarikat hanya bermula 5 May depan, seminggu selepas tayangan perdana di seluruh dunia.

Pada pendapat saya, Marvel sendiri tidak merasakan franchise Guardians Of The Galaxy ini akan menjadi sangat hit seperti superhero Marvel yang lain. Sebabnya, mereka kurang dikenali berbanding superhero yang lain seperti Iron Man, Spider-Man, Thor, Hulk dan ahli-ahli Avengers yang lain. Jujur saya sendiri pun baru mengenali mereka menerusi GOTG yang pertama. Tetapi kalau anda peminat tegar komik Marvel, anda mesti sudah kenal Star-Lord & Co ini.

Plot filem ini bermula dengan Star-Lord & Co menjalankan misi di sebuah planet yang diterajui oleh kaum Sovereign, diketuai oleh Ayesha. Mereka kemudiannya diburu oleh Sovereign disebabkan Rocket Raccoon. Kemudian muncul seorang lelaki misteri yang menyelamatkan mereka dari serangan Sovereign. Lelaki misteri berkenaan rupanya Ego, bapa kandung kepada Star-Lord. Sejak lahir Star-Lord tidak pernah bertemu dengan bapanya dan dari pertemuan ini, barulah beliau tahu asal siapa dirinya yang sebenar.

Saya pun tidak mahu bercerita lebih tentang jalan cerita filem ini. Di sini saya ingin kupas kenapa filem GOTG Vol 2 ini adalah antara karya terbaik Marvel setakat ini. Sudah bersedia? Jom.

1. Jalan cerita yang mudah difahami dan penuh gelak tawa

GOTG Vol 2 jalan ceritanya mudah dan straight forward sahaja. Kalau anda tidak tengok yang pertama pun, anda akan masih boleh layan filem ini. Cuma nanti anda akan tertanya-tanya asal usul Nebula, Yondu dan Thanos. Jadi anda kena tonton yang pertama untuk mengetahui bagaimana GOTG terbentuk dan mengetahui sejarah setiap watak dalam GOTG.

Sama seperti GOTG Vol 1, pengarah James Gunn mengekalkan resepi kejayaan filem pertamanya; buat penonton ketawa dan enjoy every moment. Groot kembali dalam versi comel dan anda akan mudah terhibur dengan telatah Groot. Geram juga dekat Groot ini sebab dia nakal sangat. Haha. Dari opening credit sampai end credit, anda akan dijamu dengan lawak jenaka yang lucu dan bukan lawak syok sendiri.

2. Drax The Destroyer

Dari WWE ke Hollywood, Dave Bautista memang sangat sesuai dengan watak Drax. Kredit harus diberi kepada lakonan berkesan Dave dalam siri ini. Gandingan beliau dengan watak baharu Mantis dalam filem ini memang hebat. Watak beliau yang terlalu jujur juga pasti buat anda tepuk dahi sebab Drax tidak tahu cakap berlapik. Apa yang ada dalam kepala, dia main sembur sahaja. Tetapi beliau dari bangsa yang memang keras hati, jadi itu memang nature Drax dan anggota GOTG sudah boleh terima beliau seadanya. Siapa tahu Bautista yang bengis di WWE rupanya boleh jadi pak lawak yang awesome dalam GOTG?

3. Mixtape Vol 2

https://www.youtube.com/watch?v=UbKsEbiy5_E

Berbeza dari filem-filem Hollywood yang lain ketika ini yang lebih suka menggunakan lagu terkini sebagai lagu tema, James Gunn memilih untuk menggunakan lagu-lagu dari tahun 70an untuk franchise GOTG. Rationalnya ialah Star-Lord ditangkap oleh Yondu ketika beliau kecil pada tahun 70an. Jadi lagu-lagu yang beliau tahu pun cumalah lagu-lagu dari tahun 70an.

Lagu The Chain nyanyian kumpulan Fleetwood Mac adalah lagu tema untuk filem ini. Rasanya tak ramai yang tahu siapa Fleetwood Mac sebelum filem ini. Cuma pilihan lagu untuk Mixtape Vol 2 ini pada saya agak ‘kureng’ sedikit berbanding Vol 1. Vol 1 pilihan-pilihan lagunya lebih catchy dan biasa didengar.

4. Star Studded Cameo

Dalam GOTG Vol 2, ini antara sebab kenapa siri ini sangatwin! Saya tak sangka pelakon-pelakon ternama akan membuat cameo dalam filem ini. Aduh, nasib baiklah saya baik tak mahu buat spoiler tentang siapa cameo-cameo ini. Antara yang membuat kemunculan kembali adalah Howard The Duck dan Stan Lee. Masih misteri tentang watak Howard The Duck ini tentang bagaimana ianya akan fit dalam Infinity War. Jadi kalau ada peminat yang lebih arif tentang watak Howard ini boleh kongsi di ruangan komen.

Tahukan anda pelakon ternama dari Malaysia turut menempa nama dalam franchise GOTG ini? Ini cameo epik yang saya katakan. Rupanya rumour tentang beliau berlakon dalam filem ini benar. Walaupun wataknya sekejap sahaja, tetapi sudah cukup untuk hasilkan ‘wow’ faktor. Begitu juga dengan kehadiran Rocky Bolboa dalam filem ini. Alamak, terlepas tulis pula salah seorang cameo dalam filem ini.

5. Nilai Kekeluargaan

Dalam Vol 2, nilai kekeluargaan sangat dititikberatkan oleh James Gunn. Bagus juga filem ini ada diselit nilai murni di dalamnya. Ada juga pengisian. Dalam GOTG Vol 2 ini, Star-Lord bertemu dengan bapanya yang beliau tidak pernah jumpa sejak kecil. Setelah pertemuan ini, barulah Star-Lord tahu bapanya bukan calang-calang makhluk.

Ego mempunyai kuasa yang sangat hebat yang ingin diturunkan kepada Star-Lord. Di sinikonflik bermula apabila Star-Lord mula berasa selesa dengan bapanya dan mahu meninggalkan ‘keluarga’ Guardians Of The Galaxy beliau yang lebih mengenali Star-Lord berbanding bapanya.

Di samping gelak tawa, anda perlu bersedia kerana akan ada momen dalam filem ini yang akan buat anda berderai air mata. Pecah jugalah empangan di mata, sama seperti saya tonton filem Logan. Tahniah tuan pengarah James Gunn kerana bijak bermain dengan emosi penonton. Build up filem ini juga sangat teratur dan tidak rushing menjadikan filem ini sangat enjoyable to watch.

Untuk Guardians Of The Galaxy Vol 2, saya ingin beri rating 9.5/10. Sebenarnya pada awalnya nak beri perfect 10, tetapi sebab pemilihan lagu yang kureng sedikit, jadi terpaksa tolak 0.5. Owh, dalam GOTG Vol 2, tak ada scene Peter Quill menari! Ini juga sebab yang menyumbang tidak dapat markah penuh. Jika perlu dipilih satu watak dalam GOTG, saya akan pilih Yondu. Wataknya dalam filem ini nyata memberi impak yang sangat besar.

Sebelum saya tutup ulasan ini, jangan keluar wayang awal ya? Sebab ada banyak end credit . James Gunn beri teaser tentang watak baharu yang akan muncul dalam franchise GOTG yang akan datang dalam end credit nanti. Akhirnya watak yang ditunggu-tunggu peminat setia Marvel akan membuat kemunculan! Saya beri sedikit teaser juga. Namanya bermula dari huruf ‘A’. Namun A tidak akan muncul dalam Infinity War sedangkan beliau adalah antara superhero yang boleh berlawan dengan Thanos secara terus. Mungkin beliau akan buat kemunculan secara diam-diam? Itu kita kena tunggu. Selepas GOTG, kini giliran ‘Thor: Ragnarok’ pula untuk berada di pawagam. Adios!