Majistret Amanina Mohamad Anuar pula menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 serta tertuduh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, selepas lelaki itu mengaku memandu kereta Honda Civic berwarna kuning dengan cara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya, pada 10 malam di lokasi dan tarikh yang sama

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Aina Azahra memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei lepas atau dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala Amanina memerintahkan hukuman penjara lima hari itu, berkuat kuasa hari ini atau dipenjara lima bulan jika denda gagal dibayar.

Sumber Gambar: Facebook Polis KL

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman dan Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali, memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Erdy Errwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang berpendapatan RM1,600 hingga RM1,700, perlu menanggung isteri serta dua anaknya masing-masing berumur enam dan tiga tahun selain bapanya baharu meninggal dunia.

Terdahulu, berdasarkan rakaman dashcam berdurasi 0.53 minit, Honda Civic itu bergerak laju dan memintas konvoi melalui laluan kecemasan di kiri jalan serta mengabaikan isyarat oleh juru iring supaya keluar dari laluan konvoi. Tindakan lelaki berusia 36 tahun itu telah menyebabkan berlaku pergeseran dengan sebuah lagi kenderaan lain.