Musa Nuwayri, penulis buku Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi dan pengasas NGO Cinta Syria Malaysia berkongsi berita gembira apabila berjaya menyiapkan sebuah sekolah untuk kanak-kanak di Afrin, Syria. Lebih manis apabila kejayaan ini datang hasil daripada sumbangan orang ramai.

Beliau yang berkongsi berita gembira di Facebook berkata ‘susunan Tuhan tidak pernah mengecewakan’ apabila pernah dimaklumkan dengan berita duka apabila sekolah kedua Cinta Syria Malaysia di Turki terpaksa ditutup kerana bakal diambil alih oleh kerajaan di sana untuk meneruskan pendidikan buat anak-anak pelarian perang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berita duka itu kemudiannya digantikan dengan pelawaan untuk membina sebuah sekolah buat anak-anak di Afrin, Syria. Tambah beliau lagi, hasil daripada sumbangan orang ramai yang dikumpulkan selama 3 bulan akhirnya Sekolah Kita bakal dibuka untuk diberi manfaat kepada anak-anak di sana.

“Hanya RM220,000 dibelanjakan untuk membina sekolah yang tersergam indah di atas bumi Syam dan boleh memuatkan seramai 250 orang pelajar ini. Apa yang lebih membanggakan, 100% kos pembinaan ditanggung oleh kalian.

“Kami di fasa akhir untuk masukkan kerusi, meja dan alatan belajar yang lain sebelum anak-anak mula mendaftar masuk selewat-lewatnya akhir Oktober ini,” katanya di laman Facebook.

Difahamkan bahawa sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah yang berada di kawasan tersebut dan mempunyai jumlah sekitar 500 kanak-kanak di sana. Bagi memberi peluang kepada semua kanak-kanak merasa zaman persekolahan dan merasa nikmat menjadi kanak-kanak, Sekolah Kita bakal dijalankan dengan sistem dua sesi persekolahan.

Facebook – Musa Nuwayri

Menerusi perkongsian beliau dengan The Vocket, Musa berkata bahawa antara dugaan paling besar dalam membina sekolah untuk masa depan anak-anak ini adalah kos tambahan yang perlu dihadapi oleh Cinta Syria Malaysia kerana bahan binaan di negara perang yang bersifat tidak tetap.

“Apapun masih sangat murah kerana kos keseluruhan hanya RM220,000.00 sahaja. Cuma kami risau kos pendidikan tahunan yang masih perlu dibayar apabila sekolah mula beroperasi nanti,” katanya kepada The Vocket.

Mengambil nama Sekolah Kita yang bermaksud usaha pembinaannya dilakukan oleh semua orang, Musa mengharapkan agar anak-anak di sekolah ini dapat membina masa hadapan yang lebih cerah dan masa kanak-kanak mereka berjalan seperti kanak-kanak yang berada di negara yang aman tanpa pergolakan perang.

“Kami harap mereka diberi peluang untuk ke sekolah macam kanak-kanak yang lain. Bermain, belajar dan menikmati zaman kanak-kanak mereka yang sebelum ini hanya diisi dengan bom dan peluru. Dan membesar menjadi manusia berguna untuk membangunkan semula negara mereka suatu hari nanti.”

Ikuti perkongsian kisah menyentuh hati di sebalik sekolah anak pelarian Syria diasaskan oleh pelajar Malaysia. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Kisah Menyentuh Hati Di Sebalik Sekolah Anak Pelarian Syria Diasaskan Oleh Pelajar Malaysia

20 Pemuda Malaysia Antara Peserta Konvoi Ambulans Terbesar Di Dunia, Bawa Misi Untuk Syria

3 Minggu Bersama Mereka, Inilah Siapa Basyar Dari Kacamata Rakyat Syria