Sekitar tahun 2014, sebuah filem Singapura berjudul Banting tiba-tiba muncul di layar besar. Filem yang mengisahkan mengenai gadis yang berhijab tetapi mahu bergusti itu difilemkan dalam satu naskah komedi kelakar segar yang boleh dikatakan berjaya mencuit hati penontonnya.

Soalnya, gusti dan hijab, adakah ‘gandingan’ ini cukup sesuai? Dan tahun ini muncul pula filem yang cuba ‘menggandingkan’ sesuatu yang janggal iaitu hijab dan ballet. Soalnya, adakah wujud titik solusi untuk menyatukan sekali lagi dua ‘dunia’ yang cukup bertentangan ini?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hijabsta Ballet (2017)

hijabsta ballet film poster01

Sinopsis ringkas, Adele (lakonan pelakon baharu Puteh Maimun Zahra) merupakan seorang penari balet yang tidak berhijab. Terkesan atas satu kejadian, Adele berhijrah untuk berhijab sepenuhnya namun masih mahu meneruskan minatnya pada balet.

Tindakan Adele yang tetap berkeras dengan kehendaknya mahu menggandingkan hijab dan balet mendapat tentangan hebat dari keluarga dan masyarakat. Dan ini menguji sama ada tetap teguh dengan pendirian hijabnya atau mengorbankan hijab demi minatnya.

Ulasan

hijabsta ballet03

Sebelum itu saya ingin memetik kata-kata pengarahnya, Syed Zul Tojo melalui artikel yang disiarkan di laman web Berita Daily.

“Menerusi Hijabista Ballet, kita mengaplikasikan 51 elemen pecah panggung yang kita temukan dalam kajian dengan menyelitkan elemen seperti penceritaan di luar kota fikiran iaitu cubaan mencantumkan dua dunia berbeza melibatkan tarian balet dan pemakaian hijab.”

Usai menonton filem ini, saya hanya ingin menyentuh dua hal. Dua hal yang bagi saya tunjang bagi filem ini. Pertama semangat atau tenaga yang cuba dibawa. Memetik kata-kata sang pengarah di atas, filem ini dibikin melalui hasil dari deep research yang mungkin jika ada yang sudah sedia maklum ia sudah bergelintar di media sejak tahun lalu lagi.

hijabsta ballet 104

Mungkin secara zahirnya, idea percantuman dua dunia (iaitu ballet dan hijab) yang tercambah dari kajian ini boleh dikatakan agak ‘nakal’ (malah mengundang kontroversi). Ya mana mungkin seni tari ballet akan dipanggil ballet dengan hijab di kepala dan tubuh tersarung pakaian labuh.

Tetapi di sinilah semangat filem ini terbina iaitu dari semangat sebuah perjuangan idea ‘mustahil’ di luar filem dan semangat itu seterusnya di bawa ke dalam filem. Cumanya terdasar dari semangat filem ini, pelabelan kita secara literalnya akan jadi mudah.

Adakah filem ini mahu agar para ‘penontonnya’ sentiasa out of the box? Atau mahukan penontonnya memperjuangkan apa yang mustahil? Atau mahukan anak muda (merujuk kepada watak utama iaitu Adele yang masih muda dan penuh semangat!) sentiasa memberontak dan menentang?

hijabsta ballet 101

Di sini ia membawa pada soal kedua iaitu hal jati diri. Tunjang ini ialah pengimbang (dan bukan pembunuh) pada semangat yang dibina oleh filem ini.

Melalui watak-watak yang lebih berusia dan matang dalam mendepani soal dunia (kita boleh rujuk watak seorang nenek yang dilakonkan oleh Aida Khalida yang menekankan soal spiritual dan seorang ibu lakonan Betty Banafe yang menekankan soal rasional dalam tindakan), watak Adele yang mewakili semangat filem ini akan berdepan satu konflik solusi yang mungkin akan mematangkan, mendewasakan atau mungkin menyemarakkan lagi semangat melawan.

hijabsta ballet 102

Kerana itu, walau filem ini dibawa melalui sudut pandang kita pada Adele, tetapi elemen jati diri yang kerap dilaung di dalam filem ini ‘sengaja’ ditekankan untuk berpesan agar remember who you are dan bukan sekadar be who you are.

Mungkin similariti wujud dalam perbandingan filem ini dan filem Banting. Bezanya, filem Banting yang walaupun juga ‘bermain’ dengan ‘gandingan’ dua dunia yang sama janggal, tetapi ia dibuat mudah dan tidak terlalu ‘deep’ dalam menyentuh soal jatidiri (malah soal agama dan hukum).

hijabsta ballet 0701

Berbeza dengan naskhah ini, ia digerakkan dengan konflik berat yang (berani) menyentuh sensitiviti agama (malah kita akan lihat beberapa dialog penentangan halus dalam meremehkan soal hijab).

Dan oleh kerana ia dibuat dalam acuan drama, konflik ini mahu disampaikan dengan jelas agar penontonnya (atau target audienya) berfikir secara rasional akan pertembungan antara hukum dan cita-cita serta solusi atas contradiction yang tercetus.

Namun, walaupun filem ini mempunyai tunjang yang kuat, mungkin kita akan melihat beberapa kelemahan dari segi penyampaian dan agak jelas diperlihatkan melalui watak utamanya iaitu Adele.

hijabsta balet0800

Mungkin atas faktor pelakon baharu, kelihatan yang emosi konflik watak Adele terlalu berat untuk dipikul. Tetapi oleh kerana Puteh Maimun Zahra digandingkan dengan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Betty Benafe, Aida Khalida dan Aman Graseka, watak Adele ‘berseri’ kerana gandingan ini mampu melakarkan warna sebuah cerita. Namun ia masih cubaan yang baik untuk kali pertama.

Ringkasnya, filem ini sebuah filem yang mungkin mampu memberi cara fikir dan solusi baharu pada konflik dalam liku-liku kita menelusuri kehidupan. Kerana tidak semua yang benar itu betul dan tak semua yang silap itu salah. Di mana mahu mencari solusi? Mungkin di dalam diri dan berpandu terjemahan kalam suci.

Terima kasih kepada The Vocket atas jemputan pra-tonton filem ini. Sama-sama kita saksikannya di pawagam bermula 3 Ogos 2017 nanti.