Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihak kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk memutuskan kemungkinan menurunkan harga runcit bahan api walaupun harga minyak mentah global semasa menunjukkan trend penurunan, lapor Sinar Harian.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor termasuk keupayaan kewangan semasa dan peruntukan untuk aktiviti ekonomi yang mempunyai kesan berganda.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Semua ini memerlukan kita lebih banyak masa untuk mengkaji setiap aspek kerana apabila kita menyertai mana-mana organisasi atau pentadbiran baharu sama ada dalam kerajaan atau syarikat, kita tidak hanya campur tangan dan membuang segala-galanya.

“Kita ada hala tuju tetapi perlu mengkaji dahulu, adalah bahaya jika semua menteri, selepas 24 jam pertama angkat sumpah mengumumkan ini dan itu.

“Saya fikir kita perlu mengambil satu langkah pada satu masa kerana ini bukan sesuatu seperti menguruskan syarikat sendiri tetapi kita menguruskan ekonomi,” terang beliau.

Jelas Rafizi, ia bukan soal formula tetapi soal keadaan ekonomi sekarang. Beliau berkata sedemikian ketika ditanya sekiranya terdapat cadangan atau formula untuk menurunkan harga minyak selepas mengakhiri Ceramah Mega Ayuh Malaysia di sini pada Isnin.

“Persoalannya, harga minyak mentah global semasa berlegar antara AS$83 (RM363.88) hingga AS$85 (RM372.64) setong dan ada yang mengatakan harga minyak mentah jatuh sejak empat dan lima bulan lalu selepas melepasi paras harga AS$100 (RM438.40) setong.

“Kita juga kena tengok berapa sebenarnya pendapatan yang kita ada sekarang dan kalau kita nak ubah harga siling RM2.05 seliter berapa banyak peruntukan tambahan yang kita kena buat.

“Oleh itu, apabila harga (minyak mentah global) turun, adakah cukup untuk kita menurunkan harga runcit bahan api, sudah tentu bagi mereka yang memahami sektor minyak dan gas dia akan bertanya soalan itu,” tambahnya lagi.

Menteri Ekonomi itu juga berkata, ‘formula harga minyak’ yang masih diguna pakai kerajaan sehingga ke hari ini seperti dicadangkan beliau beberapa tahun lalu kekal sebagai kaedah terbaik untuk menentukan harga bekalan bahan api itu.

Formula itu perlu dikekalkan buat masa ini kerana ia mengambil kira perubahan harga minyak mentah dunia selain perlu mengambil kira berapa harga siling yang patut dikenakan.