Korea Selatan sememangnya menjadi lokasi popular untuk melancong kini oleh pelancong dari seluruh dunia setelah terpikat dengan babak-babak yang disiarkan di dalam drama atau muzik video lagu K-Pop. Terbaharu, seorang lelaki yang menggunakan nama BocahLanang SuDirwan atau nama sebenar Fahmi Sudirwan telah berkongsi satu post di Facebook.

Saudara Fahmi berkongsi pengalaman akibat tidak mengisi maklumat di bahagian pekerjaan sehingga menyebabkan beliau dihantar pulang ke Malaysia petang itu juga. Menurut beliau, kini kerajaan Korea Selatan amat tegas dalam urusan menerima masuk pelancong akibat lambakan pekerja tanpa izin di negara tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saudara Fahmi ditugaskan untuk membawa beberapa orang pelanggan untuk bercuti ke Korea Selatan. Namun, perjalanan beliau tidak sampai ke penghujung apabila beliau telah disoal siasat oleh pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Incheon. Berikut merupakan perkongsian beliau di Facebook.

immi koea

Tujuan penulisan ini adalah disebabkan ramai kawan-kawan yang baik bertanyakan nasib saya semasa berada di sana dan juga sebagai pengajaran serta pengetahuan kepada kawan-kawan diluar yang ingin pergi ke Korea.

Untuk makluman semua, sekarang ini memang kerajaan Korea memandang berat terhadap isu lambakan pekerja asing di negara tersebut. Hal ini menyebabkan mereka telah mengadakan kawalan ketat di pintu masuk negara mereka. Jika terdapat pelancong yang nampak meragukan tanpa sebarang alasan mereka akan terus menghantar pulang pada hari yang sama.

BACA: Petik Kobis Gaji RM11,000 Di Korea Selatan, Realiti Indah Atau Hanya Fantasi?

Itulah yang terjadi kepada saya pada tarikh 4 Oktober lalu. Saya tiba di Lapangan Terbang Incheon lebih kurang jam 8.00 pagi dan dihantar pulang ke Malaysia pada jam 4:30 petang pada hari yang sama. Ini sebab mengapa saya dihantar pulang pada hari yang sama.

Bermula dengan tidak mengisi jenis pekerjaan di borang ketibaan dan seterusnya berakhir dengan penghantaran pulang. Seperti negara-negara lain ysng saya pernah lawati sebelum ini, kebiasaannya saya tidak pernah mengisi jenis pekerjaan di dalam borang ketibaan dan boleh diterima tetapi nasib tidak menyebelahi saya di Korea kali ini.

arrival card
Contoh ‘arrival card’ yang perlu diisi penuh

Pegawai imigresen bertanya dengan nada yang keras “what’s your job?”. Saya cuma menjawab government servant. Seterusnya pegawai tersebut bertanya saya berkhidmat di jabatan mana. Saya terus jawab fisheries. Mungkin akibat salah faham dan batasan komunikasi, pegawai tersebut mungkin menjangkakan saya merupakan seorang nelayan.

Benda pertama yang dilakukan ketika soal siasat itu, mereka meminta cap 2 jari telunjuk kanan dan kiri, tangkap gambar beberapa keping dan saya dikehendaki untuk mengisi satu borang. Semua data yang diperlukan di dalam borang tersebut sama seperti kad ketibaan pelancong cuma dalam bentuk A4.

Pada mulanya saya fikir tidak ramai pelancong dalam bilik siasatan tetapi rupa-rupanya ramai. Ramai pelancong dari Thailand ketika itu. Saya dikehendaki untuk menunggu lebih kurang 4 hingga 5 jam sebelum dipanggil semula untuk siasatan tanpa diberi makan. Ketika itu, perasaan saya bercampur aduk. Semasa menunggu masa untuk di soal siasat saya cuba minta izin dari pegawai imigresen untuk memberi wang kepada rakan yang menunggu di luar namun, permintaan saya ditolak sekeras-kerasnya oleh pegawai tersebut.

Saya dipanggil oleh seorang pegawai imigresen perempuan dan seorang penterjemah yang boleh bercakap Bahasa Melayu tetapi penterjemah itu hanya melalui telefon. Kesemua dokumen yang ada pada saya telah diambil termasuklah wang tunai yang agak banyak untuk diberikan kepada kawan-kawan beserta 8 keping T-Money.

tmoney
T-Money, kad prepaid seperti Touch N Go (Kredit gambar: toomyooi.com)

Soalan pertama yang diajukan mengenai pekerjaan saya. Jadi memang benarlah mereka meragui pekerjaan saya. Soalan seterusnya ialah berapa ramai datang, saya menjawab 8 orang semuanya. Kemudian saya diminta untuk menyebut nama penuh semua kawan-kawan.

Mana mungkin saya hafal kesemua nama pelanggan yang saya bawa ke sini lalu saya mengatakan bahawa semua dokumen nama penuh ada di dalam dokumen yang dia ambil tadi. Pegawai tersebut memberitahu sepatutnya saya perlu menghafal kesemua nama orang di bawah jagaan saya.

Kemudian pegawai tersebut bertanya tujuan datang ke Korea adakah untuk bersiar-siar ke mana. Saya hanya menjawab beberapa tempat yang kami akan kunjungi, tetapi pegawai tersebut meminta maklumat lanjut mengenai tempat yang kami akan tujui. Saya keluarkan itinerary kami tetapi pegawai tersebut terus merampas dan memarahi saya, katanya saya patutnya tahu tempat yang kami akan pergi.

Soalan terakhir ialah berapa banyak duit yang saya bawa. Spontan saya menjawab 2 juta Won memandangkan semua dokumen serta beg duit saya diambil. Tetapi pegawai tersebut memarahi saya kerana duit yang dibawa agak banyak. Saya beritahu kesemua jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membayar hotel sambil menunjukkan bukti tempahan hotel, bayaran pengangkutan dan tiket T-Money, wang selebihnya untuk belanja.

Sebelum mengakhiri soal siasat, saya cuba berkomunikasi dengan penterjemah supaya memaafkan saya kerana ini kali pertama saya datang ke Korea. Belum sempat penterjemah habis bercakap terus dia putuskan panggilan. Pegawai tersebut terus menghulurkan satu borang untuk saya turunkan tandatangan. Dia beritahu yang saya tidak dibenarkan masuk ke Korea. Saya cuba meminta izin untuk memberikan wang dan T-Money kepada kawan yang menunggu di luar tetapi dengan nada yang sombong dia cakap “NO!”.

Setelah selesai soal siasat saya terus diiring ke ruang pelepasan antarabangsa untuk dihantar pulang ke Malaysia. Pasport saya berada di bawah jagaan mereka dan diberikan setibanya di KLIA. Begitulah sedikit sebanyak kisah saya ke negara Korea ‘Balik Hari’. Pesanan saya kepada anda yang bakal ke Korea, pastikan segala persiapan mental dan fizikal. Sebolehnya hafal semua tempat yang bakal dilawat. Walaupun bukan semua orang dia akan panggil tapi kalau nasib tidak baik jadi jadi seperti saya, pastikan arrival card isi penuh. Jangan tingglkan ruang kosong.

P/S: Perkongsian ini ditulis supaya anda yang akan ke Korea lebih berhati-hati dan membuat persiapan rapi dalam segala segi supaya anda tidak menerima nasib yang sama seperti yang saya alami. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk itu kita sama-sama elakkan.