Filem ‘Logan’ yang akan keluar di pawagam minggu hadapan adalah filem terakhir Hugh Jackman sebagai mutant hebat Wolverine. Jackman sudah sangat sinonim dengan watak Wolverine yang beliau pegang sejak tahun 2000 dan memang tidak nampak mana-mana aktor yang dapat menyambung legasi Wolverine selepas ini.

Menerusi salah satu temubual untuk filem Logan, Jackman berkata cuma satu sebab sahaja yang akan buatkan beliau kembali memegang watak Wolverine; jika Wolverine dapat bersama-sama Hulk, Captain America, Iron Man dan para Avengers yang lain dalam ‘Infinity War’ atau Marvel Cinematic Universe(MCU).

Seperti mana yang kita tahu, ianya mustahil untuk Wolverine bersama-sama The Avengers sedia ada kerana faktor copyright. Copyright para watak X-Men(termasuk Deadpool) adalah bersama 20th Century Fox, dan tidak bersama Marvel.

Buat masa ini, agak mustahil untuk 20th Century Fox melepaskan watak paling penting mereka ini kepada Marvel. Wolverine sebenarnya sangat penting dalam Avengers versi komik, sama seperti Spider-Man. Tetapi, jika 20th Century Fox tiba-tiba berubah fikiran dan mencontohi Sony Pictures(yang memberikan Marvel hak menggunakan watak Spider-Man untuk MCU), maka ianya pasti mengembirakan para peminat dan membuatkan MCU lebih meriah.

Buat masa ini, ini semua hanyalah angan-angan. Tetapi jika 20th Century Fox tidak memandang serius tentang perkara ini, mereka boleh kata menolak tuah yang datang bergolek. Boleh sahaja mereka membuat perjanjian dengan Marvel dan ambil keuntungan atas angin dengan penglibatan Wolverine dalam MCU.

Sebelum ini, Ryan Reynolds turut memujuk Hugh Jackman untuk bersama beliau berlakon dalam Deadpool 2 dan Jackman turut menolak pelawaan itu. Tetapi kemungkinan untuk Wolverine muncul dalam Deadpool itu ada kerana kesungguhan Ryan Reynolds memujuk Jackman untuk turut serta dalam Deadpool 2. Apa-apa pun, marilah kita tonton karya terakhir Wolverine dahulu, Logan yang akan berada di pawagam minggu hadapan. Jadi jika anda diberi peluang untuk mengundi, anda mahu Wolverine bersama-sama Avengers yang lain bertempur menentang Thanos? Saya undi mahu.

P/S : 20th Century Fox, berilah apa yang Jackman mahu ini. Beliau sudah berkhidmat sebagai Wolverine lebih 16 tahun dan beliau pun sudah 6 kali berjaya bertarung dengan penyakit kanser. Give him some good news in the future, please?

Sumber