Seorang wanita terpaksa bertarung nyawa apabila diculik dan ditanam hidup-hidup oleh suaminya. Kejadian menakutkan ini direkod oleh panggilan 911 yang merakam panggilan kecemasan yang dibuat oleh Young Sook An melalui Apple Watch miliknya. Wanita berusia 42 tahun ini difahamkan dalam proses untuk menuntut cerai dari suaminya, Chae An berusia 53 tahun.

Menerusi laporan The Independent, pihak berkuasa yang menjawab panggilan 911 pada masa itu berulang kali bertanya kepada An sama ada dia mengalami kecemasan atau berada dalam bahaya. Namun, jawapan yang mereka dengar hanyalah jeritan yang tersekat-sekat. Pegawai 911 berkata bahawa pemanggil tidak mampu untuk berkomunikasi secara lisan dengan mereka, tetapi jeritan itu kedengaran di tengah-tengah salakan anjing dan bunyi-bunyi yang lain.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pegawai dari perkhidmatan kecemasan AS melaporkan kepada polis mengenai situasi di mana seorang wanita didapati meronta-ronta ketakutan sebelum panggilan itu menjadi senyap sepenuhnya. Susulan kejadian tersebut, pihak polis dari Jabatan Polis Lacey dihantar ke rumah terbabit yang berada di Rosberg St, sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan.

Pihak berkuasa tiba di tempat kejadian dan mendapati pintu garaj terbuka dengan tanda-tanda wujudnya pergaduhan. Anak An berusia berusia 20 dan 11 tahun, memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka melihat van bapanya berada di rumah ketika mereka pulang dari gereja pada hari kejadian.

Polis kemudiannya memeriksa rakaman video daripada kamera pengawasan milik jiran dan mendapati bahawa kereta milik Chae An ada melalui kawasan perumahan tersebut. Rakaman itu juga menunjukkan bahawa pihak polis yang diarahkan untuk menyiasat panggilan kecemasan itu ternyata bertembung dengan kenderaan yang dipandu Chae An.

Selain panggilan kecemasan tersebut, rakan mangsa turut memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka menerima mesej daripada An yang menyatakan bahawa ada kecemasan di kediamannya. Rakan mangsa juga memberitahu pihak polis bahawa An dan suaminya kini sedang dalam proses penceraian.

Setelah poster orang hilang dikeluarkan, pada keesokkan harinya, sebuah keluarga di Steadman Road melaporkan bahawa ada seorang wanita dengan pakaian yang kotor dan diselaputi dengan lebam serta mempunyai pita pelekat di kakinya telah mengetuk pintu meminta bantuan.

Wanita tersebut adalah Young Sook An yang meminta bantuan kepada keluarga tersebut, “Suami saya cuba membunuh saya. Tolong bantu! Dia masih di dalam hutan di suatu tempat,” kata Young Sook An pada masa itu, merujuk kepada ugutan suaminya.

Ketika dibawa ke pihak polis, An menceritakan segalanya kepada pihak berkuasa. Dia dilaporkan telah dipukul oleh suaminya ketika dia sedang menukar pakaian di tingkat atas rumah. Dia dipukul buat kali kedua oleh suaminya apabila perbuatan An menelefon pihak berkuasa menggunakan Apple Watch diketahui oleh suaminya.

Suami An kemudian mengheretnya ke kawasan hutan dan menanam An hidup-hidup di dalam lubang 19 inci di bawah pokok besar selepas menikamnya di dada. An mengakui bahawa selepas suaminya beredar dari tempat dia ditanam, An cuba melarikan diri dan merangkak keluar dari kubur cetek yang digali oleh suaminya.

Difahamkan bahawa An sudah beberapa kali diugut bunuh oleh suaminya, namun dia tidak pernah percaya suaminya benar-benar akan melakukan perkara tersebut.

Suami An ditahan sekitar pukul 8 pagi pada 17 Oktober 2022, setelah seorang penduduk melihat kenderaannya 200 meter dari Steadman Road di dalam hutan, menurut polis seperti dilaporkan The Independent.

Dia didakwa dengan pembunuhan tahap pertama, keganasan rumah tangga tahap pertama dan serangan keganasan rumah tangga tahap pertama. Dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan ditahan tanpa ikat jamin sehingga perbicaraan seterusnya pada 16 November.