Sebagai penutup bagi 2016, saya ingin merumuskan kembali ‘tema berulang’ (recurring theme) dalam artikel-artikel saya iaitu “politik antarabangsa tidak harus dilihat melalui perspektif hitam dan putih.

Tetapi seharusnya melalui perspektif yang realis yakni melihat politik antarabangsa sebagai perjuangan untuk kuasa dan keselamatan (struggle for power and security).”

Tiada hitam putih bukan bermaksud tiada betul atau salah (itu sudah jatuh ke lembah relativisme moral). Cuma, sebelum kita nak menentukan sesuatu betul atau salah, kita perlu memahami realiti politik antarabangsa yang sememangnya rumit dan kompleks.

Waktu kita kecil, kita hanya perlu menjawab ‘betul/salah’ atau ‘ye’/tidak’ semasa menjawab soalan. Selepas dewasa kita diberi pilihan ‘tidak setuju’, ‘kurang setuju’, ‘sangat setuju’, ‘terlebih setuju’ dan sebagainya. Kerana seiring dengan usia yang bertambah, kita mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang realiti dunia dan masyarakat.

Corak pemikiran hitam/putih, atau dualisme cenderung melihat realiti sebagai pasangan konsep atau ‘dikotomi’ (dichotomy) yang bertentangan: betul/salah, terang/gelap, suka/benci.

Kalau sesuatu konflik berlaku di antara A dan B, mesti salah satu pihak bersalah. Itulah realiti bagi mereka yang berfikir secara hitam/putih. Dalam pemikiran mereka, tidak mungkin kedua-dua A dan B salah, atau kedua-dua A dan B betul. Sedangkan kedua-dua senario tersebut pun boleh dinamakan sebagai realiti.

Pernah dengar cerita si buta dan gajah? Kisahnya, ada sekumpulan orang buta meraba seekor gajah lalu menceritakan seperti apa gajah itu. Si buta A mengatakan gajah itu seperti tiang besar (sebab dia terpegang kaki gajah), si buta B pula mengatakan gajah itu seperti kipas angin (sebab dia terpegang telinga gajah), si buta C pula mengatakan gajah seperti tali (ekor gajah).

Hakikatnya semua betul, namun pendapat mereka hanya cebisan ilmu yang perlu digabungkan untuk menjadi gambaran realiti keseluruhan. Tapi bagi orang yang berfikir secara hitam dan putih, kalau gajah dah seperti tiang, takkan lah boleh jadi kipas angin.

Orang dalam bidang matematik dan sains komputer menggelarkan corak pemikiran hitam/putih ini sebagai ‘pemikiran binari’, terdiri daripada 1 dan 0. Orang falsafah pula menggelarkan ia sebagai ‘pemikiran Cartesian’ yang memisahkan realiti kepada ‘mind/matter’ atau ‘either/or’.

Orang sejarah dan sains sosial menggelarkan ia sebagai ‘pemikiran Manichean’, merujuk kepada sebuah gerakan agama di Parsi semasa abad ke-3 yang mempopularkan idea bahawa dunia ialah sebuah medan pertarungan kosmik (cosmic struggle) di antara kuasa kebaikan dan kuasa kejahatan.

Pemikiran Manichean ini bahaya jika dibawa masuk ke arena politik antarabangsa. Contoh yang paling nyata ialah George W. Bush. Glenn Greenwald dalam bukunya ‘A Tragic Legacy: How a Good vs. Evil Mentality Destroyed the Bush Presidency’ menceritakan tentang bagaimana pandangan dunia (worldview) Bush yang Manichean telah mencorak dasar luarnya yang melulu.

Menurut Bush, sesiapa yang tidak menyokong US mestilah penyokong Osama bin Laden. “You are EITHER with us, OR against us,” kata Bush. Malah Bush memisahkan negara-negara di dunia ini kepada kategori ‘baik’ (good) dan ‘jahat’ (evil), seperti dalam ucapan ‘Axis of Evil’ (29 Januari 2002) yang menyifatkan Iraq, Iran dan Korea Utara sebagai pakatan negara-negara jahat.

Dari mana Bush terjangkit dengan mentaliti hitam/putih ini? Pertama, penasihat-penasihatnya yang menganut kefahaman neokonservatisme iaitu sebuah ideologi yang menganggap demokrasi ialah sistem politik terbaik dan Amerika bertanggungjawab untuk menyebarkan ia ke seluruh pelusuk dunia.

Kedua, pengaruh fahaman literalis yang menafsir ayat Bible tanpa konteks. Disebabkan Bible menyebut tentang Yakjuj wal Makjuj (Gog and Magog) berada di utara ‘Israel’, maka Bush melihat Russia sebagai Yakjuj manakala Iraq, Iran dan Korea Utara sebagai Makjuj.

Bush seperti kebanyakan fundamentalis Kristian di US memahami ‘Israel’ dalam Bible secara literal dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Zionis.

Kesannya, Bush telah membuat kesilapan besar dengan menggulingkan Saddam Hussein. Hanya kerana Saddam tidak ingin bersama US, maka Bush menganggap dia sebagai musuh.

Dengan pemikiran Manichean, Bush menganggap penghapusan Saddam akan mengurangkan kejahatan di muka bumi. Bush tidak meneliti kedinamikan politik di Timur Tengah seperti hubungan di antara Iran dan Iraq, hubungan di antara Saudi dan Iran dan sebagainya.

Dengan menghapuskan Saddam, Bush telah mencipta kekosongan kuasa (power vacuum) di Iraq. Iran dan kumpulan ekstremis yang ingin mengisi kekosongan tersebut telah mencetuskan konflik sektarian di Iraq, seterusnya di Syria, dan Saudi yang bimbang dengan pengaruh Iran turut memasuki gelanggang.

Masalah-masalah di Timur Tengah hari ini sebenarnya berpunca daripada keputusan bangang seorang yang tidak membaca realiti geopolitik dan politik antarabangsa dengan betul. Dan kebangangan itu berpunca daripada corak pemikiran hitam/putih.

Pemikiran hitam/putih membuat sesetengah pihak melihat kerjasama dengan China sebagai tanda redha dengan komunisme, kerjasama dengan US sebagai tanda melutut kepada Yahudi, kerjasama dengan Saudi sebagai tanda menjujung akidah Muhammad ibn Abdul Wahhab, kerjasama dengan Iran sebagai tanda melaknat para sahabat, dan sebagainya.

Mereka tidak melihat hubungan antarabangsa dan geopolitik mempunyai logik dan kedinamikan tersendiri yang perlu difahami. Mereka lebih suka mengambil pendapat para pendukung teori konspirasi dan sektarianisme agama berbanding pendapat para pengkaji hubungan antarabangsa, kerana naratif konspirasi dan sektarianisme lebih sesuai dengan kerangka pemikiran hitam/putih mereka.

Islam adalah berpandukan prinsip tauhid, bukan dualisme hitam dan putih. Islam bukan hanya pasal halal dan haram tetapi juga mengambil kira maslahah dan mafsadah. Umat kita tidak kurang dengan idealis yang melihat dunia dengan hitam/putih dan bertindak mengikut emosi dan nafsu.

Apa yang kurang ialah realis yang boleh menilai kerumitan realiti dunia dan bertindak mengikut akal. Maka cari lah keseimbangan di antara realisme dan idealisme, untuk kebaikan negara dan umat.

Sambung cerita tahun depan.