Pandemik COVID-19 telah melanda Malaysia sejak awal tahun lalu. Sejak itu, negara telah merekodkan lebih 700,000 kes dan lebih 5,000 kematian. Angka sembuh juga berada di tahap yang positif dengan lebih 650,000 kes yang berjaya sembuh sehingga ke hari ini.

Namun, setahun yang lalu, pada tarikh ini, 1 Julai 2020, Malaysia pernah merekodkan kosong kes tempatan COVID-19 setelah berjuang hampir beberapa bulan dengan sebahagiannya dipaksa untuk duduk di rumah dan dilarang untuk keluar bagi membendung kes COVID-19.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dan dalam setahun ini juga, rakyat Malaysia dihadapkan dengan kes COVID-19 yang tidak terkawal disebabkan pelbagai polisi yang berubah. Antaranya yang memberi kesan kepada kes COVID-19 naik mendadak selepas berjaya mencatatkan ‘telur ayam’ adalah pilihan raya Sabah yang diadakan tahun lalu.

Sejak itu, kes COVID-19 di Malaysia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan berhenti, apatah lagi kembali kepada tahap kosong. Ciapan yang kembali tular ini sukar untuk diterima sebahagian rakyat Malaysia. Bagi mereka, kita pernah berjaya mencatat kes kosong, tetapi kini kita mula kembali kepada asal.

“Kerja keras @DGHisham dan team. Hari-hari ternanti-nanti depan tv, nak tengok team KKM senyum depan kamera, analisis kes, lepas itu amek prop, wartawan tangkap gambar. Best sangat memori masa tu. But now, one year later, everyday total case 5k++,” kata Zainab Solehah di Twitter meluahkan rasa sedih.

Tahun lalu juga, prosedur operasi standard yang dikenakan sangat ketat. Semasa perintah kawalan pergerakan yang pertama, hampir keseluruhan rakyat Malaysia memberi kerjasama dengan tetap berada di rumah bagi membantu kerajaan dalam membendung wabak COVID-19.

https://twitter.com/noobriego/status/1410429247424921601

Ada daripada mereka yang terpaksa akur untuk menutup perniagaan dan kekal duduk di rumah kerana bukan sahaja takutkan wabak, tetapi untuk kepentingan  bersama dan keberlangsungan hidup semua pada masa hadapan. Dan bila kes berjaya berada di tahap kosong, kepuasan turut dirasai oleh mereka.

Melihat kepada situasi sekarang, kita boleh lihat bagaimana sebahagian orang sudah muak, penat dan kecewa. Kata mereka, pihak yang bertanggungjawab seolah-olah tidak serius dalam menjaga kebajikan mereka. Lalu mereka ditinggalkan dengan tidak banyak pilihan, terpaksa berjuang seorang dengan kes COVID-19 yang tidak nampak hujung pangkal.

Luahan kekecewaan boleh dibaca di ciapan yang kembali tular tersebut. Semua orang meluahkan rasa rindu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan pada 1 Julai tahun lalu bahawa kita berjaya mencatatkan kes kosong. Manakala sebahagian pula meluahkan rasa kecewa bila melihat situasi semasa yang kini melanda kita.

Bagi mereka, kita boleh mencapai kes kosong jika pihak berwajib yang diamanahkan tampil serius dan bukanlah untuk kuasa semata-mata. Kata mereka lagi, apa yang mereka inginkan adalah kelangsungan hidup seperti dulu dan jika tidak dapat pun, cukuplah pelan yang jelas untuk keluar daripada konflik yang sudah hampir dua tahun menekan Malaysia.

Kita masih ada harapan untuk sampai ke tempat yang kita pernah sampai. Jika semua orang memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam misi untuk menyelamatkan negara daripada COVID-19. Tidak mustahil kes COVID-19 di Malaysia mampu kembali ke angka kosong.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan 6,276 kes COVID-19 semalam dengan 62 kematian baharu. Ini menjadikan kes keseluruhan di Malaysia adalah 751,979 kes. KKM juga merekodkan 23 kluster baharu termasuklah 13 dari tempat kerja.

Majalah 3 dipuji buat dokumentari isu COVID-19, netizen sebak dengar kata-kata jururawat ini. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Majalah 3 Dipuji Buat Dokumentari Isu COVID-19, Netizen Sebak Dengar Kata-Kata Jururawat Ini

Bila VIP ‘Berebut’ Vaksin Dengan Kumpulan Barisan Hadapan, Umpama Lebih Sudu Dari Kuah

WHO Yakin EURO 2020 Bakal Lahirkan Varian Baharu COVID-19, Minta Negara Eropah Jangan Degil