Sejak hujung minggu lalu tular perkongsian video pembuatan serawa durian di Twitter oleh seorang lelaki yang hanya menggunakan ibu dan bapanya sebagai ‘talent’ dan hanya dirakam di dalam rumahnya.

Apa yang membuatkannya menarik adalah hasil akhir video berkenaan yang kelihatan sangat profesional di penghujungnya dimana ia turut memuatkan video perbandingan sewaktu di sebalik tabir.

“Bila kehidupan memberikan anda durian, jadikan ianya serawa durian,” tulis Adham Haziq di Twitter-nya.

Walaupun video perbandingan itu hanya berdurasi selama 59 saat sahaja namun ia berjaya meraih lebih 5,000 retweet (ciapan semula) di Twitter dan hampir 10,000 likes (tanda suka).

Tidak mahu video yang mengagumkan ini berlalu begitu sahaja, kami kemudiannya cuba untuk menghubungi pemilik ciapan yang juga merupakan pembuat video berkenaan iaitu Adham Haziq di Instagram beliau.

Bercerita kepada The Vocket, idea untuk membuat video serawa durian itu meurut Adham mula timbul selepas salah seorang rakannya mencadangkan perkara berkenaan kepadanya.

Tambah Adham, ia berlaku selepas rakannya itu melihat perkongsian beliau di media sosial ketika sedang membeli durian.

“Beliau reply story saya di Instagram yang mana story saya itu saya tengah membeli durian di Jementah, Johor.

“Jadi, bila saya sampai rumah saya beritahu ibu bapa saya untuk buat video serawa durian dan mereka pun okay (bersetuju),” kongsinya ketika dihubungi The Vocket.

Adham
Adham bersama ibu dan ayahnya ketika penggambaran. FOTO: ADHAM HAZIQ

Buat anda yang tertanya-tanya bagaimana beliau boleh menghasilkan video yang berkualiti seperti dikongsikan di Twitter, beliau sebenarnya merupakan pembuat filem atau videografer di studio Artbeast yang diusahakan bersama rakan-rakannya.

Namun apa yang menarik perhatian tentang pemuda ini, beliau bukan sahaja merupakan usahawan dalam bidang penghasilan video namun difahamkan juga masih menuntut di institut pengajian tinggi Multimedia University (MMU).

Penggambaran bermula

Kembali kepada kisah di sebalik penggambaran video serawa durian berkenaan, Adham berkata sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada kedua ibu-bapanya beliau terus sahaja memulakan langkah untuk menjadikan video berkenaan sebagai realiti.

Bermula dengan lakaran storyboard dan kajian untuk mengetahui bagaimana serawa durian dihasilkan, Adham kemudiannya menjelaskan beliau dan ibu bapanya terus memulakan penggambaran.

Beberapa ‘take’ dan ‘cut’ serta serawa durian yang dimasak sepenuhnya ketika penggambaran, video akhir berkenaan kemudiannya berjaya disiapkan dan dimuat naik ke media sosial.

Namun apa yang sedikit mengejutkan, video berkenaan sebenarnya telah dimuatnaik beliau di Instagram sejak Julai lalu namun baru kini ia mula mencuri tumpuan netizen selepas video penghasilannya dikongsikan di Twitter.

Anda boleh menonton video penuh melalui pautan di bawah.

Video berkenaan menurutnya bukan sahaja tular di media sosial namun turut berjaya mengukirkan senyuman buat kedua-dua ibu bapa terutama ibunya kerana beliau seakan tidak percaya percaya serawa durian berkenaan boleh dihasilkan dan dimuatkan dalam video yang dihasilkannya.

“Mereka suka, lagi-lagi ibu saya pasal dia tukang masak serawa itu.

“Mereka pun tak sangka serawa durian ini boleh dibuat dalam bentuk video berkenaan,” kongsinya.

Walaupun video berkenaan menurutnya hanya dilakukan sekadar ‘untuk suka-suka’ namun Adham menegaskan beliau akan berkongsikan ilmu baru bersama orang ramai ketika menghasilkan setiap video.

Untuk video serawa durian itu, Adham berkata dia ada berkongsikan cara untuk menghasilkan kesan asap seperti yang dilihat penonton dalam video yang dihasilkannya.

“Setiap kali saya buat video, saya cuba untuk share ilmu baru dengan sesiapa yang memerlukan. Contohnya cara letak asap di atas serawa durian itu.

“Saya kongsikan sedikit sebanyak, saya pun masih belajar dalam bidang ini tapi kita tolong sesama sendiri,” jelasnya.

Kepada mereka yang mungkin terinspirasi dengan video serawa durian yang tidak ubah seperti iklan profesional di skrin sebelum ini, Adham menjelaskan mereka yang berminat perlu sentiasa belajar demi mendapatkan hasil.

Perkara itu jelasnya sangat penting bagi memastikan mereka sentiasa mampu untuk melakukan penambahbaikan ketika penggambaran serta tidak mudah kecewa jika hasil yang diperolehi tidak seperti yang diinginkan.

“Pesanan saya, sentiasa belajar tak kira dengan siapa. Selalu rendah diri dalam menuntut ilmu, tak kira ilmu lama ataupun baru.

“Jangan pernah puas hati dengan result yang dapat. Cuba improve setiap kali shooting. Jangan down kalau hasil kita mcm orang lain tetapi berbangga lah dengan hasil kita sendiri,” pesannya.

Anda juga boleh menonton perkongsian video-video yang pernah dihasilkan bersama rakan-rakannya di team Artbeast di sini.

Baca juga perkongsian kami mengenai kanak-kanak ini yang pernah menghasilkan video stop motion hanya dengan menggunakan telefon pintar sahaja sebelum ini melalui pautan di bawah. 

Netizen Kagum Lihat Kanak- Kanak Ini Hasilkan Video ‘Stop Motion’ Guna iPhone 5s Sahaja

Lelaki Ini Hasilkan Video ‘Stop Motion’ Hebat Guna Peralatan Di Rumah Sahaja

‘Kebanyakan Gambar Diambil Dari Dalam Kereta’- Jurugambar Ini Rakam Kesunyian Ibu Kota Ketika PKP

Sumber