SELAMAT HARI GURU!

Pelbagai gelaran buat guru. Ada yang mengenalinya sebagai cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah, tutor, mentor, sifu, fasilitator dan sebagainya. Mereka adalah golongan orang yang tidak kedekut ilmu dan mementingkan penyebaran ilmu. Jasa dan bakti mereka tinggi nilainya buat pembangunan tamadun manusia.

Maka, 16 Mei setiap tahun diraikan sebagai Hari Guru. Tarikh ini dijadikan Hari Guru kerana peristiwa Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan daripada Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Peristiwa itu berlaku pada 16 Mei 1956. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sambutan Hari Guru disambut dengan meriah di sekolah-sekolah dengan mengadakan pelbagai acara yang menyeronokkan dan menguatkan hubungan silaturrahim antara guru dan anak murid dan sesama para guru. Kerjaya guru ini dihormati dan dihargai masyarakat kerana kekayaan ilmu dan ketinggian kesabaran dalam memberi tunjuk ajar dan tauladan kepada murid-murid.

Sajak Guru Oh Guru adalah hasil nukilan sasterawan negara, Usman Awang pada tahun 1979. Beliau telah menghuraikan siapa guru di matanya.

Guru

  • seseorang yang tidak lokek dengan ilmu
  • sentiasa memberikan ilmu dengan ikhlas
  • berjuang membentuk generasi muda yang berjaya dan cemerlang
  • peranan guru seperti ibu bapa dan rakan kepada para pelajar
  • sentiasa mengambil berat dan memberikan nasihat kepada pelajarnya
  • pemimpin kerana menjadi orang yang dipercayai dan dihormati oleh golongan masyarakat
  • berjasa dan berjaya melahirkan pemimpin, golongan profesional, golongan istana dan rakyat biasa
  • kejayaan pelajar bermula daripada kesabaran dan tunjuk ajar guru
  • mengajar perkara asas seperti membaca dan menulis serta mengira
  • sanggup mengajar di bandar, luar bandar dan pedalaman semata-mata kerana rasa tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu
  • panggilan “Cikgu” akan kekal sehingga ke akhir hayatnya

 

Tajuk: Guru Oh Guru

Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤