Paru-paru Bumi, Hutan Amazon Brazil telah merekodkan hampir 20% kebakaran hutan pada bulan Jun tahun ini. Satu rekod yang tinggi dalam tempoh 13 tahun untuk bulan Jun, menurut data yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Apa yang menjadi kebimbangan pakar adalah dengan rekod yang dicatat pada bulan Jun dan ditambah pula dengan musim kemarau yang bakal kunjung tiba, ada satu kerisauan bahawa kebakaran Amazon pada tahun ini mampu melepasi rekod yang dicatatkan pada tahun lalu.

Para aktivis pula menyatakan bahawa pandemi COVID-19 telah memburukkan lagi keadaan apabila kebakaran hutan berlaku secara bebas dan tidak dipantau oleh pihak berkuasa.

Kebanyakan kebakaran hutan yang berlaku di sana dimulakan dengan sengaja oleh kumpulan pembalak haram dan petani yang ingin membersihkan tanah.

Pada bulan Jun sahaja, pakar di Institut Nasional Penyelidikan Angkasa Negara (INPE) merekodkan 2,248 kebakaran hutan menggunakan imej yang diambil dari satelit. Manakala pada tahun lalu, hanya 1,880 kebakaran hutan yang dicatatkan pada bulan Jun 2019 – satu kenaikan yang mendadak di antara bulan Jun 2020 dan Jun 2019.

“Kami tidak boleh membiarkan situasi 2019 berulang,” kata Mauricio Voivodic, pengarah eksekutif NGO Dana Hidupan Liar Dunia di Brazil yang menuduh kerajaan Brazil gagal untuk bertindak membendung kebakaran hutan di Amazon.

Kebakaran hutan pada tahun lalu telah menyebabkan protes di dalam dan luar negara, dengan ancaman hukuman kewangan dari kerajaan luar dan kecaman luas terhadap dasar-dasar persekitaran yang di ambil oleh Presiden Jair Bolsonaro.

Dia telah dikritik secara meluas kerana memotong dana Kementerian Alam Sekitar serta mendorong beberapa perniagaan dan bukannya aktiviti pemuliharaan. Bolsonaro juga menerima kecaman selepas menurunkan kadar denda kepada individu atau syarikat yang merosakkan alam sekitar.

Namun, dia secara konsisten menolak kritikan dari negara luar. “Negara-negara tertentu, niat mereka bukan untuk membantu … tetapi berkelakuan tidak sopan dengan ciri-ciri penjajah,” katanya.

Amazon adalah hutan yang merangkumi beberapa negara di Amerika Selatan dan hampir 60% adalah di Brazil. Ia telah menjadi medan kepada karbon bagi memperlahankan kadar pemanasan global. Ia juga adalah rumah bagi sekitar tiga juga spesies tumbuhan dan haiwan, serta tempat tinggal bagi satu juta orang asli.

Terdahulu, penjaga hutan Amazon mati dibunuh oleh para pembalak haram yang rakus mahu menarah tanah di sana. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Penjaga Hutan Amazon Mati Dibunuh Pembalak Haram

Mengapa Kita Perlu Risau Jika Hutan Amazon Musnah Dalam Kebakaran

Hutan Hujan Amazon Bakal ‘Hilang’, 1000KM Bahagian Hutan Sudah Ditarah