Harimau Malaya bakal pupus jika tiada langkah-langkah drastik yang diambil bagi membendung masalah ini. Berkata kepada Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata harimau yang menjadi lambang negara Malaysia boleh pupus dalam tempoh seawal lima tahun hingga satu dekad.

Memetik laporan Malay Mail, Wan Junaidi berkata bahawa populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang membimbangkan dan melalui tinjaun NTS1 – Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1) yang dijalankan dari 2016 hingga 2020 – dianggarkan populasi spesis ini kurang daripada 200. Tambah beliau lagi, Harimau Malaya bakal pupus dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun jika tindakan luar biasa tidak diambil dengan segera.

Wan Junaidi yang menjawab bagi pihak Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang tidak dapat hadir ke Parlimen selepas dijangkiti wabak COVID-19. Sebelum ini, Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid, daripada PAS, telah meminta kerajaan menyatakan usaha yang diambil untuk melindungi Harimau Malaya yang terancam pupus.

Wan Junaidi berkata kerajaan bercadang melanjutkan moratorium pemburuan rusa Sambar — mangsa kegemaran dan sumber makanan utama Harimau Malaya — yang dijangka tamat bulan ini. Kerajaan juga telah bersetuju untuk melaksanakan sembilan langkah strategik berdasarkan tiga pendekatan untuk pemuliharaan spesies itu untuk tempoh 10 tahun dari 2021 hingga 2030.

Menurut Berita Harian, antara langkah yang bakal diambil adalah; pertama, dengan memperkasakan penguatkuasaan, rondaan di darat, dan pemeliharaan serta pemuliharaan habitat semula jadi harimau Malaya. Kedua, dengan menambah baik tadbir urus dan keberkesanan dalam pelaksanaan usaha pemuliharaan dan ketiga, dengan memperkukuh inisiatif untuk memastikan kemandirian spesies harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan yang inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Beliau juga turut meminta agar dihentikan aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal. Di mana kesan daripada aktiviti ini dapat mengurangkan kawasan perburuan harimau yang boleh memaksa haiwan itu berkonflik dengan populasi manusia untuk mencari sumber makanan alternatif.

“Sebenarnya, masalah di sini ialah manusia sendiri kerana habitat semula jadi harimau adalah hutan belantara tetapi sebaliknya kita telah menebangnya. Jadi habitat hutan yang semakin berkurangan memaksa haiwan itu untuk bersemuka dengan populasi manusia kerana mereka mempunyai kawasan perayauan yang besar,” katanya.

Harimau Malaya atau dikenali sebagai Harimau Belang adalah antara spesis unik yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia. Disebabkan keunikannya, Harimau Malaya telah dipilih menjadi lambang rasmi Malaysia iaitu dalam Jata Negara. Selain itu, namanya juga digunakan untuk skuad bola sepak negara sebagai lambang keberanian dan kekuatan yang ada padanya.

Sejak beberapa tahun yang lalu, spesies ini telah berkurangan secara drastik dalam populasi disebabkan oleh pemecahan habitat yang disebabkan oleh pencerobohan manusia, eksploitasi komersial dan kehilangan sumber makanan utama. Ia juga dikategorikan sebagai Dilindungi Sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, dan diklasifikasikan sebagai Terancam Kritikal di bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi Senarai Merah untuk Spesies Terancam.

Zoo Taiping sambut kelahiran 3 baby Harimau Malaya di musim PKP. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Zoo Taiping Sambut Kelahiran 3 ‘Baby’ Harimau Malaya Di Musim PKP

Casio Tampil Dengan Koleksi ‘Limited Edition’ G-SHOCK x Harimau Malaya

Harimau Malaya Yang Bernama ‘Nadia’ Diuji Positif COVID-19 Di New York