Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang anggota polis membantu seorang pengadu yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan membuat laporan polis.

Video yang dikongsikan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan tindakan seorang anggotanya, Lans Koperal Nabilah Mohd Yusof dari Balai Polis Alor Setar, Kedah itu telah mendapat tindak balas positif dari ramai pihak terutamanya netizen di atas inisiatifnya untuk membantu pengadu berkenaan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menerusi perkongsian video tersebut, Lans Koperal Nabilah telah menghubungi Puan Suriati Mohd Shukor, jurubahasa isyarat dari Persatuan Orang Pekak Kedah (POPKDA) bagi membantu beliau memahami situasi yang ingin dilapor oleh pengadu tersebut.

Di dalam video tersebut, anggota polis tersebut dilihat memegang telefon pintarnya supaya pengadu dapat berkomunikasi dengan jurubahasa isyarat sambil beliau merekod segala maklumat yang diberi.

Berfikir luar kotak

Rata-rata netizen yang meninggalkan komen mengenai video berkenaan berpendapat bahawa tindakan Lans Koperal Nabilah sepatutnya diberi penghargaan yang istimewa. Hal demikian kerana usaha beliau dalam menjalankan tugas harus dicontohi oleh warga PDRM yang lain.

Perkara ini bukan sahaja telah mendapat tindak balas yang positif dari netizen, malah mereka turut berpendapat bahawa PDRM sepatutnya melatih anggota yang lain untuk mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) membuat aduan.

“Tahniah dan syabas Lans Koperal Nabilah Mohd Yusof atas usaha murni tersebut. Semoga menjadi contoh pada semua warga PDRM dan agensi yang lain,” komen netizen.

Namun, ada juga yang menyuarakan pendapat di mana setiap kaunter perkhidmatan awam sepatutnya menyediakan seseorang yang mahir berbahasa isyarat supaya memudahkan kerja bagi pengadu yang berstatus OKU.

“Sepatutnya setiap kaunter perkhidmatan awam ada pekerja yang boleh berbahasa isyarat”, jelasnya.

Masyarakat disarankan supaya mempelajari atau menguasai kemahiran berbahasa isyarat terutama sekali mereka yang bekerja di bahagian perkhidmatan bagi memudahkan komunikasi dengan golongan OKU.

Sebelum ini terdapat juga perkongsian dari golongan OKU yang menceritakan kesukaran untuk berkomunikasi apabila masyarakat umum tidak memahami apa yang beliau cuba sampaikan terutamanya bila berurusan di kedai-kedai.

Baca dengan lebih lanjut kisah gadis ini yang berharap agar lebih ramai yang mempelajari bahasa isyarat melalui pautan di bawah. 

Sering Guna Nota Bila Ke Kedai, Gadis Ini Harap Lebih Ramai Belajar Bahasa Isyarat

Cuak Ditahan Ketika Sekatan Jalan Raya, Gadis Ini Kongsi ‘Plot Twist’ Dibantu Polis

Gambar Rondaan Polis Berkuda Di Kawasan Perumahan Ini Curi Perhatian Netizen

Sumber