Setelah kelibat SUV berwarna merah ini dilihat ramai sejak beberapa minggu ini, ditambah pula dengan berita mengejutkan apabila tempoh menunggu kereta tersebut yang mengambil masa 12 bulan, akhirnya model Honda HR-V baharu telah dilancarkan hari ini.

Bagi pasaran Malaysia, ia hadir dengan empat pilihan varian dan tiga jenis enjin. Model asas ‘S’ dikuasakan dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC, berharga RM114,800. Untuk model pertengahan yang menggunakan enjin jenis 1.5L VTEC Turbo pula hadir dengan dua varian, E (RM129,800) dan V (RM134,800).

Untuk spesifikasi enjin hibrid pula, Honda Malaysia menawarkan varian RS e:HEV hybrid berharga RM140,800. Kesemua harga-harga yang dinyatakan tidak termasuk kos-kos lain seperti cukai dan insurans.

HR-V 2022 merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang bertempat di kilang Pegoh, Melaka ini menerima reka bentuk baharu yang lebih segar dan premium selari dengan rekaan SUV lain pada masa kini.

Bahagian hadapan mempunyai rekaan gril sporty, lampu signal jenis ‘LED sequential‘, lampu utama ‘Daytime Running Lamp‘ dan lampu kabus LED. Manakala bahagian belakang pula menggunakan lampu LED melintang panjang ala-ala ‘lightsaber’ yang sudah menjadi trend pada model kereta moden.

Sumber Gambar: Honda Malaysia
Sumber Gambar: Honda Malaysia

Paling menarik sekali, keempat-empat varian ini hadir dengan fungsi Honda SENSING sebagai standard. Manakala beberapa ciri-ciri lain yang ada padanya seperti butang ‘Push-Start‘, paparan skrin sentuh 8-inci 2-DIN menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, empat sensor belakang dan tayar ganti bersaiz penuh. Perbandingan spesifikasi penuh anda boleh rujuk di sini.

Honda HR-V 2022 mempunyai lima pilihan warna; putih (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic), hitam (Ruse Black Metallic), termasuklah dua warna baharu iaitu merah (Ignite Red Metallic) dan kelabu (Meteoroid Gray Metallic).

Semasa pelancaran tadi juga, Honda Malaysia memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima lebih 20,000 tempahan awal dan penghantaran akan dibuat dari semasa ke semasa.

Ini kerana tempoh menunggu seperti dilaporkan sebelum ini mengambil masa sehingga 12 bulan selepas orang ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun lalu.

Bagi yang berminat untuk dapatkan Honda HR-V serba baharu ini, bolehlah singgah ke pusat pengedar sah yang berhampiran anda lebih mudah dengan merujuk pautan ini.

Sumber Gambar: Honda Malaysia
Sumber Gambar: Honda Malaysia
Sumber Gambar: Honda Malaysia

* Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Honda Malaysia ada mengeluar ‘memo dalaman’ buat para pengedar bahawa tempoh menunggu model HR-V baharu ini boleh mencecah sehingga lebih 12 bulan. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Tempoh Menunggu Honda HR-V Baharu Didakwa Lebih 12 Bulan

Honda City Hatchback Dilancarkan Untuk Pasaran Malaysia, Harga Rasmi Bermula RM75,670

Bakal Dilancarkan Minggu Hadapan, Honda Tidak Sengaja ‘Leaked’ Gambar Civic Type R Baharu