Aku baru balik dari jumpa seorang makcik ni, seorang hajjah berusia 63 tahun. Makcik ni beria-ia nak jumpa aku sebab dia bakal menjalani kehidupan seperti aku, kehidupan seorang laryngectomee. TERKEJUT? Ye aku pun terkejut. Ini wanita ke dua yang aku jumpa diuji dengan kanser pita suara.

Tapi punca utama bagi kanser pita suara adalah rokok, jadi adakah makcik ini seorang perokok? TIDAK! Makcik ini tidak merokok, tetapi dia merupakan seorang PEROKOK PASIF!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Banyak yang aku nak cerita berkenaan pertemuan kami yang berlangsung hampir 2 jam ini. Niat makcik ini nak jumpa aku sebab dia nak belajar sesuatu dari aku, sebaliknya aku merasakan aku turut mendapat manfaat hasil dari pertemuan dengan makcik yang super ohsem dan super positif ini

Orangnya hampir sebaya dengan mak aku, hanya muda beberapa tahun. Tapi susuk tubuhnya jauh lebih tegap dan nampak sihat berbanding dengan mak aku, yang sememangnya sudah sekian lama berperang dengan penyakit 3 serangkai.

Sebaik sahaja dia membuka mulut berbicara, terus aku terkenangkan keadaan aku 3 tahun lepas. Ye beginilah bunyi suara aku pada ketika itu, serak, bukan sikit-sikit punya serak, kaw punya serak.

Salam perkenalan pun dihulurkan. Dipendekkan cerita dia meminta aku untuk menceritakan pengalaman aku dan detik-detik aku menjalani pembedahan. Aku pun menceritakannya.

Detik dari aku disahkan kanser, aku disyorkan oleh doktor untuk menjalani rejim kemo dan radio namun aku lari, bagaimana aku mengalami sesak nafas dan bagaimana akhirnya aku ‘menyerahkan diri’ kepada doktor-doktor HUKM untuk menjalani pembedahan membuang peti suara yang dijangkiti kanser itu.

Sesekali dia mencelah, bertanyakan bahagian-bahagian yang dia kurang jelas. Aku turut menceritakan pengalaman aku selama 10 hari di dalam wad dan bagaimana kehidupan aku pasca pembedahan, sehingga ke hari ini.

Kemudian giliran dia menceritakan kisah dia dengan kansernya. Hebat juga ujian mak aji sorang ni. Dia disahkan kanser hanya beberapa bulan selepas dia kehilangan teman hidupnya.

Ye cuba kita bayangkan, sedang kita masih lagi dalam mode bersedih dengan kehilangan orang yang tersayang, tiba-tiba kita pula disahkan dengan penyakit maut, kanser.

Kanser pula bukan kanser yang biasa-biasa bagi seorang wanita, kanser pita suara! Ianya seakan-akan kita mendengar lelaki yang diserang dengan kanser payudara! Sungguhpun ianya bukan mustahil tetapi ianya adalah sesuatu yang memang rare.

“Makcik tak hisap rokok, makcik tak minum alkohol. Makcik jaga kesihatan makcik, makcik jaga makan minum makcik. Makcik suka makan sayur, makcik ambil makanan-makanan tambahan kesihatan. Makcik sentiasa alert dengan tubuh makcik, maaf cakaplah ye, ini kira cakap dengan anak-anak, makcik sentiasa periksa t*t*k makcik, apa-apa yang tak kena dengan tubuh makcik, makcik akan sedar.”

Dia nak menyambung cerita tetapi laju aku pintas:

“Ada tak dikalangan keluarga makcik yang merokok?” Agak lama dia senyap dan kemudian dia menjawab; “Arwah pakcik dulu perokok tegar.”

Lalu dia menceritakan tabiat arwah suaminya dahulu. Bagaimana arwah sebenarnya bukan setakat perokok tegar tetapi dah kategori obses tembakau. Namakan apa jenis tembakau, rokok kretek, rokok gulung, rokok daun, paip, syisya semua pakcik dah pernah cuba, katanya.

“Tapi makcik tak pernah salahkan pakcik. Malah kadang-kadang makcik pula yang melayan pakciknya menghisap. Makcik suka juga bau tembakau syisya tu kadang-kadang.”

Tersengih je mak aji ni menceritakan kisah-kisahnya. Terdetik di hati aku, mesti mak aji ni merindui pak aji dia.

“Takpela tu, pakciknya pun dah arwah. Kita doakan jelah moga dia tenang disana.” Kata mak aji menutup bicara berkenaan arwah suaminya. Aku pun berhenti membangkitkan apa-apa persoalan berkaitan arwah.

Panjang lagi perbualan kami semalam, namun apa yang membuatkan aku paling kagum dengan mak aji sorang ni adalah, tiada setitik air mata pun yang menitis tatkala dia menceritakan kisah-kisahnya.

Samada dia sebenarnya telah pun move on dari situasi gelap itu atau pun memang dia seorang yang sangat-sangat kuat dalamannya. Malah perbualan kami semalam sebenarnya berlangsung dalam suasana gembira, santai dan banyak berkongsi kisah-kisah lucu.

Cuma apa yang dapat aku perhatikan adalah sebenarnya dia TAKUT. Takut dengan kehidupan akan datang yang bakal dia tempuh, takut akan kehidupan seseorang yang berstatus laryngectomee.

Ye lah, mana ada manusia normal yang tidak takut untuk melangkah masuk ke dalam gua kelam yang gelap gelita tanpa mengetahui apa yang berada didalamnya, kan?

Maka tahulah aku sebenarnya itulah pun tujuan mak aji kepingin sangat bertemu dengan aku. Alhamdulillah tercapai sudah hajatnya. Di akhir perbualan sekali lagi aku menegaskan kepadanya:

“Makcik, saya datang ni bukan untuk memaksa makcik menjalani pembedahan, bukan untuk memberi kaunseling dan bukan juga untuk mempengaruhi sebarang keputusan makcik. Saya cuma nak tunjukkan kepada makcik, inilah keadaan saya dan beginilah kehidupan saya setelah bergelar seorang laryngectomee.

Cuma pesanan saya buatlah pilihan yang makcik fikir terbaik untuk diri makcik, anak-anak dan cucu-cucu makcik.”

Aku rasa dia faham, aku rasa dia mengerti dan aku yakin dia bakal membuat keputusan yang tepat berhubung dengan rawatannya nanti. Marilah kita sama-sama doakan segala urusan mak aji ini dipermudahkan dan semoga dia dapat melalui segala ujian ini dengan tabah dan dapat juga dia menjalani rawatan/ pembedahan dengan jayanya.

Pesanan aku kepada perokok-perokok di luar sana, sedarlah, celikkanlah mata anda, perhatikanlah sekeliling anda. Bukan anda sahaja yang bakal berdepan risiko bahaya rokok ini.

Kes makcik ini adalah satu dari beribu contoh klasik akan bahayanya second class smoker atau pun perokok pasif. Janganlah disebabkan tabiat buruk anda itu, orang disekeliling anda yang menerima padahnya