Umum mengetahui Usain Bolt adalah manusia terpantas di dunia selepas mencatatkan masa 9.58 saat untuk larian jarak 100 meter pada 2009.

Rekod tersebut berjaya dicatatkan Bolt di Kejohanan Dunia Berlin dengan kelajuan 44.72 km/j.

Namun, rekod yang berusia lebih 10 tahun itu dikhabarkan berjaya diatasi oleh seorang lelaki di India, Srinivasa Gowda dalam satu acara larian yang memerlukan peserta untuk berlari di sepanjang sawah padi sambil mengheret dua ekor kerbau bersama mereka.

Dalam acara tersebut, Gawda yang berasal dari Karntaka berjaya melalui cabaran tersebut dengan catatan masa keseluruhan 13.62 saat sahaja untuk jarak 124.4 meter.

Catatan itu sekaligus bermaksud dia hanya memerlukan 9.55 saat sahaja untuk melepasi jarak 100 meter pertama dan ia adalah 0.03 saat lebih laju daripada catatan masa yang pernah dibuat Bolt pada 2009 sebelum ini.

Kejayaan lelaki itu bukan saja mengejutkan ratusan penonton yang hadir tetapi turut mendapat perhatian daripada media dan juga menteri sukan di sana.

Dalam satu ciapan di Twitter, menteri sukan India Kiren Rijiju berjanji akan memberikan peluang buat lelaki tersebut untuk menjadi atlet kebangsaan.

“Tiket kereta api dia sudah tersedia dan dia akan tiba di SAI (Sports Authority of India) pada Isnin ini.

“Saya akan pastikan dia mendapat ujian percubaan bersama jurulatih pasukan kebangsaan,” kongsi menteri tersebut di Twitter.

Sudah pasti dapat memecahkan rekod dunia dan mengalahkan pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik adalah sesuatu yang menakjubkan.

Ditambah lagi acara yang disertai lelaki ini bukanlah acara larian yang biasa dipertadingkan dalam mana-mana kejohanan olahraga tetapi mereka terpaksa berlari dengan dua ekor kerbau dalam laluan berlecak sawah padi.

Baca perkongsian kami mengenai kasut larian Nike Vaporfly sebelum ini yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan ‘terlalu laju’. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

Nike Vaporfly Sah Tidak Diharamkan Untuk Kegunaan Maraton

Kerana ‘Terlalu Pantas’ Kasut Nike Ini Mungkin Diharamkan Di Olimpik

Sumber