Sepanjang ingatan saya, jarang seorang ayah diangkat sebagai watak utama dalam sebuah filem kekeluargaan terutamanya cerita hubungan seorang ayah dan anak perempuan.

Umum mengetahui, anak-anak perempuan lazimnya lebih rapat dengan ibu. Karakter tipikal seorang ayah yang terpamer garang dan pendiam menyebabkan mereka dilihat misteri dan menakutkan untuk didekati.

Kali pertama poster ‘Dangal’ lalu di newsfeed facebook, saya sudah semat dalam hati, filem ini mesti tonton kerana pelakonnya Aamir Khan.

Selepas kemunculan beliau dalam filem-filem seperti 3 Idiots, Tare Zameen Par dan PK, saya menantikan buah tangan yang seterusnya kerana yakin, pasti ada mesej besar yang akan disampaikan dalam setiap filem yang dihasilkan.

Dalam berkira-kira bila waktu yang sesuai untuk menonton filem ini, saya mendapat info, Aamir Khan menambah berat badan sebanyak 30 kg kepada 98 kg demi menjiwai watak Mahavir Phogat (bapa) yang berumur 60 tahun.

Beliau kemudiannya menurunkan semula berat badan untuk melakonkan watak Phogat ketika berusia 20-an. Melakonkan satu watak untuk dua versi dalam satu filem.

Ini sangat menarik!

Saya tidak dapat menahan diri lagi apabila seorang rakan membuat provokasi bahawa cerita ini adalah tentang seorang ayah dan anak-anak perempuan.

Seperti mana kisah-kisah Budak Kripton yang ditulis dari sudut pandang seorang ayah, filem ini turut mengambil sudut itu.
Saya membuat keputusan, mahu bawa anak-anak untuk menonton cerita ini.

Bukan mudah memujuk anak-anak untuk menonton cerita yang lari dari genre kegemaran mereka. Mereka tidak melompat-lompat seperti ketika diajak menonton cerita animasi seperti Sing, Moana atau Stork.

Mendengar perkataan ‘Dangal’ saja mereka sudah pelik.

“Cerita keldai ke abah? Bunyi macam baghal?” Muka tidak bersetuju kerana diajak menonton cerita tentang keldai.

“Bukan keldai. ‘Dangal’ tu maksudnya gusti. Ini cerita tentang gusti. Cerita benar tentang penggusti perempuan pertama di India yang menang emas di sukan Komanwel 2010,” menjelaskan bersungguh-sungguh.

Akhirnya mereka mengalah. Pasrah. Ikut abah.

Sepanjang menonton, ada babak-babak tertentu sengaja saya mengusik Zahraa kerana menangis. Saya memeluk kononnya menenangkan dia, sedangkan diri sendiri sebenarnya yang berlinang air mata.

Ada juga babak yang mebuatkan kami bertepuk tangan bersama-sama. Puas apabila Geeta dan Babita memperoleh kemenangan. Hampir saja kaki naik ke atas kerusi.

Selepas menonton Dangal, ternyata mereka berpuas hati. Ajaibnya, tiada yang tertidur. Malah, soalan demi soalan ditanya tanpa henti.
Antara inti pati ‘Dangal’,

1. Seorang bapa, kebiasaannya kita paling dominan dalam rumahtangga. Mahu menentukan semuanya baik untuk anak-anak mengikut acuan kita. Namun, akan sampai satu masa, bapa perlu ‘bertarung’ untuk dilihat relevan di sisi anak-anak. Di luar sana, pelbagai cabarannya, terutama rakan sebaya.

2. Seorang ibu, akan sentiasa tersepit dalam dilema. Antara kehendak seorang suami dan kasih kepada anak-anak.

3. Seorang anak, akan sampai satu masa, mereka fikir, mereka lebih pandai, lebih berjaya dari ibu bapa. Ketika itu, mereka boleh pilih untuk membuang keluarga atau menghargai jasa. Namun, tiada makna kejayaan tanpa keluarga.

4. Seorang bapa, kelihatan ‘kejam’ dan dingin di mata anak-anak, tetapi tiada siapa yang tahu bagaimana rawan dan kagetnya hati seorang bapa apabila anak-anak berada dalam kesusahan (ada satu babak, Geeta menangis menelefon bapanya dari National Sports Academy (NSA), saya berlinang waktu ini).

5. Untuk berjaya, ada masanya kita terpaksa berbuat sesuatu yang janggal dan melawan arus. Kita akan kelihatan pelik di mata masyarakat. Jika gagal, ramai menunggu bertepuk tangan. Ketika berjaya, ramai akan menumpang seolah-olah banyak sumbangan.

6. Tidak ada penamat kepada satu cita-cita. Jika tidak kita, mungkin anak-anak kita. Namun, mereka perlu benar-benar tahu mengapa cita-cita itu mahu digapai.

7. Anak-anak tidak selamanya dalam perlindungan ibu bapa. Akan tiba masa, mereka perlu membuat keputusan sendiri. Buka ruang dan berikan mereka peluang itu. Ajar mereka berdikari dan bebas lepas membuat keputusan sendiri.

Saya lega ‘Dangal’ dapat menyampaikan fikiran seorang ayah kepada anak perempuan tanpa perlu saya meluahkan sendiri.

Antara kesan awal, Zulfa sudah mula membuka buku dan membuat latihan walaupun sekolah hanya akan bermula hari ini.

Kesan berbeza untuk anak lelaki. Iman sudah mula menyelongkar stor. Mencari ‘dumbbell’ yang lama tersimpan dan sudah berhabuk. Memang anak lelaki!

Saya sangat rekomen ibu bapa menonton cerita ini bersama anak-anak. Mesejnya akan menyelinap masuk dalam minda separa sedar mereka.

Filem yang mesti tonton.

BudakKripton pagi ini ke sekolah bersemangat ‘Dangal’.