Seorang guru Palestin memenangi anugerah perguruan antarabangsa dengan hadiah berupa sumbangan sebanyak USD$1 juta (RM4 juta).

Hanan Al Hroub membesar di kem pelarian Palestin dan kini merupakan guru kepada anak-anak di kem pelarian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kepakaran beliau adalah memberi sokongan kepada kanak-kanak yang trauma akibat keganasan.

Pemenang telah diumumkan pada satu majlis anugerah di Dubai, dengan mesej video tahniah dihantar oleh Prince William.

Hanan Al Hroub memberitahu penonton bahawa “guru-guru boleh mengubah dunia”.

Hanan Al Hroub, guru di kem pelarian Palestin, telah dinobatkan sebagai 'Guru Terbaik Dunia'.
Hanan Al Hroub, guru di kem pelarian Palestin, telah dinobatkan sebagai ‘Guru Terbaik Dunia’.

Membesar di kem pelarian berhampiran Baitul Lahm, Al Hroub kini bekerja dengan kanak-kanak pelarian, dengan pendekatan menggunakan permainan yang bertujuan untuk meredakan keganasan dan ketegangan.

“Saya bangga menjadi seorang guru wanita Palestin berdiri di atas pentas ini,” katanya selepas menerima anugerah itu.

Beliau berkata, beliau akan menggunakan wang hadiah untuk menyokong pelajar-pelajarnya.

Prince William menegaskan mengenai “tanggungjawab luar biasa” guru-guru dan keupayaan mereka “mempengaruhi, memberi inspirasi dan membentuk hidup seorang anak muda menjadi lebih baik.”

Finalis untuk Global Teacher Prize (Hadiah Guru Global) termasuk guru-guru dari India, Kenya, Finland dan Amerika Syarikat.

Dimulakan oleh Yayasan Varkey, cabang amal firma pendidikan antarabangsa GEMS, hadiah dan majlis gaya Oscars diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan martabat profesion perguruan.

Tetamu acara tersebut termasuklah bintang Hollywood seperti Salma Hayek dan Matthew McConaughey dan tokoh politik seperti bekas Perdana Menteri UK Tony Blair dan naib presiden dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

10 finalis dijemput ke atas pentas melalui mesej video daripada ahli fizik terkenal, Stephen Hawking. Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton juga memberi ucapan tahniah kepada 10 finalis ini melalui mesej video.

Sunny Varkey, pengasas Yayasan Varkey dan pengasas anugerah antarabangsa ini berkata, beliau berharap kisah hidup Hanan Al Hroub akan “memberi inspirasi kepada mereka yang ingin menyertai profesion perguruan”.

Finalis-finalis termasuklah:

  • Maarit Rossi dari Finland yang membangunkan kaedah sendiri untuk mengajar matematik. Finland mempunyai beberapa keputusan matematik terbaik di dunia dalam ujian antarabangsa, tetapi kelas Rossi adalah lebih tinggi, melebihi tahap piawaian Finland.
  • Aqeela Asifi yang berpindah ke Pakistan sebagai pelarian dari Afghanistan, dan mengajar kanak-kanak pelarian di sebuah sekolah yang dibangunkan sendiri.
  • Robin Chaurasiya dari Mumbai, India mengasaskan organisasi untuk mengajar dan menyokong remaja dari ‘red-light district’ (kawasan pelacuran) di bandar ini.
  • Joe Fatheree dari Illinois, Amerika Syarikat yang merintis projek pengajaran menggunakan percetakan 3D, teknologi drone dan permainan dalam talian seperti Minecraft.

Sunny Varkey memberitahu perwakilan-perwakilan di persidangan pendidikan antarabangsa itu bahawa anugerah itu dicipta dengan tujuan untuk memberi pengiktirafan yang lebih besar dan menekankan kepentingan guru-guru.

“Harapan saya adalah supaya kanak-kanak dari seluruh dunia menonton majlis ini dan berfikir tentang apa yang guru-guru mereka sendiri telah sumbangkan untuk mereka,” kata Varkey.

BACA: Kisah Menyentuh Hati Di Sebalik Sekolah Anak Pelarian Syria Diasaskan Oleh Pelajar Malaysia

Sumber