Isu bidang lakonan yang sedang dimonopoli oleh mereka yang mempunyai ramai ‘followers’ ini bukan isu baru, malah ia kini menjadi salah satu persoalan utama kumpulan muda yang datang dari latar belakang pendidikan seni persembahan; dimanakah tempat untuk masa depan mereka bertapak?

Permasalahan yang mulanya dilihat kecil ini sebenarnya perlahan-lahan sedang tumbuh menjadi barah. Mereka yang berada di dalam bidang ini pasti terkesan kerana cita-cita mereka diganggu oleh kumpulan individu yang tidak mempunyai asas seni persembahan lebih menjadi pilihan pihak penerbit berbanding mereka yang menghabiskan bertahun-tahun untuk mempelajari bidang ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Melalui ciapan Megat ‘Adli, beliau berkata bahawa sikap penerbit drama atau filem yang mengambil pendekatan memilih kumpulan individu yang tidak mempunyai latar belakang seni persembahan telah mengakibatkan industri seni di Malaysia diselebungi dengan permasalahan ‘populariti buta’.

“Bukan Aswara sahaja. Anak-anak hasil fakulti seni dan persembahan di semua IPTA dan IPTS juga terkesan akibat budaya industri seni sendiri yang memandang populariti buta. Diajarnya lakon, arahan, penulisan. Yang diminta pula lain. Yang dinilainya lain,” katanya.

Ciapan yang dimuat naik pada 20 Mac itu telah mendapat reaksi pelbagai daripada rakyat Malaysia. Kebanyakan daripada mereka bersetuju bahawa industri seni di Malaysia masih jauh untuk berkembang jika permasalahan asas seperti pemilihan pelakon tidak diberi perhatian lebih.

Seorang graduan daripada Seni Persembahan Teater UPSI, Warf turut meluahkan rasa kesal terhadap isu ini. Beliau berkata di dalam ciapannya bahawa dia hampir menyerah disebabkan budaya industri seni di Malaysia lebih memandang populariti buta berbanding bakat, “Aku hampir give up sebabkan benda macam ni tapi aku sedar ada art tu luas cuma perlu diteruskan di mana-mana platform,” katanya.

Manakala Anas Ridzuan, bekas peserta Mentor dan juga pelakon yang pernah membintangi filem CEO arahan Razaisyam Rashid turut berkongsi pengalaman beliau sebagai graduan di dalam bidang seni persembahan. Beliau akui perlu mengambil jalan jauh bagi merealisasikan impian beliau untuk menjadi pelakon.

“Sebagai graduan UiTM dalam bidang seni lakon, aku struggle awal 2010 untuk cari tapak dalam bidang ini, buat extra dan pergi casting yang dah tau tak dapat, last aku tukar strategi masuk mentor (program nyanyi). Itu je la strategi nak orang kenal dan dapat jadi pelakon. Dah masuk program nyanyi ni masalah jugak, nak kena struggle kasi org tau kau boleh berlakon pulak,” Katanya.

Ciapan Anas ini turut mendapat perhatian Adibah Noor, seorang pelakon lama dan orang yang berpengalaman di dalam bidang seni. Beliau turut mengakui bahawa bekerja dengan orang yang dari latar belakang bidang lakonan lebih mudah dan senang mendapat chemistry. Sambil menambah, “Apakan daya, ada yang rasa, si pemengaruh medsos mampu melonjakkan jumlah tontonan.”

Sebelum isu ini kembali dibahaskan, ia sudah diutarakan oleh beberapa individu penting yang sudah lama bertapak di dalam bidang ini.

Izara Aishah sebelum ini telah bertindak vokal dengan menghentam golongan Instafamous yang terjun ke bidang lakonan walaupun mereka bukanlah ahli di dalam bidang terbabit. Izara turut berkata bahawa jumlah pengikut tidak sepatutnya menjadi kayu ukur untuk sesuatu drama atau filem itu berjaya.

“Kalau nak ambil pelakon, ambillah dengan cara yang betul. Buat uji bakat supaya pelakon yang dipilih boleh dinilai pada bakat selain memiliki disiplin gerak kerja yang baik. Instafamous ini benar-benar ada bakat tak? Jadi nilai betul-betul. Saya percaya, kalau pun seseorang itu mempunyai jumlah pengikut ramai, ia tidak semestinya membantu menaikkan rating di kaca TV. Entah-entah pengikut dia bukan tengok sangat,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Manakala Isma, seorang pengarah turut membahaskan perkara yang sama pada 1 Mac yang lalu melalui video yang dimuat naik di laman Instagram beliau. Luah Isma, stesen televisyen serta penerbit tidak sepatutnya memilih pelakon berdasarkan rupa dan pengikut media sosial yang tinggi semata-mata kerana itu akan merosakkan ekosistem industri seni di Malaysia.

https://twitter.com/imanoren/status/1372815128341610497

“Ini masalah penerbit di Malaysia yang suka ambil pelakon hanya sebab cantik dan baru menang pertandingan pencarian remaja. Stesen TV juga ‘sama naik’ apabila memetik nama entah siapa-siapa yang tidak tahu berlakon kerana mengharapkan rupa. Tolonglah jangan cadangkan kepada kami calon-calon yang baru memenangi pertandingan pencarian bakat,” katanya kepada Berita Harian.

Jika kita mengimpikan karya-karya di Malaysia berkembang dan setaraf dengan produk yang dipersembahkan di peringkat antarabangsa, pihak yang bertanggungjawab perlu menyelesaikan isu-isu kecil ini dahulu.

Namun tidak pasti adakah pihak berwajib yang sepatutnya menjadi bumbung atau payung kepada mereka yang datang dari bidang seni persembahan ini peka atau tidak dengan permasalahan ini. Atau boleh jadi, mereka juga sebenarnya sudah ‘okay’ dengan cara kerja memilih pelakon dari latar belakang pengikut yang tinggi berbanding graduan seni yang menghabiskan bertahun-tahun mempelajari bidang ini.

Netizen lebih suka jadikan Instafamous bodoh sebagai role model. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Netizen Lebih Suka Jadikan Instafamous Bodoh Sebagai Role Model